
AMARAN SPOILER
Melihat nama pengarahnya yang berjaya memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Cannes 2022, saya terus tertarik untuk menonton filem ini kerana ingin melihat sejauh mana kehebatan Park Chan-wook dalam memacu filem ini sehingga dia berjaya mengondol anugerah di festival filem berprestij itu.
Kebiasaannya, filem-filem yang memenangi anugerah ini tidak seperti filem komersial yang lain, dimana ia memiliki nada yang pastinya membuatkan penonton kasual merasa cepat bosan, sekaligus meninggalkan terus filem tersebut tanpa sempat menghabiskannya.
Saya merasakan Decision to Leave sebuah filem yang berentak perlahan dengan jalan cerita yang rumit, jadi satu jangkaan telah diletakkan dalam minda saya agar tidak merasa ‘tertidur’ semasa menonton filem ini.
Bergenre misteri romantik, Decision to Leave mengandingkan dua bintang dari Korea Selatan dan China iaitu Park Hae-il dan Tang Wei. Filem ini menyampaikan jalan cerita yang berkisarkan penyiasatan dan hubungan romantik yang cukup rumit diantara seorang detektif yang menyiasat satu kes kematian misteri dan seorang suspek wanita yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Park Hae-il sebagai detektif Hae-jun, ketua penyiasat dalam satu kes kematian misteri seorang pendaki, dan juga seorang suami dalam hubungan dingin dengan isterinya disebabkan hubungan jarak jauh. Tang Wei memainkan watak sebagai Seo-rae, seorang warga China yang juga merupakan balu kepada pendaki yang ditemui mati di kaki tebing bukit.
Seo-rae menjadi suspek utama dalam kes kematian misteri itu, dan dalam ketika dalam siasatan, Hae-jun menunjukkan satu perasaan romantik yang tidak sepatutnya terhadap suspek utama sehingga ia menganggu perjalanan kes.
Seperti yang dijangka, Decision to Leave memiliki tempo yang agak perlahan dan memerlukan fokus kerana jalan ceritanya agak rumit disebabkan terdapat adegan yang memperlihatkan Hae-jun seperti membayangkan dirinya berada bersebelahan Seo-rae ketika dia sedang memantau gerak-geri suspek utama kes itu.
Walaupun filem ini memfokuskan pada hubungan Hae-jun dan Seo-rae, elemen penyiasatan memainkan peranan yang cukup penting dalam mencipta misteri kes pembunuhan sehingga menyebabkan pelbagai persoalan bermain difikiran penonton. Banyak pekara perlu diberi perhatian dan memerlukan fokus yang tinggi sebagai persedian anda dalam menghadapi ‘twist’ demi ‘twist’ ketika klimaks filem ini.
Selain itu juga, konflik perkahwinan yang dihadapi Hae-jun dan perasaannya terhadap Seo-rae mencetuskan satu hubungan yang agak tegang dan penuh tanda tanya. Perasaan Seo-rae terhadap detektif polis itu juga turut menimbulkan syak wasangka kepada penonton yang ingin tahu niat sebenar suspek wanita itu, dan adakah dia seorang yang psikotik?.
Kekuatan filem ini terletak pada lakonan dua bintang utamanya. Park Hae-il berjaya memperlihatkan dirinya sebagai seorang detektif yang komited tetapi mengalami konflik dalaman disebabkan obsesinya terhadap kes-kes ‘sejuk’ dan perkahwinan yang dingin kerana hubungan jarak jauh. Sebagai seorang pendatang dari China, Seo-rae pula menunjukkan ciri-ciri yang boleh diragui penonton, walaupun selepas filem ini mula memasuki bahagian ketiga.
Dari segi misteri romantik, Decision to Leave mungkin tidak begitu dramatik dan mendebarkan, tetapi jika anda menyukai jalan cerita memerlukan anda untuk ligat berfikir, serta mementingkan kualiti lakonan berbanding segalanya, filem ini sangat sesuai untuk anda.
Mungkin tidak semua akan menyukai filem ini dek kerana tempo yang perlahan dan jalan cerita yang rumit, tetapi Decision to Leave masih boleh dimasukkan dalam senarai tontonan anda.
3.5/5