Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Berita

Rakyat Malaysia kini boleh menikmati Netflix dalam Bahasa Melayu


Siaran Media

KUALA LUMPUR, 28 OGOS 2020 – Hari ini, Netflix melancarkan antara muka pengguna (UI) miliknya dalam Bahasa Melayu. Pilihan terbaru ini membolehkan ahli-ahli di Malaysia mengemudi UI, membaca judul serta sinopsis, dan menonton rancangan serta filem dengan sari kata dan alih suara Bahasa Melayu. 

“Netflix percaya bahawa ahli-ahli patut diberi pilihan untuk mengawal keseluruhan pengalaman hiburan mereka, dan kami gembira kerana mereka kini boleh menikmati Netflix dalam Bahasa Melayu. Ia pasti dapat meningkatkan lagi pengalaman mereka ketika menonton Netflix dan amat sesuai bagi rakyat Malaysia yang lebih selesa menikmati rancangan kegemaran mereka dalam Bahasa Melayu,” kata jurucakap Netflix. 

Pilihan UI Bahasa Melayu memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada keluarga kerana mereka boleh menukar profil mereka ke Bahasa Melayu melalui menu pilihan Bahasa di bahagian ‘Pengurusan Profil’ di dalam komputer peribadi, TV atau pelayar mudah alih mereka. Netflix menawarkan pengalaman serba lengkap dalam Bahasa Melayu, daripada daftar masuk hinggalah ke ruangan carian, kutipan dan pembayaran untuk semua peranti. Ahli Netflix boleh menetapkan sehingga lima profil untuk setiap akaun, dan setiap profil berkenaan boleh mempunyai tetapan bahasanya yang tersendiri. Ahli Netflix di luar Malaysia juga boleh memilih untuk menukar antara muka pengguna mereka ke Bahasa Melayu. 

Netflix sentiasa membawakan cerita-cerita terbaik dari Malaysia untuk penonton antarabangsa seperti komedi istimewa terbaru Dr. Jason Leong: Hashtag Blessed, menampilkan Dr. Jason Leong seorang doktor Malaysia yang kini telah bertukar karier menjadi pelawak, dan filem komedi romantik terbaru karya Adrian Teh, Pasal Kau! yang bakal menghiasi skrin ahli-ahli Netflix di seluruh dunia. 


Rancangan dan filem Netflix kegemaran ahli-ahli di Malaysia seperti Stranger Things, The Witcher, Kingdom, The Umbrella Academy, turut didatangkan dengan sari kata Bahasa Melayu. 

Netflix sentiasa berusaha untuk menambah baik pengalaman menonton ahli-ahlinya dengan menampilkan ciri-ciri seperti Muat Turun Pintar, Kawalan Ibu Bapa, dan barisan 10 Terbaik. Tahun lalu, Netflix telah memperkenalkan pelan mudah alih di Malaysia untuk hanya RM17 sebulan.