Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Ada Hantu (2021)

Pertama sekali, saya ingin ucapkan tahniah Hairul Azreen kerana sudah bergelar pengarah. Filem seram tempatan, Ada Hantu, yang juga merupakan debut Hairul sebagai pengarah, kini boleh distrim di perkhidmatan streaming Disney+ Hotstar. Ditulis oleh pengarah tersohor Adrian Teh, Ada Hantu menjanjikan twist yang tidak disangka dan lucu kepada penonton.

Ada Hantu mengisahkan tentang Aliff (Zahiril Adzim), seorang ‘Youtuber’ popular yang sangat skeptikal terhadap semua perkara ghaib, terutamanya hantu. Sikapnya yang suka bercakap besar bagaimanapun tidak disenangi rakan-rakannya. Bagi membuktikan hantu tidak wujud, dia telah mencabar rakan-rakannya untuk bermalam di mana-mana lokasi yang dipercayai berhantu.

Bariah (Shiqin Kamal), salah seorang rakannya, telah mencadangkan sebuah rumah lama berhampiran kampungnya. Menurutnya, rumah tersebut pernah dimiliki oleh jeneral tentera Jepun yang telah menyeksa dan membunuh semua orang di sekelilingnya dengan kejam. Dek kerana kekejaman jeneral tentera itu, rumah tersebut menjadi ‘urban legend’ dikalangan penduduk setempat, dan dipercayai berpuaka.

Aliff bersetuju agar rumah tersebut menjadi tempat untuk mereka meraikan harijadinya. Menjelang tengah malam, selepas mereka menyambut hari lahir Aliff, berlaku beberapa pekara aneh dan menyeramkan. Aliff yang ketakutan, menjadi panik selepas di kehilangan rakan-rakannya, dan ketika itulah dia segera menyedari bahawa rumah itu menyimpan sesuatu yang menakutkan, lebih dari apa yang dia bayangkan. 

Ada Hantu mengingatkan saya tentang satu lagi filem tempatan yang telah ditayangkan pada tahun ini, iaitu Selamat Hari Tak Jadi. kedua-dua filem tersebut memiliki idea yang hampir sama, walaupun berbeza dari segi jalan cerita. Jika Selamat Hari Tak Jadi mengetengahkan konsep ‘home invasion’, filem ini menggunakan elemen-elemen supernatural dan seram dalam menggerakkan jalan cerita. Dan sudah tentu, saya lebih memilih filem ini kerana ia memiliki kelebihan pada cerita dan ‘twist’nya. 

Pada satu tahap, saya menyangkan filem ini lebih kepada seram yang serius, menjanjikan ‘jump-scare’ yang mengejutkan. Secara jujurnya, ketika watak Aliff mula diganggu, saya sudah dapat merasai ‘vibe’ tipikal filem seram – sengaja pergi ke rumah hantu, ada watak yang bermulut celupar dan sebagainya. Cuma pada ketika itu, saya tertanya kenapa ia tidak menggunakan unsur-unsur ‘jump-scare’ atau mencipta suasana seram yang menakutkan. Tetapi, sebaik sahaja ‘twist’ disajikan, barulah saya menyedari bahawa filem ini bukanlah filem seram yang biasa. Saya tiada masalah apabila nada filem ini berubah kearah komedi pada ‘act’ ketiga, dan bagi saya peralihan plot yang lebih menjurus kepada komedi membuatkan filem ini jadi lebih menghiburkan. 

Bahagian awal penceritaan sedikit bosan dan ‘cringe’, terutamanya lakonan para pelakonnya. Peralihan cerita = dari mereka merancang, tiba ke rumah lama sehingga Aliff diganggu hantu – agak meleret. Terlampau fokus pada ‘cari konten’ sehingga membuatkan saya merasa bosan dan tidak fokus. Jika pengenalan dipendekan, dan adegan yang melibatkan Aliff dibuat sedikit panjang atau lebih seram, ditambah pula dengan ‘twist’, saya yakin plot filem ini pasti menjadi lebih menarik.

Perwatakkan seimbang dengan jalan cerita, masing-masing mendapat peranan mereka, cuma dari segi kualiti lakonan, tidak banyak yang boleh diperkatakan. Walaupun Zahiril membawa watak utama, satu-satunya babak diingati adalah diketika dia menunjukkan wajah yang menakutkan, iaitu sewaktu di penghujung filem. Hairul Azreen, seperti biasa … mungkin kerusi pengarahan sesuai untuknya. Watak lakonan Elvina Chua sekadar ‘filler’, manakala Nafiez Zaidi dan Shiqin Kamal nampak sedikit menyerlah walaupun kadang-kala sedikit kaku. 

Kehadiran Sophia Albarakbah, Henley Hii, Theebaan dan Dafi Ismail Sabri lebih kepada ‘comedic’, tetapi saya terhibur dengan lakonan komik Henley Hii dan Theebaan yang benar-benar lucu dan ‘memorable’. ‘Production value’ filem ini sangat tinggi, kelihatan kemas, kesilapan konti yang sangat minima dan hasil kerja kamera yang cantik – mungkin kerana ia diterbitkan studio terkemuka Act 2 Pictures. Apapun, sebagai filem debut, Hairul Azreen benar-benar menjadi kualiti produksinya.

Walaupun poster utama filem ini agak teruk, tetapi bak kata peminat filem, ‘don’t judge a movie by its poster’, Ada Hantu adalah filem yang menghiburkan, dan Hairul Azreen berjaya membuktikan dia mampu menjadi pengarah. Saya tidak kata filem ini berkualiti tinggi, dan saya juga tidak menganggap filem ini teruk. Selagi ia mampu membuatkan saya terhibur, saya akan hargai usaha pengarah, penulis filem pelakon dan mereka yang terlibat. Secara keseluruhannya, Ada Hantu sangat berbaloi untuk ditonton, dijamin menghiburkan, dan anda pasti tidak akan kecewa dengan hasil kerja Hairul Azreen. 

<strong>Rating Kakimuvee</strong>

3/5

Ada Hantu boleh distrim di Disney+ Hotstar

Related posts

Review Filem: Venom: Let There Be Carnage (2021)

Kakimuvee

Review Filem: The Cursed: Dead Man’s Prey (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Bunty Aur Babli 2 (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Budak Kripto (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Annaatthe (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Dendam Kesuma (2021)

Ahmad Fariszuan

Leave a Comment