Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Confidential Assignment 2: International (2022)


Amaran Spoiler!!!

Mujur! saya semak kembalik tarikh tayangan media untuk filem terbaru Korea Confidential Assignment 2: International, jika tidak, pasti saya terlepas peluang untuk menonton lebih awal filem paling menghiburkan tahun ini. Ya!, sekuel kali ini saya jamin ia adalah filem yang paling kelakar dan paling cukup aksi yang pernah anda tengok pada tahun ini. 

Saya cuba sedaya upaya saya untuk mengulas filem ini dengan lebih santai dan ‘spoiler’ seminimum mungkin supaya anda dapat merasai apa yang saya rasakan ketika menonton filem ini tanpa perlu bimbang dengan spoiler yang mungkin ada dalam ulasan filem ini. 

Selepas berkerjasama dalam menumpaskan penjenayah dalam filem pertama, Detektif Kang Jin Tae (Yoo Hae Jin) sekali lagi dipilih untuk berpasangan dengan Im Chul Ryun (Hyun Bin) dalam memburu seorang ‘tokan’ dadah dari Korea Utara, Jang Myung Joon (lakonan Jin Sun Kyu), yang kini berada di Korea Selatan, dan mengedarkan dadah jenis baru kepada para penagih. 

Jin Tae dan Chul Ryun tidak hanya berdua dalam memburu penjenayah merbahaya, malah mereka turut disertai ejen F.B.I yang genius lagi berkarisma, Agent Jack, lakonan Daniel Henney. 


Tidak dinafikan filem pertama cukup menghiburkan penonton. Ia tidak hanya disebabkan aksi-aksi yang menarik, malah humor-humor yang tidak dijangka khususnya lakonan komedi tetapi serius dari pelakon Yoo Hae Jin. Jadi, untuk ansuran kali ini, anda perlu bersedia dengan keseronokkan dan debaran yang dua kali ganda lebih hebat dalam filem sebelumnya. 

Permulaan cerita anda sudah disajikan dengan adegan aksi yang menarik ketika Chul Ryun dan Agent Jack mengiringi Jang ke lapangan terbang untuk diekstradisi ke Korea Utara. Namun, semasa dalam perjalanan, skuad pengiring F.B.I telah diserang hendap oleh penjenayah yang ingin membebaskan ketua mereka. Aksi tembak-menembak ditengah-tengah jalan raya yang dikelilingi bangunan di bandar A.S. yang sesak mirip seperti salah satu babak dalam filem The Hitman’s Bodyguard dan seantero dengannya.

Aksi yang panjang dan mendebarkan di permulaan filem sudah mengisyaratkan sesuatu yang lebih menarik yang akan dipersembahkan penonton. Selepas anda melihat pertemuan yang cukup tegang diantara detektif Korea Utara dan ejen F.B.I diawal filem, anda kemudian dibawa menyaksikan operasi yang diketuai oleh Jin Tae, namun operasi tersebut gagal sehingga menyebabkan dia telah ditukarkan dari Jenayah Berat ke bahagian Jenayah Siber. 

Seperti filem terdahulu, Confidential Assignment 2 masih mengekalkan statusnya sebagai filem ‘popcorn’ yang menghiburkan, cuma kali ini ia lebih kemas, lebih teratur dengan plot ‘twist’ dan sudah tentunya, babak-babak komik secara spontan yang dilakonkan oleh Yoo Hae Jin. Lebih menarik, kehadiran Daniel Henney dalam penggembaraan kali ini bukan sahaja memukau mata penonton wanita dengan ketampanannya, malah menjadi pemakin kepada babak-babak komedi untuk menjadi lebih kelakar dan ketawa yang pastinya menyenakkan perut. 

Ya, penonton sudah tentunya menantikan gelagat gedik Im Yoon-ah, lakonan YoonA, apabila dia bertemu semula dengan kekasih hati Chul Ryun, tetapi kehadiran Agent Jack menjadikan situasi ‘cinta monyet’ Yoon-ah lebih lucu. Banyak momen-momen kelakar yang melibatkan Yoon-ah, Chul Ryun dan Jack, lebih-lebih lagi apabila Chul Ryun terancam dengan fizikal Jack yang jauh lebih tinggi dan tanpa, dan ditambah pula dengan perwatakan romantik dan sifat mata keranjang Jack yang berjaya menarik perhatian Yoon-ah. 

Elemen komedi dan aksi yang ditonjolkan dalam filem ini dibuat dengan seimbang. Jika kita membuat dua graf – aksi dan komedi – anda akan dapat melihat kesamarataan diantara kedua-dua elemen tersebut. Apabila ia melibatkan aksi, anda akan disajikan dengan adegan yang sangat hebat dan mendebarkan, sehingga anda tidak mahu mengelipkan mata, dan apabila memasuki babak komik, baik secara spontan atau tidak, anda akan ketawa tanpa sedar atau dipaksa. 

Keseimbangan elemen komedi dan aksi ini membuatkan kita merasa sekuel kali sangat sempurna dan tidak membosankan. Pengarahnya seolah-olah tahu waktu manakah yang sesuai untuk melegakan penonton selepas mereka melihat adegan-adegan aksi.

Kualiti visual dan lagak ngeri untuk adegan-adegan aksi juga tidak mengecewakan. Berbeza dengan aksi-aksi yang kita lihat dalam filem Netflix Carter yang sangat jelas penggunaan CGI-nya, Confidential Assignment 2 dilihat menitikberatkan kualiti kesan khas – baik dari pratikal mahupun janaan komputer. Visual seperti letupan, aksi tembak-menambak, dan kejar mengejar, boleh dikatakan sangat baik walaupun kita dapat melihat beberapa bahagian yang sedikit ‘kartun’, tetapi aksi-aksi berlawan paling mencuri perhatian kerana pergerakkan kamera yang jelas dan kemas, membolehkan penonton untuk fokus melihat proantagonis menewaskan para penjahat. 

Jalan cerita Confidential Assignment 2 sangat ringkas dan tidak begitu berat, mengisahkan tiga proantagonis yang perlu bekerjasama dalam memburu ketua sindiket pengedaran dadah. Kerahsian misi setiap dari mereka mungkin sedikit merumitkan penonton, tetapi jangan bimbang anda boleh memahaminya. Walaupun ringkas, terdapat ‘plot twist’ di bahagian ketiga yang menjurus kepada klimaks yang menarik dan mendebarkan. 

Secara keseluruhannya, Confidential Assignment 2: International adalah sebuah filem aksi dengan komedi spontan yang pasti menghiburkan anda. Dengan barisan pelakon yang hebat, jalan cerita yang mantap, aksi yang mendebarkan dan humor yang sangat lucu, dijamin, anda akan keluar dari pawagam dengan penuh ceria, sambil tidak berhenti-henti berborak dengan rakan anda tentang momen-momen menarik yang anda dapat lihat dalam filem kedua Confidential Assignment.  

Rating Kakimuvee

4.5/5

Confidential Assignment 2: International akan ditayangkan di pawagam mulai 14 September ini


Related posts

Lee Sun Bin, Kim Min Seok Akan Membintangi Filem Seram Terbaru

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Selepas 12 Hari Di Tayangkan Di Korea, Sleep Telah Mencatat Lebih 1 Juta Penonton

Kakimuvee

Filem Lakonan Shin Hye-Sun & Kim Sung-Kyun Akan Ditayangkan Di Pawagam Tempatan Pada 28 September Ini

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee