Recap Keluarga Baha Don Episod 1 & 2

1406
views

Mendengar sahaja tajuk Keluarga Baha Don, pasti ramai berkata “satu lagi drama tipikal melayu yang mengisahkan cinta terlarang antara orang kaya dan miskin”, ataupun mungkin ada yang berkata” drama orang kaya dengan projek berbillion-billion”. Tidak hairanlah, kerana drama melayu sudah terbiasa dengan tema dan plot yang sama sejak dari dulu lagi.

Tetapi sebenarnya, Keluarga Baha Don telah keluar dari landasan tipikal drama-drama Melayu walaupun masih mengekalkan sedikit konsep keluarga kaya dan si lelaki tidak mahu berkahwin dengan wanita pilihan keluarga. Keluarga Baha Don sebenarnya mengambil konsep drama-drama bertemakan ‘gangster/mafia’ luar negara tetapi diolah dengan ciri-ciri masyarakat Malaysia dan komedi yang menghiburkan.

Drama bersiri ini mengisahkan Jo Don (lakonan Remy Ishak) yang bercita-cita untuk menjadi chef di sebuah restoran terkenal di Perancis. Bagaimanapun, cita-citanya terbantut apabila dia terikat dengan wasiat bapanya untuk menjaga perniagaan keluarga, yang sebenarnya adalah perniagaan ala mafia.

Episod Pertama

Episod pertama Keluarga Baha Don lebih kepada pengenalan keluarga Baha Don (Othman Hafsham) dan rakan-rakan kongsi ayah Jo. Pada waktu ini, bapa Jo baru sahaja meninggal dunia dan Jo merasa sangat hairan dengan cara rakan-rakan arwah bapanya menyampaikan penghormatan terakhir.

Keesokkan harinya, keluarga Baha Don berkumpul untuk mendengar wasiat terakhir arwah, dan segalanya menjadi kelam kabut kerana Jo dipilih untuk mewarisi perniagaan keluarga. Mat Don (Khir Rahman) yang merupakan anak sulung keluarga merasa kecewa kerana tidak dipilih manakala Mama Don (Susan Lankester) turut terkejut dan kecewa dengan wasiat suaminya. Tetapi bagi Jo, wasiat bapanya agak berat kerana dia disyaratkan untuk berkahwin dengan gadis yang dia tidak kenali iaitu Suzi Faye (Melissa Campbell), anak kepada Little Kok (Alvin Wong). Kedengaran tipikal drama jam 7 petang bukan? Nanti dulu, gadis tersebut bukan dari keluarga kaya, tetapi keluarga ‘gangsters’!.

Episod Kedua

Bagi Jo, dia tidak kisah untuk menjaga perniagaan keluarganya (dia masih tidak tahu yang keluarganya adalah keluarga gangster), tetapi untuk berkahwin dengan Suzy Faye baginya agak sukar kerana dia sudah memiliki kekasih hati iaitu Kesuma (Jihan Muse). Jo meluahkan perasaanya kepada adiknya, Ucu Don (Sharifah Aleysha) dan dua beradik itu bersama Kesuma membuat pelbagai cara untuk memastikan Little Kok tidak mahu bermenantukan Jo, bagaimanapun usaha mereka gagal dan mereka berdua memutuskan untuk melarikan diri.

Sementara itu, Mat yang merasa kecewa kerana tidak terpilih untuk mewarisi perniagaan keluarga, telah meluahkan perasaannya kepada orang suruhannya, Angelito Jericho Papito (Mark Adam). Angelito berjanji kepada ‘bos’nya itu untuk membuatkan Jo pulang ke Perancis dan menyerahkan perniagaan keluarga kepada Mat. Tetapi malangnya, Angelito, orang suruhan yang tak boleh pakai.

Secara keseluruhannya, episod pertama dan kedua Keluarga Baha Don agak ‘promosing’, pengenalan yang agak baik dan menghiburkan. Kematian Baha Don seolah-olah membuka peluang kepada bekas-bekas rakan kongsi si Arwah untuk ‘mencilok’ masuk perniagaan Baha Don. Rasanya, sudah tentu Little Kok paling bertuah kerana bakal bermenantukan Jo walaupun si Jo mengaku dirinya ‘Gay!’, Bak kata Little Kok, jangan risau Suzy Faye boleh bantu – *sambil perlahah-lahan mengusap dan menegangkan jari telunjuk*

Bagi yang sudah menonton episod pertama dan kedua drama bersiri ini, apa pendapat anda? menarik ke atau biasa-biasa sahaja? kongsikan pendapat anda.

Drama Keluarga Baha Don boleh ditonton di laman ‘streaming’ VIU <– Klik Sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here