Review

Review Filem: Birds Of Prey (2020)

Views

Amaran Spoiler!!!

Kejayaan filem Joker mengangkat kembali martabat filem-filem superhero Warner Bros. / DC yang sebelum ini dilanda pelbagai kritikan. Bagaimana, filem yang berkisarkan tentang karakter villain popular komik DC itu masih belum cukup untuk mengubah stigma para peminat tentang kredibiliti Warner Bros. dalam merencana dunia sinematik ‘superhero’ mereka.

Justeru itu, Birds of Prey menjadi penentu kebangkitan Warner Bros. / DC dalam usaha mereka mempertingkatkan lagi kualiti filem adaptasi komik adiwira mereka, dan sekaligus menarik kembali kepercayaan para peminat filem superhero, khususnya yang meminati karakter-karakter komik DC.

Sebelum ditayangkan dipawagam, filem arahan Cathy Yan ini telahpun mencipta kontroversi apabila pihak studio mengarahkan penggambaran semula beberapa babak dengan meminta bantuan bekas pengarah John Wick, Chad Stahelski. Nyata sekali proses penggambaran semula berjaya mengubah Birds of Prey kepada sebuah filem adaptasi komik superhero yang padat dengan aksi dan menghiburkan!.

Filem yang menghimpunkan beberapa karakter wanita DC ini bersambung dari kisah Harley Quinn (Margot Robbie) dari filem Suicide Squad, dimana dia mengalami fasa kemurungan akibat dipinggirkan penjenayah yang paling ditakuti warga Gotham iaitu Joker. Bagi membuktikan dirinya mampu hidup keseorangan tanpa bayangan Mr. J, Harley Quinn telah meletupkan kilang Ace Chemicals, lokasi yang menjadi saksi kepada kisah romantis mereka. Letupan tersebut merupakan simbolik kepada perpisahan diantara kedua-dua pasangan penjenayah itu.

Bagaimanapun, segalanya tidak seperti yang dirancang, Harley Quinn mula menjadi buruan musuh-musuhnya yang sebelum itu takut untuk mendekati dan mengganggu Quinn disebabkan hubungannya dengan Joker. Antara yang memburu Harley Quinn adalah detektif polis Gotham, Renee Montoya (Rosie Perez ) yang ingin menangkap Quinn sebabkan jenayahnya, dan satu lagi raja penjenayah kota Gotham, iaitu Roman Sionis aka Black Mask lakonan Ewan McGregor.

Dikala tumpuan diberikan kepada cerita Quinn yang diburu musuh-musuhnya, sorang remaja yatim piatu yang juga pakar penyeluk saku iaitu Cassandra Cain (Ella Jay Basco) telah mencuri berlian yang sangat berharga buat Roman Sionis. Berang dengan perbuatan remaja tersebut, Sionis telah meletakkan harga untuk menangkap Cain, dan dia mula menjadi buruan para penjenayah di serata Gotham.

BACA:  Video Review: Filem Jailbreak (2017)

Harley Quinn yang ingin melepaskan diri dari cengkaman Roman Sionis telah mengambil tugasan untuk mendapatkan berlian dari Cain, manakala Renee Montoya yang sedang membina kes pendakwaan terhadap Sionis, turut cuba mendapatkan Cain agar dapat mencari petunjuk baru untuk membongkar segala perbuatan jenayah Sionis. Montoya mempunyai ‘orang dalam’ iaitu  Dinah Laurel Lance aka Black Canary (Jurnee Smollett-Bell) untuk mendapatkan segala maklumat mengenai Sionis. Dalam masa yang sama, seorang pembunuh misteri yang dikenali sebagai Huntress (Mary Elizabeth Winstead) telah mengganas di kota Gotham dengan membunuh orang-orang suruhan Sionis.

Harley Quinn, Renee Montoya, Black Canary dan Huntress mempunyai visi yang sama, iaitu untuk menjatuhkan empayar jenayah Sionis. Mereka berempat kemudiannya membentuk pakatan untuk melindungi Cassandra Cain dari buruan orang-orang Sionis, dan bermulalah kumpulan adiwira wanita Birds of Prey yang akan menjadi faktor utama kejatuhan sindiket jenayah yang diketuai oleh Roman Sionis.

Pada dasarnya, Birds of Prey mirip seperti Deadpool, baik dari segi ‘tone’ filem, dark humor, aksi dan suara latar Harley Quinn yang bercerita mengenai plot filem. Seperti Wade Wilson aka Deadpool, Harley Quinn juga sangat ‘talkative’ sepanjang perjalanan filem. Pendek kata, karakternya kali ini sangat berbeza dari dalam filem Suicide Squad. Walaupun meniru beberapa elemen penting Deadpool, Birds of Prey masih memberikan sebuah jalan cerita yang menarik, mengelikan hati dan menghiburkan.

Cuma, apabila terlampau memberi fokus kepada satu karakter, beberapa karakter lain terpaksa dikurangkan sedikit tumpuannya. Renee Montoya, Black Canary dan Huntress sedikit tenggelam dek kerana dibayangi karakter Harley Quinn. Lebih mengecewakan, karakter Huntress hanya mendapat tumpuan pada ‘third act’ filem. Jika anda meminati Mary Elizabeth Winstead pasti merasa sedikit kecewa kerana dia hanya mendapat sedikit ‘screentime’ dalam filem ini.

BACA:  Review Drama Korea: Signal (2016)

Klasifikasi ‘R-rated’ memberikan potensi yang bagus buat filem ini – bukan menunjukkan Harley Quinn itu seksi, tetapi adegan aksinya mantap dan dialog yang tiada tapisan serta tidak janggal. Seperti yang dikatakan diawal perenggan, Birds of Prey menyajikan adegan-adegan aksi yang cukup memuaskan hati penonton. Tulang – temulang yang patah riuk dan dihempuk dengan benda keras, apatah lagi darah terpercik dipaparkan tanpa segan silu. Tidak dapat dipastikan sama ada adegan aksi dalam filem ini 100%  buah tangan dari Chad Stahelski, tetapi apa yang dapat disimpulkan, penonton pasti akan merasa puas melihat ahli-ahli Birds of Prey ‘melibas’ konco-konco Sionis.

Seperti kebiasaannya filem-filem komik, terdapat beberapa ‘easter egg’ dipaparkan dalam filem ini, apa yang perlu anda buat adalah memberi fokus sepenuhnya untuk menangkap mesej tersembunyi yang segaja ditinggalkan pengarah. Selain itu juga, beberapa rakaman dari filem Suicide Squad turut diselitkan pada permulaan filem. Rakaman tersebut sekadar mengimbau kembali kisah cinta Harley Quinn dan Joker bagi menguatkan plot filem.

Bagi yang meminati produk dari DC, Birds of Prey merupakan filem yang tidak harus anda lepaskan. Konsepnya yang ceria dan kelakar serta diadun dengan aksi tanpa henti menjadikan filem terbaru Warner Bros./DC ini sangat menarik untuk ditonton. Mungkin dari segi fokus karakter ianya tidak seimbang, tetapi beberapa elemen lain berjaya menutup kelemahan filem arahan Cathy Yan ini.

Birds of Prey telahpun memulakan tayangannya hari ini.

RATING KAKIMUVEE: 8/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE8

VERDICT

8Selepas Joker, Warner Bros. / DC sekali berjaya menghasilkan sebuah filem adaptasi komik superhero yang menarik. Yang penting, Birds of Prey memberikan aksi yang pasti memukau para penonton!

Tinggalkan Balasan

shares