Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Avatar: The Way of Water (2022)


AMARAN SPOILER!!!

13 tahun exoplanet-bulan Pandora berada dalam aman. Peristiwa serangan penindas manusia masih segar dalam ingatan bangsa natif Na’vi, terutamanya buat pasangan Jake Sully dan isterinya, Neytiri. Hidup bahagia dan berkeluarga, mereka sangkakan kehidupan mereka akan aman buat selamanya, sehinggalah James Cameron membuat keputusan untuk menghantar kembali bangsa manusia ke Pandora, meneruskan penindasan yang pernah berlaku sebelum ini. 

Avatar: The Way of Water adalah satu dari empat filem sambungan yang dirancang Cameroon, mengembangkan lagi persengkentaan antara manusia penindas dan Na’vi disebuah planet-bulan yang indah, dengan misi yang penduduk Bumi yang lebih extreme, bukan sekadar menjarah sumber alam semata-mata. 

Filem 2009 telah memukau penonton dengan visual yang cantik dan realistik, dan dengan teknologi yang semakin maju, dan sumber kepakaran yang tidak terhad, sudah tentunya ia memberi kelebihan kepada James Cameron yang terkenal dengan visinya luas dan kesan khas yang inovatif. 

Cameron menunaikan janjinya untuk memberikan filem yang cantik, setanding dengan filem asal – atau saya boleh katakan, visual untuk filem kali ini jauh lebih baik dari filem pertama. Itu bukanlah satu kejutan kerana kita sudah berada di zaman yang berbeza berbanding awal 2000an dahulu, malah reputasi Cameron memberikan keyakinan kepada penonton bahawa Avatar: The Way of Water akan jauh lebih baik dari filem pertama. 


Itu dari segi visual, dan saya yakin, tiada rungutan dari penonton, lebih-lebih jika mereka menontonya di IMAX 3D. Tetapi dari segi jalan cerita, banyak boleh diperkatakan, terutamanya ada ‘second act’, yang menjadi faktor kenapa filem ini memiliki durasi yang agak panjang. 

Pengenalan cerita agak menarik, membangkitkan perasaan ingin tahu penonton sebaik sahaja kita melihat kapal angkasa dari Bumi mula mendarat di permukaan Pandora. Seperti yang dijangka, kehadiran mereka mencetuskan kembali kebangkitan bangsa Na’vi, khususnya klan Omaticaya yang dipimpin Sully. 

Pemberontakan mereka membuatkan bangsa penindas manusia merancang satu misi, untuk memburu ketua klan Omaticaya, sekaligus menamatkan pemberontakan bangsa Na’vi. Skop penceritaannya menjadi semakin menarik apabila penjahat utama dari filem asal, Kolonel Miles Quaritch kembali mengetuai pasukan khas, kali ini dengan menggunakan badan Avatar. 

Kehadiran pasukan khas yang menggunakan badan Avatar menjanjikan pertembungan yang setara antara bangsa manusia dan Na’vi, khususnya Sully dan Quaritch. Mengentahui Quaritch hanya memburu dia dan keluarganya, Sully terpaksa memilih untuk melarikan diri dan bersembunyi, dan disinilah kita diperkenalkan dengan klan Metkayina, bangsa Na’vi laut. 

Pada awalnya, kita merasa sedikit menarik kerana melihat satu klan baharu yang berpotensi menjadi sekutu Sully dalam menentang pencerobohan manusia. Tetapi, ketika kita menantikan proses untuk melihat klan ini berperang dengan manusia, kita perlu menyaksikan ‘jalan cerita ala dokumentari yang bosan tetapi masih menyegarkan mata dengan gambaran visual bawah air yang memukau.’

Tumpuan plot banyak beralih kepada anak-anak Sully, mengisyaratkan bahawa mereka bakal menjadi watak penting dalam filem-filem seterusnya. Sementara watak Sully dan Quaritch benar-benar terasing kali ini, malah sisi Quaritch tidak banyak diceritakan, sedangkan wataknya sangat penting kerana dia adalah punca kenapa Sully dan keluarganya menyembunyikan diri. 

Pertengahan filem menunjukkan bagaimana bangsa Na’vi hutan (baca Sully dan keluarganya) cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan di lautan, khususnya di dalam air. Ia juga menonjolkan haiwan yang berupa seperti ikan paus, ‘tulkun’, dan hubungannya dengan bangsa laut Na’vi. 

Lo’ak, anak kedua Sully dan Neytiri, menjalin persahabatan dengan ‘tulkun’ bernama Payakan, dan hubungan mereka bakal mencetuskan konflik yang mendebarkan antara manusia dan Na’vi di kawasan lautan. Jika filem pertama secara tersiratnya mengkritik tindakan kerajaan atau negara besar menindas penduduk asal, filem kali dengan jelas mengambil inspirasi dari aktiviti manusia yang memburu haiwan-haiwan liar dan terancam, atau secara spesifiknya, pemburuan ikan paus. 

Penjajahan atau kolonisasi masih menjadi konteks utama francais Avatar, cuma ia memberi fokus pada sifat rakus manusia yang memburu haiwan-haiwan di Pandora demi keuntungan mereka sendiri. Untuk membina konflik mutlak antara Metkayina dan penceroboh, Cameron mengambil masa yang cukup lama kerana kebanyakkan filem ini berlegar-legar di dalam air, memperlihatkan telatah anak-anak Sully meneroka dunia baru mereka. 

Penceritaan ala dokumentari pada pertengahan filem merobek rasa debaran ketika Quaritch memulakan misi memburu Sully. Ini kerana, tidak banyak babak yang melibatkan pemburuan oleh pasukan Quaritch meskipun dia kini menggunakan fizikal Avatar. Juga, walaupun “Spider“, rakan kepada anak-anak Sully, menjadi tawanan Quaritch, dia seolah-olah tidak digunakan sebaiknya sewaktu dalam proses berburu. 

‘Plot-hole’ terbesar filem ini adalah sewaktu adegan klimaks di penghujung filem dimana klan Metkayina secara tiba-tiba hilang dari radar, meninggalkan Sully dan keluarganya berhadapan dengan pasukan Quaritch, sedangkan, sebelum pertarungan, mereka bersama-sama berjuang menentang pemburu Tulkun. 

Tidak dinafikan, peperangan di hujung filem membangkitkan rasa puas hati, sepertimana kita tengok dalam filem pertama, cuma apabila semuanya hilang secara tiba-tiba, hanya meninggalkan Sully dan Quaritch, penonton secara tidak langsung akan berfikir, kemana kesemuanya menghilang sedangkan lokasi pertempuran tidaklah begitu luas seperti dalam filem pertama. 

Apa yang akan anda perasan dalam filem ini adalah karakter Sully yang menjadi lemah, tidak sehebat dalam filem asal dimana dia menunjukkan ciri-ciri sebagai seorang pahlawan. Fokus penceritaan pada anak-anak Sully meminggirkan sedikit kisahnya. Sully terpaksa mementingkan keluarganya lebih dari yang lain. Jadi tidak hairanlah jika anda merasai sedikit kekurangan pada wataknya.

Namun begitu, watak Lo’ak dan anak angkat Sully dan Neytiri, Kiri, berpotensi menjadi teraju utama dalam filem akan datang memandangkan watak mereka perlahan-lahan dibina dalam filem ini. Kiri misalnya, dia seolah-olah mempunyai satu kuasa misteri yang mungkin membuatkannya bakal menjadi Na’vi paling berkuasa di Pandora. 

Seperti tajuknya, Avatar: The Way of Water, filem ini menunaikan apa yang diharapkan penonton, khususnya yang meminati filem Avatar, iaitu visual yang boleh dianggap ‘masterpiece’. Cuma, rendahkan jangkaan pada jalan cerita kerana ia tidak begitu merangkumi secara menyeluruh konflik diantara penceroboh manusia dan Na’vi. 

Cameron dengan jelas memasukkan objektif utama penceroboh, dan ini membuka lebih banyak ruang kepada konflik yang lebih besar di masa hadapan. Dengan puak-puak Na’vi yang terpisah, tugas Sully akan menjadi lebih berat, dia bukan sekadar perlu menjaga keluarganya, malah mungkin menjadi penghubung kepada semua Na’vi di Pandora. 

Tetapi, untuk melihat semua itu, bergantung kepada kejayaan dua filem sekuel Avatar, termasuklah The Way of Water. Apa yang pasti, sekuel ini bakal memuaskan hati ramai penonton yang tidak menjangka bahawa filem terlaris sepanjang zaman ini akan mengeluarkan sekuel selepas lebih sedekad membuat debut di pawagam. 

Rating Kakimuvee

3.5/5


Related posts

Alien: Romulus Menjadi Tajuk Rasmi Untuk Filem Alien Terbaru Arahan Fede Álvarez

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Deadpool 3 Akan Lebih Berani & Sangat ‘R-Rated’

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee