AMARAN SPOILER!!
Julai 2019 ini, pihak produksi dari Thailand tidak melepaskan peluang memberikan buah tangan mereka untuk tayangan Malaysia iaitu sebuah filem seram yang bertajuk Curses.
Filem ini bukanlah filem yang standalone dengan watak dan perkembangan jalan ceritanya yang tersendiri namun ia merupakan hasil gabungan daripada tiga cerita berasingan yang digabung menjadi satu tanpa mengaitkan antara satu sama lain dengan konsep dan idea yang berlainan.
Kisah pertama berlatarbelakang kan suasana tradisional Thai dan sedikit suasana filem lama dengan gabungan muzik tradisional Thai. Mengisahkan tentang sumpahan dari seorang wanita yang dianiaya oleh beberapa orang kampung dan seorang paderi turut terlibat dalam kisah ini. Sumpahan itu telah diturunkan turun temurun dari ibu kepada anaknya kerana si anak yang akhirnya mengetahui kisah ibunya juga turut berdendam dan menyumpah seluruh kampung.
Kisah kedua pula berkisarkan tentang sepasang kekasih yang mana si lelaki telah meletakkan satu sumpahan yang dikenali sebagai sumpahan Joh. Sumpahan Joh ini dibuat bagi mengelakkan pencuri mencuri barang di rumah. Barangsiapa mencurinya akan ditimpa musibah. Si lelaki tadi telah meletakkan sumpahan tersebut kepada teman wanitanya.
Kisah ketiga juga berkisarkan tentang cinta iaitu dimana seorang wanita yang cemburu buta dan salah faham terhadap teman lelakinya telah meletakkan sumpahan kepada teman lelakinya sehingga menyebabkan teman lelakinya menjadi tidak keruan dan hampir gila sehinggalah segala memorinya terpaksa dibiarkan terpadam dan memulakan kehidupan baru antara mereka berdua.
Sekiranya anda ingin merasai lebih lagi pengalaman menonton filem Thai ini maka anda boleh berbuat demikian di pawagam berhampiran anda.
Kualiti seram filem buatan Thai semenjak 2 – 3 tahun ini sangat mengecewakan dan filem Curses ini hampir menyertai filem filem seram produksi yang lain terjerumus ke lembah hina.
Nilai keseraman yang diberikan melalui visual ketiga tiga filem pendek ini dilihat tidak mengecewakan dan menawarkan sesuatu yang mampu memuaskan nafsu ketakutan anda.
Namun apa yang sedikit mengecewakan adalah dari segi penceritaan yang agak tawar pada filem pendek pertama dan kedua. Secara umumnya, kedua filem dalam filem ini boleh dikatakan agak mentah dari segi pengolahan jalan cerita dan konsep yang ditawarkan namun perkara ini berjaya sedikit ditutup dengan frasa pembukaan setiap filem.
Berbeza dengan filem ketiga dalam himpunan filem Curses ini, dimana ia dilihat berjaya memberikan penonton sedikit rasa dalam menontonnya, disamping rasa takut yang diberikan, mainan emosi yang diberikan juga mampu menghilangkan rasa tawar dalam filem ketiga ini.
Secara keseluruhannya, filem ini masih berbaloi ditonton namun dengan kepuasan yang minima tetapi hiasan yang sangat banyak. Umpama anda memakan kek namun kek utamanya sedikit kerana terselindung dengan hiasan dan krim yang melampau dalam filem ini.
Rating Kakimuvee : 5.5/10