
AMARAN SPOILER!!!
Ant-Man & The Wasp: Quantumania membuka Fasa baru MCU dengan menceritakan lebih lanjut mengenai penjahat utama yang paling digeruni setakat ini, Kang the Conqueror. Walaupun Kang telah diperkenalkan dalam siri Loki, tidak banyak info yang diketahui oleh peminat, terutamanya ‘variant’ paling jahat seperti yang dinyatakan ‘Kang’ dalam siri MCU itu.
Filem kali ini tampak jauh berbeza berbanding penggembaraan Scott Lang dalam filem-filem terdahulu, khususnya filem solonya sendiri. Jika sebelum ini dia hanya berhadapan dengan penjahat yang tidak mencapai ‘ancaman tahap Avengers’ (kecuali dalam Avenger Endgame), kali ini, dia menjadi anggota Avengers pertama, sudah tentu dalam universe-nya sendiri, yang bertembung dengan Kang, penjahat utama MCU yang bakal ditentang Avengers.
Cerita Quantumania dimulakan dengan paparan kehidupan Scott Lang selepas Endgame dimana dia menjadi terkenal dan gembira. Tetapi, jauh disudut hatinya, dia merasai kehilangan waktu berharga bersama anak perempuannya, Cassie Lang.
Cassie, yang kini seorang remaja, ingin mengikut jejak langkah bapanya dengan membantu orang-orang susah, tetapi dia sering dipenjarakan kerana melakukan kesalahan sehingga menyebabkan bapanya sakit kepala. Lebih memeningkan kepala Scott, anak perempuannya itu merahsiakan banyak pekara, dan pekara-pekara itu diketahui Hank dan Hope, serta Janet. Tetapi, ada pekara yang lebih bahaya, bukan sahaja tidak diketahui oleh Scott tetapi juga Janet.
Sewaktu berada dalam makmal Hank, Cassie mendedahkan bahawa dia mencipta alat yang memetakan alam kuantum dengan menghantar isyarat ke alam tersebut. Usaha Cassie itu mengejutkan Janet yang segera meminta alat itu dipadamkan. Tetapi, usaha itu gagal dan mereka semua disedut masuk ke alam kuantum dan terperangkap.
Keluarga Scoot dan Hank terpisah antara satu sama lain apabila mereka terhempas ke dalam alam tersebut. Walaupun pernah berada dalam alam kuantum, Scott masih keliru dengan apa yang berlaku, manakala Hope mendesak ibunya akan menceritakan pekara sebenar, yang dirahsiakan darinya dan Hank. Tetapi Janet berat hati untuk mendedahkannya sehinggalah mereka diserang oleh individu yang pada suatu ketika dahulu dianggap kawan oleh Janet.
Hampir keseluruhan filem Ant-Man & The Wasp: Quantumania disajikan dengan kesan khas komputer yang menterjemahkan permandangan dan makhluk yang berada dalam alam kuatum. Penonton boleh mengibaratkannya seperti menonton Avatar: The Way of Water denagn kualiti kesan khas MCU. Jangan salah anggap, ianya tidaklah teruk, masih memukau dan membangkitkan rasa ingin tahu penonton mengenai suasana di alam tersebut, tetapi terdapat beberapa bahagian yang mencerminkan tahap kualiti kesan khas MCU, khusus semasa adegan-adegan aksi.
Plotnya tipikal, tiada pekara baru dan unik melainkan kita melihat penggembaraan dan konflik yang dihadapi protagonis sebelum mereka akhirnya bertembung dengan antagonis dan bertarung. Walaubagaimanapun, kita setidak-tidaknya dalam melihat gambaran alam kuantum yang tidak mempunyai batas ruang dan masa, serta keadaan semasa berada di alam tersebut.
Yang paling penting, kita juga dapat melihat dengan lebih mendalam mengenai karakter Kang, protagonis utama yang bakal membentuk perjalanan Fasa 5 MCU dan seterusnya. Objektif Kang dilihat tidak jauh beza dengan mana-mana penjahat dalam filem, hanya mempunyai keinginan untuk menghancurkan dunia, atau dalam MCU, menghuru-harakan ‘multiverse.’
Abiliti dan kekuatan Kang nyata jauh lebih kuat dari apa yang kita bayangkan sebelum ini, dan berdasarkan dari kata-katanya dalam Quatumania, dia telah banyak kali pernah menewaskan Avengers. Walaupun pada awalnya ia digambarkan paling hebat dan berkuasa, MCU sekali lagi ‘nerf’ (menurunkan) kuasanya apabila penceritaan mula memasuki bahagian klimaks.
Kang mungkin tidak boleh ditewaskan apabila bertarung dengan dua atau tiga lawan sekaligus, tetapi apabila semuanya dicampakkkan kearahnya, ia menunjukkan Kang tidaklah sehebat seperti yang disangka. Jika diambil kira kewujudan varian-varian Kang di pelbagai alam, MCU mungkin masih menyembunyikan penjahat yang sebenar, dan varian Kang dalam Quantumania ini adalah sekadar untuk menggambarkan kekuatan dan personaliti Kang.
Selain ingin melihat penggembaraan baru Scott Lang dan musuh baharu Kang, penonton sudah tentu ingin melihat prestasi pendatang baru MCU, Kathryn Newton, yang menggantikan tempat Emma Fuhrmann sebagai Cassie Lang. Tidak banyak yang boleh dibandingkan dengan Fuhrmann kerana wataknya hanya muncul selama beberapa minit semasa di penghujung filem Avengers: Endgame, tetapi prestasi Newton tidaklah mengecewakan, malah dia berjaya membawa personaliti Cassie sebagai seorang remaja yang memberontak.
Cuma gandingannya dengan Paul Rudd sebagai anak dan ayah kurang memberi impak dan dibayangi dengan hubungan Scott dan Cassie sewaktu kecil.
Ant-Man & The Wasp: Quantumania boleh dianggap pembukaaan yang baik untuk Fasa 6 MCU, fasa yang akan membawa penonton melihat dengan lebih mendalam terhadap ancaman yang bakal berlaku pada alam semesta, khusus selepas kita mengentahui niat sebenar Kang. Bagaimanapun, Quantumania masih lagi mengikut acuan tipikal MCU yang memberikan jalan cerita yang lurus, tanpa terlampau terikat dengan konflik dan emosi yang melampau, serta selingan humor.
Apa yang penting, kesinambungan MCU sekali lagi disusun dengan teliti, dan dalam masa yang sama menghiburkan. Dengan dua babak kredit yang menarik, penonton pastinya tidak sabar untuk melihat cerita yang seterusnya, lebih-lebih lagi yang melibatkan penjahat utama, Kang.
3.5/5