Berita

Raees, Robin Hood Versi Bollywood

View

Watak Raees yang dibawakan Datuk Shah Rukh Khan (SRK) dalam filem lakonan terbarunya yang juga berjudul Raees digambarkan seperti Robin Hood mencuri daripada orang kaya untuk membantu orang miskin.

Bezanya di sini, Raees yang menyeludup minuman keras berjaya membina empayar perniagaannya sendiri dan menggunakan wang daripada perbuatan haramnya itu untuk membantu masyarakatnya yang susah. Jika ketua gangster menganggapnya adalah musuh mereka, tetapi penduduk miskin yang sering dibantu olehnya mengangkatnya sebagai hero di hati mereka.

Bagi melancarkan kegiatan penyeludupannya itu, Raees menjalin hubungan rapat dengan ahli politik di mana akhirnya dia menjadi mangsa permainan mereka. Di situlah bermulanya konflik besar melanda dalam meneruskan kegiatan haramnya. Kemunculan pengawai polis, Majmudar lakonan Nawazuddin Siddiqui menambahkan lagi kesulitannya.

Kemunculan Majmudar dalam hidup Raees ibarat bertemu buku dengan ruas kerana pegawai polis itu yang jujur dan tegas melakukan tugasnya berikrar untuk memburu Raees sehingga ke lubang cacing.

Daripada persembahan lakonan, rata-rata peminat aktor itu sudah tahu betapa tingginya komitmen SRK dalam setiap lakonannya. Meskipun jalan cerita yang agak klise namun kepada peminat tegar aktor tidak akan kecewa dengan persembahannya. Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan kehebatan Nawazuddin dalam menangani wataknya dengan begitu bersahaja.

BACA:  Sekuel Spider-Verse Mungkin Menampilkan Spider-Man Jepun

Aktres Pakistan, Mahira Khan, amat bertuah kerana dapat menjadi heroin SRK dalam filem itu. Watak yang dipegang Mahira memerlukan seorang wanita yang matang dan lakonan jelitawan itu tidak mengecewakan.

Filem ini adalah cereka rekaan berlatarkan pada awal tahun 1980-an dan 1990-an di Gujarat, India. Daripada budak jalanan dengan kebijaksanaan dan keberaniannya, Raees berjaya mengalahkan penyeludup arak paling berkuasa ketika itu.

Bagaimanapun, pengakhiran cerita ini pasti memberi kejutan kepada penonton yang mengharapkan hero dan heroin hidup berbahagia selamanya. Untuk mengetahui apakah kesudahannya, saksikan filem itu yang sudah mula ditayangkan di pawagam negara ini.

Filem jenayah ‘thriller’ itu diarahkan Rahul Dholakia terbitan Red Chillies Entertainment dan Excel Entertainment.

Sumber: Harian Metro

Tinggalkan Balasan

shares