Review

Review Filem: Countdown (2019)

Views

Dari telefon biasa ke telefon pintar seperti , televisyen sehinggalah ke perisian komputer, enjin kereta dan mesin yang lebih besar, hampir kesemua teknologi ciptaan manusia telah dijadikan sebagai konsep dalam sesebuah filem seram. One Missed Call, Unfriended, The Ring, Rec., Polaroid antara contoh filem seram yang menggunakan teknologi sebagai plot utama filem. Bagaimana pula dengan aplikasi telefon bimbit? Countdown adalah jawapannya.

Countdown berkisarkan tentang satu aplikasi yang dapat menjangkakan kematian seseorang sebaik sahaja ia dimuat turun ke telefon pintar. Filem ini dimulakan beberapa remaja yang sedang berparti sehinggalah salah seorang daripada mereka menjumpai satu aplikasi yang agak aneh, dimana aplikasi tersebut dapat menjangkakan kematian seseorang. Kerana sifat ingin tahu, dan hanya menganggap ia sebagai ‘prank’, kesemua mereka memuat turun aplikasi tersebut ke telefon pintar mereka.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka bernasib malang kerana aplikasi tersebut menunjukkan dia hanya mempunyai beberapa jam sahaja lagi untuk hidup. Sementara yang lain masih beranggapan aplikasi tersebut sekadar ‘hoax’, gadis yang malang itu dihantui perasaan takut, bimbang jika aplikasi tersebut benar-benar menunjukkan detik yang tinggal untuk dia terus hidup.

Justin Dec yang pertama kali terjun ke dunia pengarahan telah memberikan pengenalan filem ala Final Destination tetapi versi PG-13 dengan menunjukkan gadis malang tersebut mati dalam keadaan yang menakutkan. Plot filem diteruskan ke watak utama iaitu Quinn Harris (Elizabeth Lail), seorang jururawat muda yang bekerja disebuah hospital. Salah seorang pesakit yang dijaga Quinn adalah seorang remaja lelaki yang sedang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan. Remaja tersebut merupakan teman lelaki kepada gadis malang diawal filem, dan dia dimasukkan ke hospital kerana terlibat dengan kemalangan ngeri yang mana waktu kemalangan terjadi sama dengan kematian teman wanitanya.

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

Sebagai seorang jururawat yang sering menceriakan pesakitnya, Quinn cuba untuk menenangkan remaja tersebut, tetapi gagal. Remaja itu kemudian menceritakan tentang aplikasi pembunuh, dan memberitahu Quinn dia hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk hidup. Pada awalnya, Quinn tidak mempercayai kata-kata pesakitnya itu, namun hidupnya menjadi tidak menentu apabila dia dengan ‘gatal tanganya’ memuat turut aplikasi membunuh itu selepas dipaksa oleh rakan-rakan sekerjanya. Kini, dia hanya mempunyai beberapa hari sahaja lagi untuk hidup dan perlu mencari jalan untuk tidak mati sebelum masa berakhir.

Countdown dilihat cuba untuk tidak terlalu mengikut aturan dalam filem-filem seram yang hanya tertumpu kepada elemen menakutkan semata-mata. Dari terlampau serius mencipta perasan takut serta seram kepada penonton, pengarahnya memasukkan lawak sinikal dan sub-plot dalam penceritaannya. Secara jujurnya, beberapa babak lawak dan dialog dalam filem ini mampu membuatkan penonton terhibur, terutamanya semasa Quinn cuba meminta bantuan peniaga telefon yang agak sinikal dialog-dialognya dan berjumpa seorang paderi ‘nerd’ yang menawarkan perkhidmatan halau syaitan cara moden.

Selain daripada mencari jalan untuk menyelamatkan diri dari aplikasi menyeramkan itu, gangguan seksual ditempat kerja yang dialami Quinn telah dijadikan sebagai sub-plot dalam filem ini. Ia secara tidak langsung menyampaikan satu mesej sinis tentang gangguan seksual yang dilakukan oleh pegawai atasan. Terdapat juga beberapa sub-plot lain yang dirasakan tidak perlu dimasukkan dalam filem ini seperti latarbelakang dan masalah Quinn. Sub-plot yang berlebihan ini banyak menganggu fokus utama cerita.

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

Faktor utama filem ini yang mampu membuatkan anda sangat berpuas hati adalah adegan-adegan ‘jumpscare’nya. Semakin singkat masa yang tinggal, semakin menakutkan cara penyampaian adegan ‘jumpscare’. Suasana seram sejuk tidak dibuat secara meleret-leret, cukup masanya penonton pasti akan terkejut dengan babak yang menakutkan. Cuma masalahnya disini, klasifikasi PG-13 menghadkan kengerian pada babak-babak yang melibatkan kematian.

Disebalik kehebatan adegan-adegan ‘jumpscare’ dan seram, bahagian ketiga filem ini agak mengecewakan. Dari ketakutan diburu kematian, berubah menjadi pertarungan diantara manusia dan syaitan. Cara Quinn menewaskan sumpahan aplikasi maut itu agak malas cara penulisannya, senang kata 15 minit terakhir hampir merosakkan keseluruhan filem. Mujur dipenghujung filem, ia memberi sedikit twist yang memberi petunjuk kepada penghasilan sekuel.

Konsep aplikasi membunuh dalam filem Countdown boleh dikatakan agak menarik meskipun terdapat kelemahan pada plot penceritaannya. Faktor ‘Jumpscare’, Elizabeth Lail dan beberapa watak komik banyak membantu dalam menjadikan filem ini sangat menarik untuk ditonton, terutamanya kepada mereka yang gemarkan filem-filem seram.

Rating Kakimuvee: 7.5/10

*Countdown memiliki satu babak post credit. Filem ini sedang ditayangkan dipawagam-pawaam tempatan. 

shares