Review

Review Filem: 21 Bridges

Views

Selepas berjaya membawakan watak adiwira T’Challa / Black Panther dalam filem-filem Marvel, lakonan Chadwick Boseman kini menjadi tumpuan para peminat filem. Filem terbarunya, 21 Bridges memberikan sedikit kelainan pada lakonannya dimana dia membawa watak Andre Davis, seorang detektif polis yang sangat tegas dan berintergriti tinggi.

Filem aksi thriller ini dimulakan dengan satu babak yang cukup suram dimana ia memaparkan ‘flashback’ Andre Davis berada di gereja semasa majlis pengebumian ayahnya, seorang anggota polis yang telah mati dibunuh penjenayah. Selepas hampir 19 tahun, filem ini membawa penonton kembali ke masa sekarang dimana Davis telahpun menjadi seorang detektif. Sebagai seorang yang cukup tegas dalam membanteras jenayah, dia telah dipanggil oleh bahagian Siasatan Dalaman kerana sering membunuh para penjenayah. Namun dia menjelaskan, perbuatannya itu dibuat berdasarkan justifkasi sewaktu kejadian.

Plot utama 21 Bridges bermula pada bahagian kedua dimana beberapa anggota polis telah dibunuh secara kejam oleh dua penjenayah sewaktu melakukan rompakan. Kejadian malang itu mengejutkan seluruh pasukan Polis New York, dan Davis telah diberi tugasan untuk menyiasat dan menangkap si pelaku dengan segera. Dia disertai oleh pegawai polis dari bahagian Narkotik, Frankie Burns (Sienna Miller). Pada awalnya Davis terganggu dengan kehadiran Burns, tetapi disebabkan rompakan itu melibatkan sejumlah besar dadah, dia terpaksa bekerjasama dengan Burns.

BACA:  Review Filem: Playing With Fire 

Siasatan Davis sekali lagi terganggu apabila dua pegawai Persekutuan FBI mula campurtangan. Davis yang mempunyai perancangannya sendiri telah meminta FBI agar tidak menganggu tugasnya, tetapi permintaannya tidak dipersetujui Datuk Bandar, pihak FBI dan ketua polis, Captain McKenna  (J.K. Simmons). Davis sekali lagi membuat satu lagi permintaan, iaitu menutup bandar Manhattan serta 21 jambatan yang menghubungkan bandaraya tersebut, dan memberi masa sehingga jam 5 pagi untuk pasukannya menangkap penjenayah. Jika gagal mereka akan melepaskan kes kepada pihak FBI.

A

Pembuka cerita 21 Bridges dibuat dengan cukup kuat sekali. Paparan babak ‘flashback’ dan perjumpaan Davis bersama anggota Bahagian Dalaman memberi maksud yang cukup mendalam. Plot menjadi semakin menarik sebaik sahaja memasuki babak yang menunjukkan dua penjenayah merompak sebuah restoran dan membunuh anggota polis. Boleh dikatakan, separuh masa pertama 21 Bridges diisi dengan jalan cerita yang sangat mendebarkan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melepasi separuh durasi filem, 21 Bridges secara perlahan-lahan mula terjerumus tema polis baik / polis jahat yang begitu klise. Memandangkan Hollywood sering menghasilkan filem bertemakan polis baik / polis jahat, plot twist dan penamat filem menjadi sangat mudah untuk dijangka.

BACA:  Review Filem: Darbar (2020)

Antara kelebihan 21 Bridges adalah adegan aksinya cukup intense. Babak yang melibatkan tembak-menembak tidak dibuat secara berlebihan. Kebiasannya filem-filem seperti ini akan menjual adegan-adegan tembak-menembak sehingga kadang kala menjadi sangat mengarut, tetapi 21 Bridges menterjemahkannya dengan lebih realistik, pendek tetapi kejam. Selain itu juga, babak kejar mengejar diantara Davis dan penjenayah juga menarik dan memberi debaran yang maksimum.

Chadwick Boseman memberi satu bentuk lakonan yang sangat baik. Pembawakan wataknya cukup berkarisma dan menyakinkan. Selain itu juga, watak-watak dalam filem ini telah digunakan sebaiknya, dan kesemuanya berjaya mewujudkan ketegangan dan konflik. Cumanya, hubungan dinamik diantara karakter Andre Davis dan karakter Frankie Burns lakonan Sienna Miller tidak begitu kuat dan gagal memberi impak besar terutamanya di penghujung filem.

Jika anda meminati filem yang mengangkat tema jenayah dan polis korup, 21 Bridges antara filem saya cadangkan. Selain dari aksinya yang intense dan kejam, suasana filem yang serius serta lakonan mantap Chadwick Boseman menjadi antara faktor utama kenapa anda harus menonton filem arahan Brian Kirk ini.

RATING KAKIMUVEE: 8/10

*21 BRIDGES AKAN DITAYANGKAN DIPAWAGAM TEMPATAN MULAI 2 JANUARI 2020

Tinggalkan Balasan

shares