Review Filem: Dendam Pontianak / Revenge Of The Pontianak

4086
views

Selain Pocong, Penanggalan dan Toyol, Puntianak merupakan salah satu legenda mitologi masyarakat dirantau ini yang sering ‘diajak’ berlakon dalam mana-mana filem seram, baik dari negara Indonesia ataupun dari negara kita. Namun sejak akhir-akhirnya, Puntianak jarang menerima tawaran berlakon dek kerana persaingan hebat dengan filem-filem ‘hantu’ dari barat serta kebangkitan filem-filem bertemakan ‘superhero’.

Namun tahun ini, Puntianak berpeluang untuk kembali bersinar selepas dua produksi dari Malaysia dan Singapura bergabung dan menghasilkan sebuah filem berjudul Dendam Pontianak atau dalam bahasa Inggerisnya, Revenge of the Pontianak. 

Berlatarbelakangkan disebuah perkampungan kecil pada pertengahan 1960an, Dendam Pontianak dimulakan dengan majlis perkahwinan diantara dua pasangan sejoli iaitu Khalid (Remy Ishak) dan Siti (Shenty Feliziana). Majlis yang penuh meriah tetapi sederhana itu turut dihadiri Rais (Tony Eusoff), rakan Khalid yang telah lama terpisah. Tersentak dengan kisah lampau yang masih belum ditunjukkan diawal pengenalan filem, Khalid lantas mengukir senyuman dan berpelukkan dengan rakan lamanya itu.

Dimalam hari, seperti adat masyarakat dulu, penduduk kampung bergembira melayan kugiran tetapi secara ala kadar di majlis persandingan Khalid dan Siti. Namun apa yang mereka tidak diketahui, terdapat tetamu – berpakaian kebaya merah dan tidak ber’high heal’ – telah muncul dimajlis tersebut, dan bakal menghuru-harakan penduduk kampung disebabkan dendam kesumat terhadap seorang pemuda yang telah menjahanamkannya.

Dendam Pontianak merupakan sebuah filem yang bertemakan seram romantik, namun anda tidak perlulah terlalu percaya kepada tema-tema pada filemnya. Jangan terlampau berharap Dendam Pontinak sama seperti Pontianak Harum Sundal Malam walaupun terdapat sedikit persamaan, dan jangan cuba membayangkan kisah romantik dalam filem ini persis percintaan diantara Edward Cullen dan Bella Swan seperti dalam francais Twilight Saga. 

Plot filem ini boleh dikatakan di’compress’ dari filem Pontianak Harum Sundal Malam tanpa sebarang pembaharuan yang segar dan paparan masyarakat tradisional tanah melayu. Jalan ceritanya agak ‘linear’ dan disertakan sedikit ‘flashback’ mengenai kisah lampau Khalid. Penamatnya pula dibuat agak tergesa-gesa walaupun pengarahnya cuba memberi sedikit kelainan dengan memberikan sentuhan emosi diantara hubungan seorang ibu dan anaknya. Saya tidak pasti sama filem ini menerima kesan dari penapisan Lembaga Penapisan Filem (LPF), tetapi apa yang saya perasan, terdapat beberapa ‘plot hole’ yang membuatkan saya tertanya-tanya disepanjang perjalanan filem, terutamanya pada ‘act’ ketiga filem ini.

Namun dari segi keseraman, ianya agak menakutkan. Terdapat beberapa babak yang mampu membuat kejutan yang agak teruk kepada penonton. Runut bunyi serta suasana sekeliling semasa babak-babak ini banyak membantu membangkitkan bulu roma. Tapi sayang, elemen seramnya tidak digunakan dengan sebaik mungkin, tidak banyak ‘screen time’ dan gagal memberi tekanan kepada penonton. Babak kemuncak filem ini sepatutnya lebih menyeramkan dan ‘intense’, tetapi apa yang berlaku, ia menjadi seperti filem aksi dimana Puntianak ‘bersilat’ menentang para penduduk kampung yang ingin membunuhnya.

Saya juga agak kecewa kerana Dendam Pontianak gagal memberi fokus kepada gangguan yang dihadapi oleh anak Khalid, Nik (Nik Harraz Danish) sedangkan watak kanak-kanak ini boleh memberikan lebih banyak debaran dan tekanan kepada watak utama. Kekurangan ini jugalah menjadi salah satu punca kepada ‘plot hole’ dalam penceritaannya. Jika ia diberi fokus, bukan sahaja keseraman itu dapat disampaikan, malah dapat mewujudkan emosi yang lebih hebat seiring dengan penamat filem ini.

Selain itu juga, saya tertanya-tanya dimanakah elemen romantik yang cuba disampai oleh pembikin filem. Saya membayangkan kisah percintaan terlarang diantara Khalid dan Mina sehingga menyebabkan berlakunya Dendam Pontianak. Tetapi kisah romantiknya tidak sampai dan tidak memberi sebarang kekuatan kepada plot filem ini.

Tiada apa yang boleh diperkatakan sangat tentang watak-watak dalam filem ini. Semuanya sekadar biasa-biasanya sahaja. Selain Remy Ishak dan Fazura, selebihnya tidak berfungsi 100%. Watak Siti sebagai isteri Khalid tidak banyak membantu, begitu juga Su’ut Din lakonan Nam Ron yang tiba-tiba hilang dipenghujung filem walaupun dia pada awalnya dilihat boleh menjadi antara karakter penting dalam menghalang kerakusan Puntianak. Satu lagi pelakon veteran, Wan Hanafi Su sekadar diberikan watak yang jika ada atau tiada, sama sahaja, tidak memberi kesan kepada plot. Sebagai Mina, Fazura tidaklah mengecewakan, tetapi sebagai Puntianak kurang memberi ingatan sepertimana Puntianak versi Maya Karin.

Dari segi reka bentuk produksi tidaklah begitu mengecewakan, walaupun beberapa kesan fizikal dan solekan dibuat agak ‘cincai boncai’. Teknik sinematografinya cantik, suasana 60an pun dapat diterjemahkan walaupun saya terperasan beberapa ‘detail’ dari zaman ini.

Secara keseluruhannya, Dendam Pontianak atau Revenge of the Pontianak mampu memberikan sebuah filem seram yang menakutkan kepada penonton meskipun dari segi penceritaan dan lakonan sedikit gagal. Saya percaya, jika ia diberi lebih tempoh durasi tayangan dengan penceritaan yang lebih fokus dan seram yang lebih jitu, Dendam Pontianak akan menjadi lebih menarik, lebih beremosi dan lebih menakutkan.

Rating Kakimuvee: 6/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here