Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Ashfall


Amaran Spoiler!!!

Malapetaka gunung berapi merupakan antara tema yang sering dimasukkan dalam filem-filem bencana, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jika Hollywood sering menggunakan element ‘survival’ dalam filem-filem bencana khususnya yang melibatkan letusan gunung berapi, filem terbaru dari Korea Selatan berjudul Ashfall tampil dengan sediri paparan berbeza dalam penerapan konsep filem bertemakan bencana.

Ashfall bukan sahaja menjadikan malapetaka gunung berapi sebagai teras utama dalam plot penceritaannya, ia juga turut memasukkan elemen-elemen aksi, pengintipan, persahabatan dan drama dalam menjadikannya sebuah filem yang menarik dan kaya dengan kepelbagaian.

Peristiwa yang bakal menentukan nasib semenanjung Korea ini bermula apabila Gunung Berapi Baekdu secara tiba-tiba meletus sehingga menyebabkan gempa bumi yang kuat dan memberi ancaman tsunami. Letusan itu  sekaligus menyebabkan negara Korea Utara dilanda anarki disebabkan kemusnahan sistem kerajaan mereka yang mana pegawai tertinggi kerajaan telah menjadi mangsa runtuhan sebuah bangunan bersejarah. Selain itu juga, 2/3 semenanjung Korea, termasuklah Korea Selatan turut mengalami kemusnahan yang sangat teruk sehingga memakan jutaan nyawa dan kerosakan harta benda.

Pihak kerajaan Korea Selatan kemudiannya menyedari bahawa letusan gunung berapi itu merupakan petanda awal sebelum berlakunya letusan yang besar. Bagi mengelakkan kejadian lebih buruk dari berlaku, Ketua Setiausaha Negara, Jeon Yoo-kyung (lakonan Jeon Hye-jin) telah mencari Profesor Kang Bong-rae aka Robert (Ma Dong-seok) untuk meminta bantuan dan nasihat bagi menghalang letusan gunung Baekdu seterusnya. Namun Robert tidak berminat kerana amarannya sebelum ini dipandang ringan oleh pegawai kerajaan. Selepas dirayu dan berbincang dengan Perdana Menteri, akhirnya Robert bersetuju dan mula menghulurkan kepakarannya.


Sementara itu, Jo In-chang (Ha Jung-woo) seorang pakar pemusnah bom yang bakal bersara telah diberi satu tugasan terakhir, iaitu menyertai misi rahsia untuk mencuri peledak senjata nuklear milik Korea Utara dan menghentikan letusan gunung berapi sebelum terlambat. Bagaimanapun, mereka perlu menjejaki bekas perisik Korea Utara, Lee Joon-pyeong (Lee Byung-hun) untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi senjata Nuklear. Berdasarkan maklumat dari Profesor Robert dan maklumat perisikan tentera, Jo In-chang dan pasukan memulakan misi yang bakal menentukan nasib semenanjung Korea dan dalam masa yang sama mampu mengugat hubungan Utara dan Selatan sekiranya misi mereka gagal.

Ashfall memaparkan tiga naratif berbeza berdasarkan prespektif dua pegawai tentera yang berseteru, Profesor Robert dan Jeon Yoo-kyung serta kepayahan isteri kepada Jo In-chang Iaitu Choi Ji-yong (Bae Su Zy) dalam menempuh bencana yang sedang melanda Korea Selatan. Namun begitu, kisah diantara Jo In-chang dan Lee Joon-pyeong diberi lebih fokus agar ia tidak lari dari plot utama filem, iaitu mengejar masa untuk menghentikan malapetaka dari menjadi lebih buruk. Naratif Choi Ji-yong pada mulanya dilihat seperti tidak ‘significant’ dalam perkembangan cerita, namun apabila tiba diakhir filem, sumbangannya mula kelihatan dalam memberi drama persahabatan yang menyedihkan diantara Jo In-chang dan Lee Joon-pyeong.

“Screentime” Ma Dong-seok pula tidak begitu banyak dalam filem ini walaupun paparan wataknya gah didada poster filem. Wataknya mungkin nampak penting dalam filem bertemakan bencana seperti ini. Namun, sebagai individu intelektual yang cuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalah negara, sumbangannya dalam membentuk sebuah cerita bertemakan bencana tidak begitu besar dan seolah-olah terpinggir. Plot filem ini banyak dibazirkan dengan konflik diantara dua seteru utama – In-Chang dab Joon-pyeong sehingga kadang-kala tidak kena pada tujuan penceritaan. Mujur, disebabkan lakonan hebat Ha Jung-woo dan Lee Byung-hun berjaya mengurangkan sedikit rasa bosan pada penceritaanya sedikit meleret. Perhatian juga harus diberikan kepada Ha Jung-woo kerana watak komiknya kadang-kala dapat meredakan tekanan dan membuatkan penonton terhibur.

Terdapat juga beberapa bahagian pada plot filem ini yang boleh menimbulkan persoalan. Antara yang paling ketara adalah kurangnya ‘detailing’ masyarakat Korea Utara semasa mereka menjalankan misi. Walaupun diawal filem pemberita ada memberitahu negara Korea Utara telah dilanda anarki selepas bencana gempa bumi, suasananya menunjukkan sebaliknya, tiada kacau bilau – seolah-olah mereka berada dikawasan yang telah bertahun-tahun ditinggalkan penduduk. Selain itu juga, usaha memasukkan elemen aksi dan pengintipan merupakan sesuatu yang menarik kerana ia mungkin dapat keluar dari klise filem bencana. Tetapi penerapan kedua-dua elemen itu seperti tidak cukup “garam”, kurang puas dan tidak memberi debaran secukupnya. Hanya third act filem ini yang banyak membantu menguatkan kembali filem Ashafall, dramanya cukup terbaik, emosi terasa sehingga ke kalbu, jika anda kini berstatus ayah, mungkin akan tersentuh dengan drama dihujung filem.

Secara keseluruhannya, Ashfall sebuah filem bencana yang hampir tersasar dari landasan tetapi diperbetulkan balik oleh prestasi lakonan mantap pelakon utama dan penulisan penghujung filem yang cukup bagus. ‘Production value’ nya juga sangat bagus dan berkualiti tinggi, seiring dengan reputasinya sebagai sebuah filem blockbuster. Jika anda ingin mencari sebuah lagi filem bencana Korea yang menarik, Ashfall adalah antara filem yang anda harus tonton.

RATING KAKIMUVEE: 7.5/10 

ASHFALL AKAN DITAYANGKAN DIPAWAGAM TEMPATAN MULAI 2 JANUARI INI.


Related posts

Rancangan Realiti Single’s Inferno Akan Kembali Pada 12 Disember Ini

Kakimuvee

Trailer Pertama Sweet Home Musim 2 Telah Didedahkan

Kakimuvee

Netflix Kongsi Klip Terbaru “Castaway Diva” Park Eun Bin

Kakimuvee

KBS Keluarkan Poster Terbaru The Matchmakers Yang Menampilkan Rowoon, Cho Yi Hyun & Ramai Lagi

Kakimuvee

“My Dearest” Dominasi Rankin Drama & Pelakon Untuk Minggu Ini

Kakimuvee

Lee Sun Bin, Kim Min Seok Akan Membintangi Filem Seram Terbaru

Kakimuvee