Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Anime Review

Review Anime: Pacific Rim: The Black (2021)

Pacific Rim boleh dikatakan antara francais mosters/kaiju yang agak menarik dan berpotensi untuk dikembangkan. Sudah tentu entri pertama Pacific Rim yang dilancarkan pada 2013 jauh lebih menarik dari sekuelnya, Pacific Rim: Uprising yang dilancarkan pada 2018. Namun, filem kedua sebenarnya mengembangkan lagi kisah peperangan diantara umat manusia dan mahkluk asing yang dipanggil Precursors.

Siri anime Pacific Rim: The Black merupakan sebuah projek anime hasil kerjasama Netflix dan Legendary Television, yang bertujuan untuk mengembangkan lagi francais. Anime ini ditetapkan selepas peristiwa Pacific Rim: Uprising dan berlatarbelakangkan benua Australia. Selepas Precursor gagal untuk menawan pergunungan Fuji semasa dalam filem kedua, makhluk asing itu mengubah objektif mereka, kali ini di Australia. 

AMARAN MAJOR SPOILER!!!

ANDA BOLEH BERHENTI DISINI SEKIRANYA MASIH BELUM MENONTON ANIME PACIFIC RIM: THE BLACK

Precursor telah menghantar Kaiju yang lebih kuat dan bijak di benua Australia sehingga pasukan pertahanan Bumi Pan Pacific Defense Corps gagal untuk menghalang kemaraan mereka. Selepas beberapa kali tewas, Pan Pacific Defense Corps terpaksa melancarkan Operation Blackout, yang bertujuan untuk menutup benua Astralia dan mengurung Kaiju dari keluar menyerang benua-benua yang lain. 

Beberapa pilot Jaegers telah berjuang habis-habisan bagi memastikan objektif Operation Blackout tercapai, dan antara juruterbang tersebut adalah Rangers Brina dan Ford Travis, ibubapa kepada dua kanak-kanak yang juga merupakan watak utama siri anime ini iaitu Hayley dan Taylor. Brina dan Ford Travis yang memandu Jaeger Hunter Vertigo telah membawa para survivor, termasuklah dua anak mereka, ke Shadow Basin dan meninggalkan mereka untuk mendapatkan bantuan di Sydney. 

Lima tahun berlalu, Hayley dan Taylor sudah menjadi remaja, tetapi bantuan masih belum tiba. Para survivor telah mendirikan komuniti di Shadow Basin sambil menunggu bantuan. Komuniti di Shadown Basin merupakan antara survivor yang terperangkap dalam Black  – hasil daripada Operation Blackout yang berlaku 5 tahun yang lalu.

Hayley yang sangat merindui ibubapanya, cuba menjalankan misinya sendiri. Bagaimanapun, ketika baru hendak memulakan perjalanan, dia secara tidak sengaja menjumpai pengkalan rahsia PPDC yang tertanam dibawah penempatan mereka. Semasa berjalan-jalan di dalam pengkalan tersebut, dia menjumpai Jaeger Mark-3 yang telah ditinggalkan, iaitu Atlas Destroyer, Jaeger latihan yang akan membentuk jalan cerita musim pertama Pacific Rim: The Black.

Tidak seperti dua filem asal, anime ini lebih menggunakan elemen penggembaraan dengan konfrontasi antara manusia ala The Walking Dead. Saya berkata demikian kerana anime ini memasukan plot yang memaparkan watak penjahat yang cuba mendapatkan Jaeger demi menguasai komuniti manusia yang lain – Ibarat seperti Negan (penjahat utama The Walking Dead) yang menguasai komuniti lain ketika dunia dipenuhi zombi. 

Plot orang baik – orang jahat ini mungkin tipikal (kerana banyak filem atau siri post-apoclypse memasukkan plot seperti ini), tetapi saya menyukainya kerana ia membuatkan saya ‘melekat’ pada anime ini kerana ingin mengentahui apa yang akan terjadi seterusnya. Tambahan pula, watak Mei – yang berada disebelah pihak jahat – sangat menarik dan misteri, seorang gadis lasak yang dianggap sebagai anti-hero. 

Musim pertama anime ini memperkenalkan beberapa watak utama, baik antagonis dan protagonis. Watak penjahat manusia dalam musim pertama tidak dimatikan, jadi berkemungkinan besar dia akan kembali dalam musim kedua, menganggu misi Hayley dan Taylor yang mahu mencari ibubapa mereka dengan menggunakan Atlas Destroyer. Selain itu juga, penghujung siri ini turut menggoda sesuatu yang menarik untuk musim seterusnya, kehadiran Kaiju baru yang akan menyebabkan konflik yang lebih menakutkan dan lebih kompleks. 

Dari segi animasi, Pacific Rim: The Black memberikan visual yang cantik dan kemas, rekabentuk dan ekpresi wajah karakter boleh dikatakan memorable, begitu juga latarbelakang benua Australia yang telah musnah dan rekabentuk Kaiju yang menakutkan. 

Tetapi yang harus diberi tumpuan adalah animasi ketika pertarungan antara Kaiju dan Jaeger. Penonton dapat melihat dengan jelas ketika dua musuh gergasi bertarung, percikan darah Kaiju, letupan dan pukulan Jaeger berjaya membangkitkan keterujaan untuk melihat adegan-adegan aksi. Oh ya, bercakap soal aksi, musim pertama kurang paparan aksi antara Jaeger-Kaiju, tetapi bila mula bertarung, dijamin puas hati. 

Konsep anime tidak semestinya sesuai untuk tonton kanak-kanak. Pacific Rim: The Black memiliki adegan yang memerlukan perhatian golongan dewasa. Anime ini tidak menyembunyikan babak-babak yang memaparkan kematian manusia, baik dipijak Kaiju mahupun ditembak. Jadi pemantauan dan pertimbangan orang dewasa sangat perlu sekiranya anime ini ditonton kanak-kanak. 

Secara keseluruhannya, musim pertama Pacific Rim: The Black tidak mengecewakan, plot yang menarik serta membawa penonton melihat konflik umat Manusia – Precursors dengan lebih luas. Penonton bukan sahaja melihat survival umat manusia di benua Australia yang terkurung, tetapi dapat mengentahui rancangan jahat Precursors yang mungkin boleh membawa kiamat kepada manusia.

Dengan durasi yang singkat, kurang 30 minit per episod, anda boleh boleh ‘marathon’ siri ini dalam tempoh 4 jam, dan pastikan anda menonton dengan teliti kerana terdapat easter egg dan kaitan dari entri pertama Pacific Rim.

Pacific Rim: The Black boleh di strim di platform penstriman Netflix

Rating Kakimuvee

4/5

Related posts

Review Anime: The Way Of The Househusband (2021)

Kakimuvee

Tiga Pengarah Ketuai Projek Sekuel “Spider-Man: Into the Spider-Verse”

Kakimuvee

Review Filem: Jangan Sendirian (2021)

Kakimuvee

Disney Dedah Poster Terbaru “Star Wars: The Bad Batch”

Kakimuvee

Review Telefilem: 18 Puasa Di Kampong Pisang

Kakimuvee

Trailer Resident Evil: Infinite Darkness Previu Watak-Watak utama

Kakimuvee