Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Dendam Kesuma (2021)

Dendam Kesuma gagal memberikan seram dan thriller yang menarik dek kerana kesilapan teknikal filem ini sendiri.

Semenjak pandemik COVID-19 melanda Malaysia dan pawagam ditutup kepada orang awam, sudah lama rasanya tidak menonton filem tempatan di pawagam dan kali ini saya berkesempatan menonton sebuah filem tempatan di pawagam iaitu Dendam Kesuma terbitan Richplus Media Sdn Bhd. Arahan serta lakonan Jefri Jefrizal serta beberapa pelakon lain iaitu Bella Paloma, Haliza Khalili, Nazreen Putra dan Marissa Ezureen. Sebelum saya pergi lebih jauh, satu info yang agak menarik tentang filem ini adalah ia dilakonkan oleh sebuah keluarga memegang watak sebuah keluarga.

Menghiraukan filem filem besar yang sedang berentap di pawagam seperti Eternals, Shang – Chi, A Quiet Place 2 dan Fast 9 Saga, saya dengan begitu yakinnya terus membeli tiket menonton filem Dendam Kesuma ini. Tidak banyak info yang saya perolehi berkenaan filem ini namun sempat menonton sedutannya di laman Youtube. Banyak komen di video sedutan itu yang memuji filem ini.

Filem Dendam Kesuma ini mengisahkan tentang kehidupan sebuah keluarga yang mana si bapa mengalami kesedihan melampau sehingga memberi kesan kepada seluruh keluarga. Si bapa yang dilakonkan oleh Jefri yang juga pengarah kepada filem ini akhirnya tersedar dan cuba bangkit kembali daripada kesedihan melampaunya itu. Dalam pada masa yang sama, mereka berdepan dengan gangguan saka yang dibela oleh ibu kepada watak bapa ini tadi dan anak perempuan mereka iaitu Suri menjadi mangsa usikan dan gangguan saka itu tadi.

Baiklah…

Filem ini sebenarnya mempunyai halatuju yang bagus kerana jalan ceritanya yang mudah dan ringkas untuk diamati dan difahami namun bagi saya sendiri yang menonton selama 1 jam 30 minit bersama 12 penonton lain dalam dewan tayangan mendapati isu teknikal dalam filem ini begitu menjengkelkan sehingga mengganggu pengalaman menonton filem ini. Saya yakin filem ini bukan filem pertama di Malaysia yang menggunakan teknik dubbing. 

Namun begitu, dubbing dalam filem ini begitu keras sehingga para penonton dapat merasakan kekayuan serta keplastikkan para pelakon dalam setiap babak yang dilakonkan dan bukan itu sahaja, terdapat juga babak babak dimana para pelakon menggerakkan mulut namun tiada suara yang keluar daripada mulut mereka. Tidak lagi dicampur dengan babak yang tenggelam timbul suaranya. Saya tidak pasti apa yang berlaku namun pengalaman atau perkara seperti ini sesungguhnya membantutkan pengalaman sepanjang menonton filem ini.

Selain suara dubbing yang begitu mengganggu bahkan lebih seram berbanding saka Kesuma dalam filem ini, para pelakon dilihat seolah olah berhadapan dengan isu mengekspresikan emosi dan ekspresi mereka dalam setiap babak yang dilakonkan. Ya, tidak semua babak yang dilakonkan itu emotionless dan expressionless namun kebanyakan babak adalah seperti itu.

Setelah menonton filem ini, saya teringat komen komen netizen di laman Youtube yang begitu memuji video trailer tersebut. Sudahkah mereka menonton filem ini?

Secara keseluruhannya bagi saya, berani saya katakan bahawa genre seram suspen filem ini telah gagal kerana mood dan suasana seram yang dibina dalam filem ini dibunuh dengan kejam oleh isu teknikal filem ini sendiri sehinggakan penonton tergelak gelak ketika saka Kesuma membuat penampilannya di dalam filem ini serta dialog dialog lain yang begitu kaku dan keras.

Akhir kata, 2019 kita ada Felina, 2020 kita ada Salina dan 2021 kita ada Salina serta Kesuma, 2022 nama siapa pula bakal menjadi mangsa untuk dijadikan tajuk filem agaknya ?.

Rating Kakimuvee

1/5

Related posts

Review Filem: Raging Fire (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Rumah Madu Ku Berhantu (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Maanaadu (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Venom: Let There Be Carnage (2021)

Kakimuvee

Review Filem: The Cursed: Dead Man’s Prey (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Bunty Aur Babli 2 (2021)

Ahmad Fariszuan

Leave a Comment