Review Filem Annabelle Comes Home

661
views

*AMARAN!! REVIEW INI MENGANDUNGI SPOILER ANNABELLE COMES HOME*

Dunia The Conjuring dikembangkan lagi menerusi filem terbaru Annabelle Comes Home yang juga merupakan siri ketiga trilogi spin off Annabelle. Kisah seram kali ini bertempat di kediaman Ed (Patrick Wilson) dan Lorraine Warren (Vera Farmiga) sendiri selepas mereka berdua membawa patung Annabelle ke rumah mereka untuk ditempatkan di dalam bilik yang penuh dengan artifak-artifak yang menyeramkan.

Annabelle Comes Home ditetapkan sejurus selepas filem Conjuring dan penceritaannya bermula sebelum kejadian Conjuring 2 berlaku. Pasangan paranormal itu mula menyedari bahawa patung Annabelle bukan sahaja digunakan sebagai alat oleh entiti jahat untuk merasuk manusia, sebaliknya ia juga bertindak sebagai penarik yang mampu memanggil entiti-entiti jahat yang lain.

Memandangkan patung Annabelle adalah artifak paling merbahaya dalam koleksi mereka, dan memusnahkannya akan memberi kesan yang lagi buruk. Pasangan tersebut memutuskan untuk meletakkan patung tersebut didalam sebuah bekas kaca dengan disertakan tanda amaran. Bagaimanapun, amaran tersebut sia-sia, kerana ia bakal membangkitkan lagi sifat ingin tahu yang ada dalam diri seseorang.

Suatu hari, Ed dan Lorraine Warren terpaksa bertugas di luar negeri, dan meninggalkan anaknya Judy (McKenna Grace) dibawah jagaan Mary Ellen (Madison Iseman). Mary seorang gadis yang baik dan menurut arahan yang diberikan Ed terutamanya tidak mengganggu bilik artifak mereka dan membawa masuk lelaki. Bagaimanapun, rakan baik Mary, Daniella (Katie Sarife) yang mempunyai niatnya yang tersendiri, telah menceroboh masuk ke bilik larang tersebut dan tanpa diketahuinya telah melepaskan makhluk jahat yang selama ini terkurung dalam bekas kaca.

Dua filem awal Annabelle banyak membantu filem ketiga ini dari segi penceritaan. Jalan ceritanya menjadi mudah dan ringkas memadangkan asal usul mengenai patung Annabelle telahpun diceritakan filem terdahulu. Bagaimanapun keseluruhan plot filem ini boleh dijangka terutama bila terdapat satu individu melakukan tindakan bodoh melepaskan hantu Annabelle dari kurungan, bagaimanapun motif tindakannya itu tetap dijelaskan pada penghujung filem dengan sedikit selingan emosi.

Tahap keseraman Annabelle Comes Home mampu memberikan pengalaman yang menakutkan. Gary Dauberman yang menulis skrip filem The Nun mengambil sedikit idea dari filem tersebut dengan mengabungkan suasana sunyi yang agak panjang dan kadang kala memberikan kejutan yang tidak disangka.

Annabelle yang dianggap sebagai “beacon for other spirits” telah menyeru ‘sekutu-sekutunya’ seperti The Ferryman, The Curse of Wedding Dress dan lain-lain untuk menganggu mangsa-mangsanya. Ini memberikan keseraman berbeza-beza mengikut gangguan entiti tersebut – bukan datangnya dari Annabelle semata-mata. Senang kata, cara pembikinan adegan seramnya ringkas sahaja dan efektif.

Tiga watak gadis dalam filem ini tidak mengecewakan. Terima kasih kepada lakonan mantap Mckenna Grace, Madison Iseman dan Katie Sarife, mereka bertiga seolah-olah memiliki ‘chemistry’ antara satu sama lain dalam memainkan peranan masing-masing. Walaupun penampilan Vera Farmiga dan Patrick Wilson sebagai pasangan Warrens sekadar mengisi slot pelakon tambahan, sekurang-kurangnya mereka memberikan sedikit sumbangan.

Secara keseluruhannya, Annabelle Comes Home merupakan filem ‘hantu’ yang sangat ringkas tetapi tidak mengecewakan dari segi penyampaian maksud ‘seram’. Tidak lupa juga dengan kehebatan para pelakon remaja filem ini. Annabelle Comes Home mungkin bukan sebuah filem yang hebat, tetapi secara mudahnya untuk mengatakan, ia adalah filem terbaik dalam francais Annabelle

Rating Kakimuvee: 6.5/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here