Review Filem: Angel Has Fallen

1803
views

AMARAN SPOILER!!!

Antara pekara penting dalam sesebuah francais atau trilogi adalah idea kreatif. Idea sangat penting dalam merencana perjalanan sesebuah siri filem itu agar ia kekal asli, tidak bosan dan masih kekal relevan dengan tujuan serta konsep sesebuah francais itu.

Angel Has Fallen misalnya telah melalui dua siri filem bermula Olympus Has Fallen dan London Has Fallen sebelum ia menuju ke konklusi triloginya. Idea filem pertama boleh dikatakan agak menarik walaupun saling dikaitkan dengan sebuah lagi filem yang hampir sama iaitu White House Down dimana kedua-duanya ditayangkan pada tahun yang sama iaitu 2013.

Walaupun gagal menarik perhatian pengkritik, peminat tetap menyukai filem pertama dalam trilogi Fallen kerana ia membawa aksi yang mantap lagi jitu didalam kawasan pejabat Presiden Amerika Syarikat iaitu White House.

Bagaimanapun filem London Has Fallen agak mengusarkan. Tanda-tanda kehabisan idea mula kelihatan dalam siri kedua ini apabila cuba bermain dengan isu klise iaitu orang Islam / Asia sebagai pengganas, yang memberi malapetaka orang putih dan akhirnya organisasi pengganas yang cukup teratur ditewaskan dengan seorang individu sahaja.

Apa yang berlaku dalam filem kedua itu telah menjadi sejarah, dan penonton kini tertumpu kepada filem ketiganya yang juga merupakan filem terakhir dalam trilogi Fallen iaitu Angel Has Fallen. Filem kedua sudah membuktikan siri ini mula ketandusan idea, dan Angel Has Fallen adalah kemuncak kepada tiadanya idea yang kreatif dalam membina jalan ceritanya.

Saya boleh katakan, Angel Has Fallen telah menciduk bukan satu, tapi dua filem sebagai idea utama dalam pembentukkan plot filemnya. Berdasarkan sinopsis awal, Mike Banning (Gerard Butler) telah menjadi pelarian kerana telah dituduh cuba membunuh presiden Allan Trumbull (Morgan Freeman).

Agak menghairankan, seorang wira yang dua kali menyelamatkan bekas presiden Benjamin Asher dan juga rakan baik kepada Trumbull, telah menjadi pelarian dalam filem kali ini atas alasan cuba membunuh presiden Amerika Syarikat yang baru. Jika presiden yang ingin dibunuh Banning bukan Trumbull, tetapi orang lain mungkin boleh diterima. Tetapi membunuh sahabat baik?, agak pemalas penulisannya.

Jika dilihat bagaimana Banning mula dituduh, menafikan perbuatannya, melarikan diri dari buruan FBI dan membongkar dalang yang sebenarnya, agak jelas sekali idea ini diciduk dari filem Shooter lakonan Mark Wahlberg.

Lebih menarik, dalang yang terlibat dalam konspirasi mengenakan Banning secara terang-terangan meniru idea sebuah lagi filem aksi ini. Saya tidak mahu mendedahkan lagi spoiler besar, tetapi saya memberi sedikit rujukan kepada anda, filem White House Down!.

Mujur kelemahan penulisan filem ini dapat ditutup sedikit dengan jujukan adegan aksinya. Saya boleh katakan, adegan-adegan aksinya sangat memuaskan hati. Jika dua filem sebelum ini banyak melibatkan adegan tembak-menembak dan aksi bertumbuk, Angel Has Fallen menambah adegan-adegan letupan yang cukup mengiurkan. Sudah menjadi “trademark” dalam trilogi Fallen dimana “hero” membunuh musuhnya dengan penuh dendam, filem kali ini dilihat lebih mendebarkan, dan saya merasa sangat puas bila orang jahat ditumpaskan satu persatu.

Filem ini juga tidak terlepas dari masalah teknikal ini, iaitu kesan khas CGi. Jika cuba bermain dengan babak-babak yang melibatkan letupan, bantuan kesan khas janaan komputer banyak memainkan peranan selain melakukannya dengan mengunakan teknik fizikal. Dan disinilah terdapat beberapa kesan khas yang agak menyakitkan mata, kesannya tidak begitu realistik dan kurang kemas. Tetapi ia boleh dimaafkan kerana kelemahan ini tidak begitu ketara seperti kesan-kesan khas filem Melayu.

Satu lagi pekara yang gagal digunakan sebaiknya adalah watak-watak samping. Trilogi Fallen sememangnya menggunakan satu wira sahaja, tetapi jika ia melibatkan beberapa watak seperti watak ‘side kick’, antagonis mahupun watak-watak lain seperti anggota FBI dan sebagainya, ianya haruslah digunakan sebaik mungkin. Watak penyiasat FBI misalnya, seperti tiada makna dan langsung tidak membantu meningkatkan kualiti jalan cerita filem ini, walaupun pada awalnya ia boleh dijadikan pemangkin dalam pembinaan plot lebih dramatik dan mencipta plot twist yang lebih berkesan.

Begitu juga watak antagonis, agak lemah berbanding watak antagonis filem pertama iaitu Kang Yeonsak, dan tarafnya hampir sama seperti Aamir Barkawi, nampak seperti hebat tetapi gagal memberi tekanan kepada watak proantagonis dan tidak begitu kejam.

Secara keseluruhan, Angel Has Fallen boleh dijadikan penutup trilogi ini tanpa perlu cuba untuk menghidupkan kembali dengan menghasilkan filem keempat. Sukar sebenarnya filem sebegini dihasilkan dalam bentuk siri kerana ia akan menjurus kearah klise. Adegan aksi mungkin boleh digunakan sebagai tangkal pelaris, tetapi jika penceritaan sama, tidak kreatif dan tiada perbezaan, ia dikhuartiri akan mengundang rasa bosan kepada penonton.

Akan tetapi, saya tidak mengatakan filem ini teruk, Angel Has Fallen masih lagi dalam kategori filem yang menarik untuk ditonton. Percayalah, adegan-adegan aksinya mampu membuatkan anda melupakan segala kelemahan-kelemahan filem ini.

Rating Kakimuvee: 6.5/10

p.s: Angel Has Fallen memiliki babak mid-credit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here