Review Filem : Bikers Kental 2 2019

245
views

AMARAN SPOILER.

Sebuah filem yang mengisahkan tentang hidup seorang “biker” yang kali ini dalam misi beliau untuk melamar kekasihnya di Thailand.
Lakonan Zizan, Dato Awie dan Dato Afdlin Shauki.

Kisah dibuka dengan babak villain yang mengambil tempat terlebih dahulu dan bagi mereka yang mungkin tidak mengikuti Bikers Kental yang pertama mungkin akan mengalami sedikit kekeliruan di sini. Di mana salah seorang watak penjahat dimatikan seawal 5 minit pertama filem ini.

Seterusnya para penonton dibawa pula kepada kisah watak utama filem ini sendiri lakonan Zizan yang mana menyatakan hasrat beliau terhadap rakannya bahawasanya beliau ingin ke Thailand untuk melamar kekasihnya dan beliau turut mengajak mereka untuk ke sana beramai – ramai namun hampa kerana semua rakannya ada urusan yang perlu diselesaikan di Malaysia pada ketika itu.

Berseorangan, maka pergilah beliau menunggang motorsikalnya dan menuju ke Thailand, setibanya dia di sana satu kejadian telah berlaku apabila beliau tersilap sangka bahawa lelaki yang sedang bergurau dengan kekasihnya itu adalah orang yang tidak dikenali sedangkan lelaki tersebut adalah abang kandung kepada kekasihnya sendiri.

Kemudian bermulalah pengembaraan watak utama tadi di Thailand apabila beliau terpaksa berhadapan kembali dengan penjahat yang pernah dihadapinya pada suatu masa dahulu dan bertepatan dengan itu juga, dua orang rakannya turut bergegas ke Thailand.

Kepada anda semua yang ingin menyaksikan kesudahan filem Bikers Kental ini bolehlah ke pawagam yang berdekatan sekarang.

Filem ini pada asasnya dilihat mempunyai unsur komedi yang cukup baik dimana penonton tidak perlu ketawa dengan cara paksaan kerana babak babak lawak yang disajikan kelihatan natural dan kena pada masanya. Namun apa yang menghampakan sedikit sebanyak adalah dari segi jalan ceritanya yang agak lemah dan seolah olah sedikit kelam kabut.

Selain itu juga, terdapat kesilapan kontinuiti yang berjaya dikesan pada filem ini walaupun mungkin ia boleh dianggap kecil namun pada dasarnya sudah pasti dapat menjejaskan serba sedikit kualiti filem ini.

Kesimpulannya sekiranya ditanya berbaloikah Bikers Kental untuk ditonton? Maka saya hanya boleh menjawab, sekiranya anda menonton untuk lawaknya semata mata maka filem ini amatlah sesuai namun sekiranya anda adalah seorang yang mementingkan kesinambungan dan kekuatan jalan cerita dan menjadikan lawak sebagai sampingan dan penguat jalan cerita. Maka mungkin anda ingin elakkannya.

Rating Kakimuvee : 5.5/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here