Review Filem: BoboiBoy The Movie 2 (2019)

4151
views

AMARAN SPOILER!!

Setelah kemunculan pertama di pawagam, 2019 kini membawakan kemunculan kedua  berjudul BoboiBoy Movie 2 di pawagam terdekat anda. Kisah kali ini dibuka dengan pengembaraan BoboiBoy bersama rakan – rakannya dalam usaha mereka menyelamatkan Sfera Kuasa di seantero galaksi.

BoboiBoy walau bagaimanapun pada kali ini telah diancam oleh musuh yang wujud sejak 100 tahun yang lalu yang dikenali dengan nama Re’takka iaitu antara pemilik asal kuasa elemental yang digunakan oleh BoboiBoy sekarang ini. Boboiboy dan rakan – rakannya telah diserang teruk oleh Re’takka sekaligus menyebabkan kehancuran Pengkalan Angkasa TAPOPS yang terletak di angkasa lepas sana.

Setelah kehancuran pangkalan angkasa TAPOPS tersebut, Komander telah mengarahkan BoboiBoy untuk pergi ke sebuah planet dan bertemu dengan seorang yang dikenali sebagai Hang Kasa. Hang Kasa merupakan rakan baik kepada Re’takka pada suatu masa dahulu namun oleh kerana tamakkan kuasa, mereka telah bergaduh dan Hang Kasa telah memenjarakan Re’takka dalam sebuah penjara kristal.

Apabila bertemu dengan Hang Kasa, BoboiBoy dan Gopal telah berguru dengannya demi misinya untuk menewaskan Re’takka dan menyelamatkan seantero galaksi daripada ancaman Re’takka. Pelbagai muslihat dan ilmu telah diturunkan oleh Hang Kasa kepada mereka berdua dan hari demi hari akhirnya mereka telah bersedia untuk bertemu dengan Re’takka.

Ikuti kisah selanjutnya di pawagam terdekat anda bermula 8.8.19 ini.

Dunia animasi di Malaysia dilihat telah berjaya berkembang dengan baik sekali dan sepertimana yang telah kita semua ketahui, pada tahun 2019 ini dunia animasi Malaysia telah digegarkan dengan buah tangan daripada Les Copaque pada beberapa bulan yang lalu dan pertengahan tahun 2019 ini sebuah lagi buah tangan daripada Monsta iaitu Boboiboy turut sama menemui peminat animasi di Malaysia.

Kualiti grafik yang dihasilkan pada kali ini dilihat tidak kurang hebatnya sekiranya ingin dibandingkan dengan Upin Ipin Keris Siamang Tunggal baru baru ini akan tetapi secara peribadinya, pilihan penulis diletakkan pada Upin Ipin Keris Siamang Tunggal dengan perbezaan yang sedikit sahaja.

Penceritaan yang diberikan pada kali ini juga tidak ada simpang siur dan sememangnya mudah difahami, padanlah dengan target audiens nya iaitu kanak – kanak dan apa yang dapat dilihat ia sememangnya dihasilkan untuk kanak – kanak.

Selain daripada aksi yang semestinya mampu untuk menahan kelopak mata penonton daripada berkelip, unsur lawak yang diberikan juga cukup segar dan mampu menimbulkan kesan yang lebih kepada “roller coaster of emotion” dalam filem ini sendiri menerusi watak – wataknya yang tidak asing lagi apabila memberikan “punchline” iaitu Papa Zola dan Adu Du bersama robotnya iaitu Probe.

Walaupun BoboiBoy ini merupakan filem yang membawakan tema adiwira dan atmosfera yang canggih serta moden, unsur unsur kemelayuan tetap tidak ditinggalkan oleh pihak produksi seperti kostum watak yang dilihat memberikan tribut kepada busana tradisional Melayu dan juga bentuk rekaan kapal angkasa yang seakan akan bentuk rekaan wau tradisional Melayu yang dilihat gabungan antara Wau Kucing dan Wau Puyuh. “Detailing” seperti ini dilihat adalah satu benda yang penting kerana ia melambangkan identiti kepada animasi BoboiBoy ini sendiri.

Jangan lupa untuk menyaksikan “mid credit scene” yang disediakan kepada anda semua dalam filem ini yang dilihat mengacah kepada penonton tentang kontinuiti yang berkemungkinan diteruskan dalam filem filem BoboiBoy akan datang.

Rating Kakimuvee : 8.5/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here