Recap Keluarga Baha Don Episod 3 & 4

282
views

Maaf kerana lambat mengeluarkan ‘recap’ episod 3 dan 4 drama Keluarga Baha Don. Maklumlah, minggu lepas, kami agak sibuk mengemaskini berita-berita dari konvensyen San Diego Comic Con. Ok, episod satu dan dua Keluarga Baha Don boleh dikatakan sebagai pengenalan kepada Keluarga Baha Don serta sekutu-sekutu mereka, untuk episod kali ini, Jo bakal mengentahui apakah perniagaan keluarga yang dijalankan oleh arwah ayahnya si Baha.

Episod 3

Dalam episod dua, Jo, Kesuma dan Ucu sedaya upaya untuk mengelakkan dari berkahwin dengan Suzy Faye, bagaimanapun dalam episod tiga, perkahwinan antara Jo dan Suzy tidak dapat dielakkan lagi. Mat yang cemburu kerana Jo dipilih untuk menjadi ketua keluarga sedaya upaya untuk menghalang perkahwinan diantara adiknya dan anak perempuan ‘Little Kok’. Namun seperti biasa, khadamnya yang agak dungu iaitu Angelito tersalah culik orang, bukan tok kadi tetapi tok mudim! Lebih mengecewakan Mat, Mama Don pula tidak sabar melihat majlis perkahwinan berlangsung, sedangkan Mama dan Mat telah berpakat untuk memastikan perniagaan keluarga diberikan kepada Mat

Kesuma yang semakin kecewa melakukan usaha terakhirnya untuk memujuk Jo, namun Jo terpaksa menuruti kehendak keluarga akhirnya perkahwinan diteruskan. Tetapi, rusuk Jo bergetar teruk selepas melihat isterinya, Suzy Faye sangat cantik dan menawan. Terkedu Jo, makin kecewa si Kesuma kerana Faye lagi cantik dari dia.

Dalam pada itu, sekutu-sekutu Keluarga Baha iaitu Awang Kebas (Nam Ron), Talal Al Halal (Razak Ahmad), Abe Wan Katok (Sabri Yunus), dan Madam Mendoza (Junji Delfino), bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan berlakunya “mexican standoff”. Puncanya, disebabkan Abe Wan Katok memaki hamun si Madam Mendoza. Mujur Secretary Hui (Indi Nadarajah) datang menenangkan keadaan, kalau tidak habis rosak majlis orang disebabkan mereka.

Episod 3 kurang komedi berbanding episod satu dan dua, tetapi plotnya semakin berkembang selepas Jo melangsungkan perkahwinannya dengan Suzy Faye. Suzy Faye tidak seperti Jo yang enggan untuk berkahwin dengan orang tidak dikenali, dia agak gembira dan seolah-olah sedang merancang sesuatu. Sementara itu, karakter Kesuma juga seperti menjadi semakin ‘badut’, jika episod dua saya suka dengan wataknya yang kelakar, episod tiga wataknya agak ‘annoying’, terkinja-kinja dan tak pandai nak ‘move on’. Memang layaklah dia ditinggalkan oleh Secretary Hui dekat lebuhraya Plus.

Episod 4

Dalam episod 4, Jo akhirnya mengentahui serba sedikit mengenai perniagaan bapanya. Seperti yang ditunjukkan dalam episod satu, Jo menyangkakan ayahnya menjalankan perniagaan restoran, tetapi dalam episod empat, perniagaan ayahnya lebih dari itu.

Walaupun sekutu-sekutu Baha menjalankan perniagaan yang tidak menyalahi undang-undang, pendekatan yang mereka lakukan mirip seperti kumpulan mafia iaitu dengan cara memeras ugut, memaksa dan sebagainya, dan Baha pula merupakan ketua dikalangan mereka. Jo sebenarnya agak hairan kenapa dia tidak tahu mengenai perniagaan ayahnya itu, bagaimanapun Ucu menjelaskan ke Jo bahawa arwah ayahnya tidak mahu menganggu Jo mengejar cita-cita sebagai Chef.

Bagi Secretary Hui, Baha sebenarnya mahu melakukan perubahan dikalangan sekutu-sekutu mereka, tetapi tidak sempat melaksanakan sepenuhnya kerana ajalnya sudah sampai. Jadi disebabkan itu, Jo dipilih untuk meneruskan perniagaan keluarga kerana Jo seorang yang neutral. Tidak mahu mengecewakan bapanya dan akhirnya Jo bersetuju menjalankan tanggungjawab sebagai ketua, tetapi bersyarat.

Dalam pada itu, perkahwinan diantara Jo dan Suzy nampak seperti bahagia, tetapi sebenarnya kedua-dua mengemukan syarat dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Karakter Suzy dalam keluarga Baha Don agak meragukan, Mama Don pun turut meragui kehadiran Suzy dalam keluarganya. Tetapi Suzy seperti telah lama bersedia, dan menantikan masa yang sesuai untuk memulakan langkah seterusnya. Apa yang dirancang oleh Suzy sebenarnya? adakah mahu merosakkan keluarga Baha Don? dan apa tugas pertama Jo nanti? dan eh lupa pula, Kesuma tersangkut didalam lori dan lori itu sedang menuju ke Thailand. Apa yang akan berlaku, nantikan episod lima dan enam yang akan bersiaran di laman streaming Viu setiap hari Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here