Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Ad Astra (2019)


Sinopsis.

Dua puluh tahun lalu, bapa Roy McBride telah hilang ketika dalam misi ke Neptune untuk mencari makhluk asing. Kini Roy bekerja sebagai jurutera Korps Tentera dan mengembara ke angkasa lepas untuk mencari bapanya.

Ulasan.

Ad Astra adalah daripada bahasa latin yang bermaksud ‘ke bintang’. Filem ini pada awalnya dijadualkan untuk tayangan pada Januari 2019 sebelum ditunda ke Mei 2019. Namun isu pemilikan Disney ke atas Fox menukar pula jadual tayangan Ad Astra pada September ini. Mendapat pujian daripada para pengkritik di beberapa festival filem, menjadikan Ad Astra filem terbaik James Gray.

Mengambil garis masa di zaman hadapan, filem ini menunjukkan kemajuan teknologi yang pesat. Manusia sudah mampu melancong ke bulan, ada stesen penempatan di Marikh dan ‘deep space exploration’ hingga ke planet terakhir di sistem suria kita. Pendek kata, world building yang ditunjukkan dan gambaran masa hadapan dalam filem ini sangat solid. Sesuai dengan idea pengarah James Gray yang inginkan 1 filem pengembaraan angkasa lepas yang sempurna lagi epik.

Kebanyakan babak dalam filem ini dimonopoli oleh watak Brad Pitt iaitu Roy McBride. Ianya mencabar kemampuan Brad Pitt sebagai pelakon yang versatile, dan ternyata prestasinya sangat mengagumkan. Dia mampu menterjemahkan kekeliruan, kekecewaan dan emosi dalam lakonannya sehingga mampu memberi kesan yang mendalam kepada penonton. Tidak terkecuali pelakon Tommy Lee Jones sebagai Clifford McBride, ayah kepada Mejar Roy McBride yang terlalu obses dengan pencariannya demi masa depan sehingga terlupa dengan apa yang ada masa sekarang terutamanya dihadapannya – memberi makna yang cukup tersirat.

Penceritaan filem ini sangat linear, tiada plot twist dan tiada misteri alam yang perlu dirungkaikan sepertimana kita menonton filem Interstellar mahupun The Martian. Ianya mirip seperti filem Moon, Blade Runner 2049 atau Gravity bagi menggambarkan betapa perlahannya plot penceritaan filem Ad Astra. Norma tempo dan suasana ceritanya juga seperti menonton sebuah filem dokumentari dengan suara latar dari watak utama mendominasi hampir keseluruhan masa skrin. Jadi banyak monolog dalaman dapat kita lihat. Bagi penggemar aksi dan jalan cerita yang penuh drama, pantas dan hiburan, pasti anda akan cepat merasa bosan apabila menonton filem ini. Tapi harus diingat, emosi boleh menjentik jiwa – itupun jika anda menghayatinya.


Kesan khas CGI dalam filem ini boleh dikatakan sempurna dan kemas. Banyak rakaman menarik dan cantik dapat kita lihat sebagai buah mata yang menyenangkan. Planet-planet, bintang-bintang dan kemajuan tamadun ditunjukkan dengan begitu realistik, seolah-olah memberi gambaran inilah suasana alam semesta yang sebenar. Runut bunyinya juga digunakan dengan cara yang bersesuaian, ia membezakan pergerakkan bunyi ketika mengenakan sut angkasa lepas ataupun didalam kapal angkasa dengan persekitaran diluar, jadi tidak hairanlah kadang-kala penonton hanya mendengar bunyian yang sangat minimum, itulah hakikat bagaimana bunyi bergerak di angkasa lepas – misteri alam semesta.

Kesimpulannya, Ad Astra adalah sebuah filem untuk mereka yang gemarkan satu karya yang berseni lagi mendalam tanpa perlu memenatkan minda untuk memikir segala teori fizik alam semesta ataupun mengejar hiburan semata-mata. Isi pentingnya mempunyai maksud yang cukup tersirat, kadang kadang dalam mengejar esok kita lupa hari ini. Jadi jangan terlalu mengharap bintang beribu batu hingga terlupa bulan depan mata. Ad Astra mungkin bosan, tetapi nilainya sangat tinggi.

Bahasa: Inggeris
Sarikata: Inggeris / Cina
Klasifikasi: P13
Tarikh Tayangan: 19 September 2019
Genre: Pengembaraan / Fiksyen Sains
Durasi: 2 Jam 3 Minit
Pengedar: Walt Disney Pictures
Pelakon: Brad Pitt, Tommy Lee Jones, Ruth Negga, Liv Tyler, Donald Sutherland
Pengarah: James Gray
Format: 2D, IMAX 2D, 2D ATMOS, 2D D-BOX

Rating Kakimuvee: 8/10


Related posts

Review Filem: Hantu Bonceng 2.0 (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Space Sweepers (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Kerana Korona (2021)

Ahmad Fariszuan

7 Filem Sains Fiksyen Mengenai Angkasa Yang Harus Anda Tonton!

Kakimuvee

Review Filem: Devil (2010)

Kakimuvee

Review Filem: Mulut Masin (2020)

Kakimuvee