
Drama rantaian ‘Jiwa Yang Kau Puja: The Hotel 2’ merupakan sekuel kepada bahagian pertama naskhah romantik thriller berjudul ‘The Hotel’ yang mengangkat tentang isu kesihatan mental mengenai pembunuh psikopat terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd. Menerusi paparan 18 buah episod, kesinambungan bahagian kedua bakal menampilkan konflik dan unsur plot twist lebih suspen dan dramatik yang dikembangkan daripada jalan cerita musim pertama.
Idea asal sekuel ‘Jiwa Yang Kau Puja: The Hotel 2’ diilhamkan oleh penerbit dan pengarah prolifik, Michael Ang dan diarahkan oleh sutradara Nur Ain Sharif. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Rahim Ramli, Michelle Yoon, Qawiem Hamizan dan Mamu Vies.
Untuk sekuel kedua, sebahagian besar barisan pelakon yang membintangi musim pertama masih dikekalkan seperti Sean Lee, Natasha Elyzza, Farah Ahmad, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Nabil Aqil, Azhar Amir, Asha Merican dan Ku Faridah. Selain daripada mereka, tiga nama popular turut dibawa masuk selaku teraju utama untuk menghidupkan musim terbaharu iaitu Uqasha Senrose, Syazwan Zulkifly dan Dini Schatzmann.
‘Jiwa Yang Kau Puja: The Hotel 2’ akan ditayangkan menerusi slot Megadrama pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 27 Oktober 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.