Review

Review Filem: Doctor Sleep

Views

AMARAN SPOILER!!!

"A creator who hates his own creation" - ungkapan yang paling sesuai untuk filem The Shining arahan Stanley Kubrick. Meskipun filem adaptasi novel Stephen King itu menjadi 'legend' sehinggakini, King sangat tidak menyukai filem seram tersebut kerana dikatakan sangat berbeza dari versi novel yang ditulis olehnya. Ketika novel sekuel Doctor Sleep diterbitkan pada 2013, ia tidak mempunyai banyak masalah kerana ia bersambung terus dari novel The Shining. Bagaimanapun, untuk mengadaptasikan ke layar perak, satu tugas yang agak sukar buat Mike Flanagan selaku penulis dan pengarah Doctor Sleep kerana dia perlu menuruti kehendak novel yang ditulis oleh Stephen King, dan dalam masa yang sama menghormati versi sinematik arahan Stanley Kubrick

Doctor Sleep dimulakan dengan kehidupan keluarga Torrance selepas tragedi The Shining. Masih dihantui pengalaman menakutkan semasa tinggal di Hotel Overlook, Danny Torrance mula mendapat sedikit semangat selepas dibantu oleh roh Dick Hallorann, tukang masak yang dikenalinya semasa menginap di Hotel Overlook. Beberapa tahun telah berlalu, plot filem mula memaparkan kehidupan dewasa Dan "Danny" Torrance (Ewan McGregor) yang agak kucar-kacir. Dia menjadi seorang pemabuk semata-mata mahu melupakan pengalaman yang mengerikan dan mengurangkan kuasanya. Kehidupannya yang membosankan itu diteruskan lagi selama beberapa tahun sehinggalah dia bertemu dengan Billy (Cliff Curtis), yang membantunya membuangkan tabiat buruk sebagai seorang pemabuk dan mendapatkan pekerjaan.

Selain bekerja dengan Billy sebagai pemandu keretapi kanak-kanak, Danny turut bekerja disebuah hospital yang menempatkan pesakit-pesakit yang tenat. Melihat penderitaan yang dihadapi pesakit, Danny menggunakan sedikit kuasa 'Shine' yang ada pada dirinya untuk menenangkan pesakit-pesakit disaat kematian. Saat itulah, Danny digelar Doctor Sleep oleh para pesakitnya kerana sering membantu mereka untuk 'tidur' buat selama-lamanya.

Sedang menikmati kehidupannya yang baru, Danny mula mengenali Abra Stone (Kyleigh Curran), seorang remaja perempuan yang memiliki kuasa 'shine' sepertinya dan mereka berdua sering berhubung secara telepati dengan menulis di dinding. Bagaimanapun, kuasa Abra yang sangat kuat telah menarik perhatian kumpulan kultus The True Knot yang diketuai oleh Rose the Hat (Rebecca Ferguson). Sebagai kumpulan yang memburu individu yang memiliki kuasa 'shine' untuk hidup selamanya, mereka mula menjejaki Abra, dan Danny perlu membantu remaja tersebut dari menjadi mangsa buruan kumpulan The True Knot.

Seperti The Shining, 'pacing' filem Doctor Sleep bergerak dengan agak perlahan. 'First' dan 'second act' Doctor Sleep dipecahkan dengan tiga kisah watak utama iaitu Danny, Rose dan Abra. Plot utama berkisarkan tentang kehidupan Danny, manakala subplot berkisarkan tentang latarbelakang kumpulan The True Knot dan Rose serta aktiviti mereka memburu mangsa-mangsa mereka yang memiliki kuasa 'shine'. Pengenalan Abra tidak terlampau rumit, sekadar memaparkan dirinya memiliki kuasa 'shine' sejak dari kecil sehinggalah dia menjadi remaja. Walaupun 'pacing' keseluruhan filem ini sangat perlahan dengan durasi tayangannya yang agak panjang, cara pembinaan jalan ceritanya membuatkan penonton tidak terasa bosan. Tiga cerita berbeza diawal filem memberikan sedikit gambaran dan latarbelakang tentang beberapa watak utama. Dipertengahan filem, jalan ceritanya semakin mendebarkan dan menakutkan apabila Abra mula diburu Rose dan pengikutnya, dan babak kemuncaknya bukan sahaja merungkaikan cerita Doctor Sleep, malah turut merumuskan kisah Danny Torrance yang dimulakan dari The Shining. 

Berbeza dengan The Shining, motif penjahat dalam filem ini agak jelas, iaitu ingin memakan kuasa 'shine' yang ada pada dalam seseorang individu itu. Selain itu juga, terdapat pertembungan fizikal dan mental diantara mereka yang memiliki kuasa 'shine' dengan watak antagonis. Terdapat juga beberapa babak dalam filem ini yang agak ngeri untuk ditonton. Salah satunya adalah babak dimana seorang kanak-kanak, iaitu Bradley Trevor (Jacob Tremblay) dikorbankan untuk menjadi 'makanan' kumpulan kultus terbabit. Sebagai seorang pelakon kanak-kanak yang sangat berbakat dan pernah muncul dalam filem Wonder dan Good Boys, Tremblay memberikan jeritan dan saat-saat kematian 'r-rated' yang agak ngeri dan memilukan untuk disaksikan oleh penonton.

Sebagai sebuah filem yang diadaptasikan dari novel sekuel The Shining, Mike Flanagan tidak meminggirkan versi sinematik yang dihasilkan oleh Stanley Kubrick. Terdapat beberapa babak yang dicipta semula dan 'homage' dari filem pertamaterutamanya ketika berada di Hotel Overlook. Dari babak Danny dan Abra memandu kereta menuju ke Hotel Overlook yang kelihatan hampir serupa dengan pembukaan filem The Shining sehinggalah babak ikonik Jack Nicholson 'mengapak' pintu dan Shelley Duvall yang menghayun kapak keranan ketakutan ditangga lobi Hotel Overlook, Flanagan benar-benar memberi penghormatan kepada karya Kubrick dan tidak meminggirkan filem The Shining walaupun filem tersebut tidak disukai Stephen King. Pendek kata, Flanagan menghormati kedua-dua versi dan dalam masa yang sama, memuaskan hati para peminat filem The Shining.

Menonton filem Doctor Sleep mungkin tidak seperti merasai pengalaman sinematik filem The Shining, kerana Flanagan memberi fokus sepenuhnya kepada adaptasi novel Stephen King, tetapi keupayaan pengarah tersebut mengabungkan dua versi yang berbeza, menjadi filem ini sangat unik dan menarik. Tambahan pula, Lakonan Ewan McGregor sebagai Danny Torrance penuh dengan emosi terutamanya di babak akhir, dan Rebecca Ferguson sebagai penjahat yang menakutkan, menjadikan Doctor Sleep sangat berbaloi untuk ditonton meskipun ia memiliki tempoh durasi sangat panjang.

RATING KAKIMUVEE: 8/10

Kakimuvee - Portal Informasi Perfileman
shares