Review Filem Captain Marvel

297
views

Ramai peminat-peminat Marvel menantikan filem Avengers: Endgame untuk melihat kesimpulan fasa 3 Marvel Cinematic Universe (MCU). Bagaimanapun, sebelum peminat dapat menyaksikan filem sambungan Avengers: Infinity War itu, mereka terlebih dahulu menonton filem Captain Marvel dimana adiwira wanita itu dijangka akan menjadi watak penting dalam filem Avengers: Endgame.

Filem pertama Captain Marvel ini tidaklah memberi sebarang petunjuk kepada filem Avengers: Endgame (kecuali babak ‘post-credit’) tetapi ianya boleh dianggap penting kerana ia menceritakan kisah ‘origin’ Carol Danvers aka Captain Marvel dan juga penglibatan Nick Fury dalam perang galaksi yang membawa kepada penubuhan ‘Earth Mightiest Heroes’ iaitu Avengers.

Captain Marvel mengisahkan tentang pahlawan Kree iaitu Vers yang telah jatuh ke Bumi. Vers mengentahui bahawa musuhnya iaitu Skrull sedang mencari teknologi yang boleh membahayakan bangsanya. Dalam usaha menghalang Skrull, Vers mula merasa sangsi akan asal usulnya dan mula mencari siapakah dirinya yang sebenar dan menghalang penjahat sebenar dalam perang galaksi antara dua bangsa makhluk asing.

Penceritaan filem Captain Marvel boleh dikatakan sedikit berbeza dengan beberapa filem ‘origin’ adiwira Marvel seperti Captain America: First Avengers, Iron Man dan Black Panther. Kisah asal-usul Carol Danvers serta bagaimana dia memiliki abiliti luarbiasa hanya ditunjukkan dalam selingan babak-babak flashback. Tidak seperti filem ‘origin’ Marvel yang lain dimana ia biasanya akan menceritakan perubahan watak utama dari ‘zero’ ke ‘hero’.

Pembinaan jalan cerita Captain Marvel agak perlahan diawal filem. Ianya sedikit membosankan, mujur beberapa ‘line’ humor memberikan sedikit kesegaran kepada penonton. Bagaimanapun ‘second act’ filem ini mula mendaki dengan baik sekali dan seperti biasa, ‘third act’ filem-filem Marvel jelas tidak mengecewakan, aksinya mantap dan ‘pelepasan perasaan klimaks’ dapat dirasanya sangat puas. Walaupun aksi Carol Danvers selepas dia berjaya meningkatkan kuasa tidak sehebat Thor: Ragnarok dan kurang ber’drama’ dari Captain America: Civil War, namun ia tetap memberikan kepuasan yang tidak terhingga.

Dari segi perwatakan agak berat sebelah sebenarnya. Marvel seperti biasa ‘menyisihkan’ watak villain dalam filem mereka dan membuatkan penonton melupakan satu lagi karakter jahat dalam MCU. Watak penjahatnya sangat mengecewakan dan gagal menandingi watak adiwira. Selain itu juga, watak Agent Coulson dan Ronan tidak memberi sebarang impak kepada perjalanan cerita, kedua-dua watak ituhanya digunakan sebagai pelaris jualan sahaja. Lakonan Brie Larson sebagai Carol Danvers biasa-biasa sahaja. Wajahnya emotionless dan memberi sedikit rasa janggal melihat karakternya beraksi manakala Samuel L. Jackson menepati ramalan, lakonan dan karakternya iaitu Nick Fury agak menghiburkan. Ini pertama kali penonton dapat ‘screentime’ Nick Fury yang paling lama.

Antara yang menarik tentang filem ini adalah rekabentuk produksi dan juga lagu-lagu latar filem ini. Captain Marvel berjaya mewujudkan suasana era-90an dengan menyelitkan beberapa lagu popular zaman tersebut ke dalam filem itu. Apapun, pujian kepada tim kesan khas Marvel kerana berjaya mengubah wajah Nick Fury dari tua ke muda tanpa sebarang isu yang mungkin akan menjadi gelak ketawa peminat.

Secara keseluruhannya, Marvel Studios sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah filem adiwira yang menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton. Walaupun terdapat sedikit kecacatan, ianya dapat ditutup dengan baik sekali. Apapun menonton filem Marvel tidak menjadi kerugian dan berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.

Captain Marvel memiliki 2 babak pasca kredit.

Rating Kakimuvee: 8.5/10