Review

Review Filem: 1917 (2019)

Filem sangat mudah, tetapi bernilai tinggi baik dari segi penulisan dan aspek teknikal

Views

 

Amaran Spoiler!!!

Dari filem drama, jenayah sehinggalah bertemakan pengintipan dan perang, Sam Mendes merupakan antara pengarah prolifik Hollywood yang sering menghasilkan filem-filem yang sangat berkualiti. Selepas lama menyepi dari menghasilkan filem dan hanya terlibat sebagai penerbit siri televisyen, Mendes kembali dengan sentuhan terbaru menerusi filem epik perang berjudul 1917. 

Ditulis secara bersama dengan penulis Krysty Wilson-Cairns, Mendes membawa penonton menyusuri hari-hari yang sangat kejam dan suram semasa Perang Dunia Pertama. Kerjasama dengan sinematografer Roger Deakins menambah lagi pengalaman sinematik penonton dengan babak-babak “one continuous shot” yang sangat memukau.

1917 bermula dengan kisah dua sahabat, Lans Koperal William Schofield (George MacKay) dan Lans Koperal Tom Blake (Dean-Charles Chapman) yang diarah untuk melaporkan diri kepada General Erinmore (Colin Firth). Mereka berdua telah diberikan satu tugasan yang sangat merbahaya, iaitu menyusup masuk kawasan yang dikuasai musuh untuk memberi arahan bagi pihak pemerintah tertinggi kepada Devonshire Regiment agar menghentikan rancangan mereka  menyerang pasukan tentera Jerman yang disangkakan sedang berundur.

Detik-detik cemas dan mendebarkan bermula apabila Schofield dan Blake melalui kawasan yang digelar sebagai “No man’s land” dalam usaha mereka menyempurnakan misi. Masa sangat mencemburui mereka, dan musuh sedang memerhati, Schofiled dan Blake harus berhati-hati dan segera menyempurnakan misi supaya rakan mereka mereka tidak termasuk dalam perangkap yang sengaja dirancang oleh pihak musuh.

Teknik ‘single-take’ 1917 memberikan kesan sinematografi yang sangat memukau sehingga sukar untuk penonton mengalihkan sedikit perhatian walaupun sedetik. Paparan dua individu yang sentiasa bergerak diruangan yang sesak dan kecil semasa diawal filem memberi ‘hint’ kepada penonton agar memberikan sepenuh fokus pada setiap gambar-gambarnya. Apabila menginjak masuk ke kawasan ‘No man’s land’, maka bermulalah ‘survival’ yang menakutkan. Perincian latarbelakang filem seperti mayat bergelimpangan, keadaan berlumpur, sesak dan sebagainya, ditambah pula dengan teknik ‘single-take’, penonton pastinya sesak nafas dengan debaran dan suasana yang menakutkan.

Plot 1917 sangat mudah dan linear, tetapi masih memberikan beberapa urutan babak yang sangat menarik dan ‘memorable’. Antara yang memberi kesan kepada penonton adalah semasa Schofield dan Blake menyelamatkan juruterbang musuh dari dibakar hidup-hidup. Pada awalnya, ia seolah-olah memaparkan sifat kemanusian disebalik perang yang sangat kejam. Semasa Schofiled cuba mengambil air untuk memadamkan api yang sedang membakar tubuh musuhnya itu, cerita disebalik kamera menunjukkan sebaliknya, satu bentuk penceritaan yang sangat mudah, tetapi memberi maksud yang sangat mendalam.

Adegan klimaksnya juga tidak dimomokkan dengan letupan dan tembakan peluru yang melampau. Cukuplah sekadar tembakan sniper dan melarikan diri dari buruan askar-askar Jerman serta ‘urgency’ dalam membawa pesanan penting disebalik suasana kelam kabut dikala sedang berperang; sudah memadai dalam memberikan sebuah urutan adegan aksi yang memuaskan hati. Penamatnya juga mudah, tetapi masih mampu memberikan kesan emosi yang mendalam kepada penonton.

Secara keseluruhannya, 1917 merupakan sebuah filem epik perang yang harus disimpan dalam koleksi filem anda. Filem yang sangat mudah, tetapi bernilai tinggi baik dari segi penulisan dan aspek teknikal, menjadikan karya terbaru Sam Mendes ini akan diingati sampai bila-bila.

RATING KAKIMUVEE: 9.5/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE9.5

VERDICT

9.5Filem mudah dari segi penceritaan, tetapi aspek teknikal yang berkualiti tinggi menjadikan 1917 antara filem terhebat pada tahun 2019

Tinggalkan Balasan

shares