Siri TVSlot Tempatan

Primeworks Studios Bekerjasama Dengan iQIYI Untuk Siarkan Kandungan Tempatan

Views

Penerbit dan pengedar kandungan tempatan terbesar di Malaysia, Primeworks Studios mengumumkan perkongsian kandungan dengan  iQIYI, sebuah syarikat gergasi perkhidmatan hiburan dalam talian di China, dengan menandatangani perjanjian kerjasama pada hari ini yang menyaksikan enam (6) drama Melayu bersiri terbaik TV3 disiarkan menerusi iQIYI, platform yang semakin pesat dan bakal menguasai pasaran antarabangsa.

Sebagai permulaan kepada perjanjian ini, iQIYI akan menyiarkan drama bersiri yang telah mendapat sambutan hangat, 7 Hari Mencintaiku musim kedua bermula 24 Julai 2020. Selepas satu jam tayangan perdana drama bersiri ini ditayangkan di TV3, penonton juga berpeluang menontonnya secara eksklusif menerusi platform iQIYI dengan percuma.

Kejayaan besar drama ini di TV3 membuatkan iQIYI turut menyiarkan episod-episod bagi  musim pertama 7 Hari Mencintaiku sebagai pilihan untuk penonton setianya menyaksikan kesinambungan drama ini. 7 Hari Mencintaiku menceritakan tentang kisah percintaan rumit antara Khuzairi terhadap Mia yang tidak berbalas.  Mia mengambil masa selama 7 hari untuk menyedari perasaan sebenarnya terhadap Khuzairi. Perasaan ini juga turut berjaya mencuri hati jutaan peminat seluruh negara, apabila drama ini berjaya meraih 12 juta penonton bagi jumlah keseluruhan tontonan.  Musim kedua drama ini lebih mendebarkan dengan pertambahan konflik kehadiran orang ketiga dalam perkahwinan yang telah dibina.

Usahama ini juga turut merangkumi drama TV3 yang lain seperti Leftenan Zana, Kampung People, Setelah Ku Dimiliki dan sebuah siri baharu yang paling dinanti-nantikan iaitu Pengantin Satu Malam yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ogos tahun ini dan ia juga boleh ditonton secara eksklusif dan percuma di iQIYI, satu jam selepas ia bersiaran di TV3. 

“Kerjasama yang dimeterai bersama iQIYI amat penting buat kami untuk memastikan kami sentiasa mengikuti trend masa kini yang melibatkan platform penstriman. Ianya bukan sahaja memberi kami peluang untuk mengikuti peredaran masa, malahan kami juga dapat mensasarkan golongan penonton baharu yang berpotensi,” kata Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios.

Menurut Dinesh Ratnam, Pengurus Negara untuk iQIYI Malaysia, Singapore & Brunei “Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada misi dan strategi utama kami dalam memberikan kandungan drama Asia terbaik dan relevan untuk pengguna kami serta menyediakan kandungan drama berkualiti tinggi. Sehubungan itu, kami amat berbangga untuk mengumumkan kerjasama kami bersama Media Prima yang secara langsung menyaksikan kejayaan  iQIYI dalam menyampaikan kandungan tempatan Malaysia yang berkualiti kepada pengguna kami. Kerjasama ini merupakan langkah paling tepat dengan suntikan kreatif daripada pengurusan kanan Media Prima yang juga produser tersohor seperti Dato’ Iskandar Mizal Mahmood (Paskal The Movie, WIRA) dan Datuk Ahmad Izham Omar (Pulang, Ejen Ali The Movie), kami amat mengalu-alukan pilihan drama terbaik Media Prima ini disiarkan di platform iQIYI.”

7 Hari Mencintaiku 2 telah mula ditayangkan sejak 2 Julai 2020 di TV3 setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada jam 7 malam. Episod 1-16 akan dilancarkan di iQIYI pada 24 Julai 2020, dan kesemua episod berikutnya tersedia di platform www.iQ.com dan aplikasi  iQIYI secara percuma selepas satu jam disiarkan di TV3.

DRAMA YANG TERSEDIA DI  iQIYI

BACA:  Penerbit Tunggu Masa Yang Sesuai Untuk Sambung Tayangan BULAN & PRIA TERHEBAT

(di Malaysia, Singapura dan Brunei sahaja)

7 HARI MENCINTAIKU MUSIM PERTAMA

(MUSIM 1: 28 episod x 60 minit)

Kisah percintaan rumit Khuzairi yang ditolak Mia dan tempoh 7 hari yang diperlukan Mia untuk menyedari perasaan sebenarnya terhadap Khuzairi. 

Pelakon: Siti Saleha, Shukri Yahaya, Wan Sharmila, Syazwan Zulkifli

7 HARI MENCINTAIKU MUSIM KEDUA 

(MUSIM 2: 33 episod x 60 minit)

Mia dan Khuzairi kini menjalani kehidupan sempurna bersama anak mereka, sehingga menyebabkan cemburu orang sekeliling. Kehidupan mereka yang bahagia tiba-tiba berubah menjadi kacau bilau apabila ibu Khuzairi memperkenalkan Nurul, pilihannya sebagai isteri kedua untuk Khuzairi. 

Pelakon: Siti Saleha, Shukri Yahaya, Wan Sharmila, Syazwan Zulkifli

LEFTENAN ZANA

(16 episod x 60 minit)

Zana bersemangat untuk menyertai khidmat tentera. Namun ayahnya, Mejar Rahmat, sebaliknya, tidak merasakan bahawa Zana mampu menanggung cabaran mental dan fizikal latihan tentera. Dalam pada niatnya dihalang, Zana dalam diam telah memohon untuk dimasukkan ke dalam Angkatan Bersenjata Malaysia. Setelah berjaya memasuki angkatan itu, dia mulai merasakannya bahawa anggapan ayahnya mungkin betul. Adakah Zana akan menghadapi segala cabaran di kem bagi membuktikan ayahnya salah atau mengalah?

Pelakon: Janna Nick, Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis

KAMPUNG PEOPLE

(13 episod x 60 minit)

Sebuah keluarga terpaksa menyamar sebagai orang kampung setelah si Bapa, Razif, diletakkan dibawah perlindungan sebelum memberi keterangan terhadap bosnya, seorang mafia.

Pelakon: Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Reina Diana, Namron, Hun Haqeem

PENGANTIN SATU MALAM 

(28 episod x 60 minit)

Buntu kerana kekurangan wang, Zulaikha membuat perjanjian dengan bosnya, seorang anti-perempuan, untuk bersama dengan hanya satu malam sebagai pertukaran untuk duit. 

Pelakon: Amelia Henderson, Nazim Othman

SETELAH KU DIMILIKI

(28 episod x 60 minit)

Tragedi menimpa sepasang suami isteri yang menyebabkan mereka berpisah dan terpaksa menempuh jalan hidup mereka sendiri. Sedikit sebanyak mereka menyedari bahawa jalan itu akhirnya menemukan mereka kembali.

Pelakon: Zul Ariffin, Intan Najuwa dan Tiz Zaqyah

Tinggalkan Balasan

shares