ReviewSlot Tempatan

Review Filem: Busut Bonang

Views

Amaran minor spoiler!!!

Pada zaman nenek moyang kita dahulu, terdapat segelintir masyarakat Melayu yang sanggup bertemakan saka demi menjaga keselamatan keluarga dan harta benda. Mungkin kerana kurangnya pendedahan agama, mereka ini sanggup meminta bantuan jin dan syaitan dalam menguruskan hal-hal dunia.

Saka bukanlah seperti baju yang boleh dibuang begitu sahaja, sebaliknya ia memerlukan pewaris agar ia tidak terbiar dan mengganggu masyarakat terutamanya ahli keluarga tuannya. Mengambil inspirasi kisah orang-orang dulu mengenai gangguan saka, pengarah Coverina, Khalid Nadzri tampil dengan karya terbarunya berjudul Busut Bonang, sebuah filem seram yang penuh dengan gelak ketawa.

Busung Bonang berkisarkan tentang gangguan saka di Kampung Bonang yang terletak di Perak. Ianya bermula apabila Cikgu Hassan (Ropie) ditemui mati berdekatan sebuah busut berpenunggu dikampung tersebut. Kematiannya ngeri menimbulkan gosip dikalangan penduduk kampung yang mengatakan arwah Cikgu Hassan membela saka. Ini gara-gara penduduk kampung melihat kelibat yang menyerupai arwah Cikgu Hassan berkeliaran disekitar kawasan kampung.

Julia (Jasper Supayah) anak kepada Arwah Cikgu Hassan sangat tertekan dengan penduduk kampung yang sering ‘membawang’ mengenai arwah ayahnya. Sebagai seorang yang bijak pandai dan belajar di luar negara, Julia tidak mempercayai ayahnya membela saka. Dia kemudiannya menghubungi Joey (Along Eyzendy) seorang penjejak paranormal terkenal tanah air tetapi tersangkut modal, untuk membantu menyiasat dakwaan penduduk kampung.

Sementara itu, Lutfy (Nadzmi Adhwa) seorang penjual jeruk yang kebosanan cuba untuk mencari pekerjaan baru. Melihat kepada kekosongan jawatan dalam syarikat produksi milik Joey, Lutfy telah memohon dan menghadiri temuduga dibawah pokok. Memandangkan Joey perlu menyelesaikan tugasan mustahak yang diberikan Julia, dia telah mengambil Lutfy bekerja sebagai pembantu dan pergi ke Kampung Bonang. Disana, Joey, Lutfy dan Julia telah pergi ke tempat kematian arwah Cikgu Hassan, namun pekara misteri berlaku apabila ketiga-tiga mereka telah ditutup pandangan oleh Penunggu Busut hingga mereka sesat.

Sekali pandang, mungkin akan beranggapan filem ini hampir sama dengan filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid. Ya, tidak dinafikan, saya sekali pandang (berdasarkan trailer) pun beranggapan filem ini hantu ‘spoof’ Hantu Kak Limah. Namun setelah berfikir semasak-masaknya, saya merasa mustahil Busut Bonang adalah filem spoof memandangkan Hantu Kak Limah juga adalah sebuah filem komedi. Namun selepas menyaksikan keseluruhan filem, barulah saya akui Busut Bonang adalah filem yang memiliki jalan cerita dan keunikannya yang tersendiri dengan beberapa ‘homage’ dari filem-filem arahan Mamat Khalid.

BACA:  FINAS Siasat Penjualan Filem Cetak Rompak Di Platform E-Dagang

Jujur saya katakan, saya sangat suka dengan penceritaannya yang sangat ringan dan seimbang. Banyak aspek dalam filem ini dibuat dengan cara ‘minimalist’ tetapi cukup untuk membuatkan penonton merasa puas. Komedinya tidak dipaksa, dan apa yang saya dapat perhatian, para pelakon mungkin telah ‘improvise’ skrip dan lakonan agar komedi mereka nampak semulajadi dan tak dijangka. Lakonan bersahaja para pelakon juga banyak membantu dalam menjadikan filem ini nampak lancar, dan yang lebih penting, kesemua mereka memainkan peranan dan tiada satu pun watak dibuat sekadar tempelan.

Meskipun mereka ini pelakon yang tidak dikenali ramai, kualiti mereka jauh lebih hebat dari pelakon-pelakon yang terkenal di media-media sosial. Saya tidaklah mengatakan lakonan mereka ini sempurna kerana saya perasan beberapa kecacatan pada sesetengah babak, terutamanya semasa babak penghujung, tetapi saya tetap berpuas hati dengan prestasi kesemua para pelakon.

Saya juga sangat suka dengan cara Khalid Nadzri dan Aloy Paradoks memasukkan homage filem-filem Mamat Khalid dalam Busut Bonang, nampak sempurna dan menjadi terutamanya babak-babak di Kedai Runcit Lokman, suasanannya hampir sama seperti di Warung Pak Jabit, tetapi dengan gaya mereka yang tersendiri. Cuma yang sedikit mengecewakan, mereka tidak menekankan penggunaan loghat negeri Perak pada sesetengah watak. Bagi saya, loghat ini sangat penting dalam mencerminkan suasana perkampungan.

BACA:  Review Filem: The Sonata (2018)

Dari segi teknikal dan rekabentuk produksi, Khalid Nadzri tahu apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dalam filemnya. Dia tidak terlampau bergantung harap pada penggunaan CGI sepertimana pengarah-pengarah lain yang rakus menggunakan teknologi itu, sebaliknya ada bahagian yang dibuat secara kesan fizikal, dan ada juga memerlukan bantuan CGI, senang kata penggunaan kesan khas dibuat secara seimbang. Sinematografinya juga memuaskan, tidaklah begitu cantik tetapi masih tidak menyakitkan mata. Satu sahaja yang saya sangat kurang gemari dengan aspek teknikal filem ini, suara watak yang dirasuki saka, kurang jelas dek kerana terlampau meng’garau’kan suara.

Sekali lagi, Busut Bonang telah membuktikan bahawa filem tempatan tidak ketandusan filem-filem yang berkualiti. Penulisannya yang ringkas dan lakonan yang berkualiti dan bersahaja serta komedi yang cukup mengelikan hati, sudah cukup untuk menarik anda menonton filem ini dipawagam.

RATING KAKIMUVEE: 8/10

*Busut Bonang akan menemui penonton mulai 19 Disember ini

Tinggalkan Balasan

shares