Review

Review: Bulan Dan Pria Terhebat

Views

Amaran Spoiler!!!

Agak jarang sekali kita dapat melihat filem-filem aksi tempatan diterajui oleh pelakon wanita. Kebiasaannya, pelakon-pelakon lelaki yang akan menjadi watak utama, dan jika terdapat keperluan untuk wanita melakukan aksi – seperti berlawan -, mereka ini sekadar menjadi watak sampingan atau sidekick kepada watak utama.

Filem-filem aksi yang diterajui wanita sudah banyak dihasilkan oleh produksi luar negara. Kill Bill, Alien, Underworld, Atomic Blonde adalah antara filem yang menyaksikan wanita menjadi watak utama dan hebat dalam melakukan adegan-adegan aksi terutamanya menewaskan lawan-lawannya. Malah filem Korea Selatan juga turut menghasilkan filem aksi wanita mereka sendiri seperti The Villainess dan No Mercy. 

Jadi, jika anda ingin melihat sebuah filem aksi yang diterajui wanita, tetapi dalam konteks tempatan, filem arahan Ghaz Abu Bakar, Bulan dan Pria Terhebat adalah jawapannya.

Bulan dan Pria Terhebat bukan sebuah filem yang ‘pure’ dengan aksi, ianya dicampur dengan unsur-unsur komedi, sesuai dengan genrenya sebagai sebuah filem aksi komedi. Jalan ceritanya sangat mudah, mengisahkan tentang Bulan (Zahirah MacWilson), seorang pelatih pasukan khas Indonesia yang datang ke Malaysia untuk mencari adiknya yang di culik sindiket perdagangan manusia. Dalam usahanya mencari adiknya itu, Bulan ditakdirkan bertemu dengan tiga lelaki yang mengelarkan diri mereka sebagai ‘pria terhebat’ iaitu Haris (Zizan Razak), Arab (Bell Ngasri) dan Daud (Alif Hadi). Mereka berempat kemudiannya bersama-sama dalam misi menjejaki dan membebaskan adik Bulan.

Usaha Ghaz Abu Bakar dalam mengangkat wanita sebagai watak utama filem aksi boleh dikatakan baik, cuma ianya perlu banyak diperbaiki. Ideanya sudah ada dan agak ringkas – dimana Bulan ingin mencari adiknya, dan dia bertemu dengan tiga orang lelaki – tetapi sayang, penceritaannya di’serabut’kan dengan beberapa subplot dan karakter yang tidak penting serta tidak membantu dalam perkembangan cerita. Saya suka jika penceritaannya lebih menjurus kepada motivasi utama Bulan, tanpa perlu melibatkan kisah peribadi Haris yang ingin berkahwin. Bagi saya, menyelitkan masalah peribadi Haris dalam plot utama hanya menganggu fokus kepada kisah Bulan yang ingin mencari adiknya, melainkan subplotnya kuat dan mampu mewujudkan konflik diantara dua watak. Apa yang saya lihat, konflik yang dihadapi Haris tidak memberi sebab yang kuat kenapa Haris mahu membantu Bulan, dan motivasinya sering berubah-ubah, serta konflik yang .. boleh dikatakan tidak begitu kuat.

BACA:  Review Filem: M4M4

Sebagai filem yang bergenrekan aksi komedi, unsur aksi dan komedi perlu seimbang dalam sesebuah filem supaya ia memberikan sebuah aksi yang mantap, dan dalam masa yang sama, dapat memberi hiburan kepada penonton. Namun Bulan dan Pria Terhebat dilihat seolah-oleh terperangkap dengan dua unsur ini, tidak tahu yang mana patut diberi keutamaan, adakah adegan aksi atau komedi. Adegan komedinya tidak begitu jelas, Bulan dan Haris gagal mewujudkan suasana yang membolehkan penonton ketawa. Mereka berdua menjadi agak serius apabila berkongsi babak yang sama, dan jika ada komedi yang cuba disampaikan, ianya agak ‘dry’. Senang kata, tiada ‘yin’ dan ‘yang’ diantara Bulan dan Haris. Unsur komedi filem ini hanya dihidupkan oleh watak Arab dan Daud, itupun komedi yang klise dan tidak memberi momen yang diingati kepada penonton.

Babak-babak melibatkan aksi boleh dikatakan ‘Ok’ walaupun tidak padat dan mendebarkan. Zahirah MacWilson kini boleh menjadi seorang lagi ‘gadis’ lasak dalam filem aksi tempatan selepas Feiyna Tajudin  / Geran dan Fify Azmi / Wira. Saya tidak mengatakan dia hebat seperti heroin-heroin dalam filem aksi wanita Hollywood, tetapi sekurang-kurangnya dia memiliki aura seperti Charlize Theron dalam filem Atomic Blonde atau Kim Ok-vin / The Villainess. 

Cuma terdapat beberapa pekara yang saya kurang gemari mengenai adegan aksi filem ini. Ghaz dilihat cuba mengehadkan kebolehan Bulan dengan memberikan beberapa adegan aksi kepada watak Haris. Bagi saya, Bulan sepatutnya perlu lebih ‘superior’ dari tiga Pria Terhebat itu, sesuai dengan tajuk filemnya. Adegan tembak menembak, kejar mengejar atau adegan-adegan yang serius perlu diberikan kepada watak utama supaya kehebatannya dapat ditonjolkan, manakala Pria Terhebat digunakan sebagai ‘comic relief’ – seiring dengan genre aksi komedi. Tetapi sayangnya, perwatakan Haris telah ‘overshadow’ Bulan sehingga merencatkan peluang untuk watak tersebut menjadi lebih ‘badass’. Saya tiada masalah sekirannya Ghaz mahu memberi adegan aksi kepada Pria Terhebat, tetapi sebolehnya tidak ‘overshadow’ watak utama. Third act filem ini jelas menunjukkan bagaimanan Pria Terhebat, khususnya Haris membayangi adegan-adegan aksi Bulan.

Seperti Wira, Bulan dan Pria Terhebat dirosakkan dengan pelakon-pelakon pembantu yang agak kayu, terutamannya dalam melakonkan adegan-adegan aksi. Walaupun mereka ini pelakon pembantu, lakonan mereka sepatutnya lebih ‘hidup’ supaya tidak merosakkan ‘details’ dan suasana filem.

BACA:  Review Filem Netflix: 93 Days (2016)

Bagi yang merindui Maya Karin, anda boleh melihat lakonnnya dalam filem ini. Dia memainkan peranan sebagai Tony, pembunuh upahan yang ingin memburu Bulan. Terus terang saya katakan, antara faktor utama saya ingin menonton filem ini adalah ingin menyaksikan pertembungan diantara Zahirah dan Maya. Saya tidak mengharapkan lebih dari kedua-dua pelakon ini, tetapi pertembungan mereka yang masih memberi kepuasan walaupun adegan pertarungan tidak begitu padat. Saya paling kesian dengan karakter Agus lakonan Khir Rahman. Bagi yang pernah melihat lakonan Khir Rahman, pasti tau bagaimana dialog-dialognya. Cuma dalam filem ini, kata-kata yang cuba diucapkan Khir tidak dapat dilempiaskan sepenuhnya dek kerana ‘censorship’ LPF, bagaimanapun lakonan Khir Rahman berjaya mencuri perhatian dengan karakter villainnya yang agak cuai.

Secara keseluruhannya, Bulan dan Pria Terhebat adalah cubaan yang baik dalam menonjolkan pelakon wanita sebagai watak utama filem aksi. Aksi komedinya memuaskan, dan masih memberi hiburan kepada penonton, cuma banyak lagi yang boleh di’polish’ sekirannya terdapat perancangan sekuel. Apapun, Zahirah MacWilson sebagai Bulan sangat ‘cocok’ sekali dan pasti anda jatuh hati dengan aksi pengantin baru itu.

RATING KAKIMUVEE: 6/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE6

VERDICT

6Cubaan yang baik dalam mengangkat wanita sebagai watak utama filem aksi, cuma Bulan dan Pria Terhebat terperangkap dengan keseimbangan adegan aksi dan komedi.

Tinggalkan Balasan

shares