You are here Home » Perjanjian Anak Syaitan, Kisah Seram Mengikat Janji Dengan Syaitan Yang Mengundang Bencana

Perjanjian Anak Syaitan, Kisah Seram Mengikat Janji Dengan Syaitan Yang Mengundang Bencana

Setiap pasangan yang berumah tangga pastinya menginginkan kehadiran cahaya mata, apatah lagi setelah berumah tangga dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun, hubungan rumah tangga pastinya akan teruji apabila zuriat yang diimpikan tidak kunjung tiba dan keadaan bertambah keruh apabila didesak insan yang paling rapat.

Itulah yang jalan cerita yang dipaparkan dalam sebuah filem tempatan paling seram 2019 berjudul Anak Perjanjian Syaitan. Bakal menghantui pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019, filem berkenaan menampilkan dua pelakon muda baharu yang semakin meningkat naik iaitu Nadzmi Adhwa dan Cha cha Maembong.

Salah seorang pelakon utamanya iaitu Nadzmi Adhwa berkata, dia cukup bersetuju untuk membintangi filem berkenaan kerana tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan.

“Sebelum ini saya tidak pernah berlakon lagi dalam filem bergenre seram dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup menarik untuk terbabit dalam pembikinan Anak Perjanjian Syaitan.

“Dalam filem ini, karakter saya agak kelihatan lebih matang kerana membawakan watak sebagai seorang guru dan bakal bapa yang teruja menantikan kehadiran cahaya mata sulung,” ujarnya.

BACA:  Penulis Filem 'Jigsaw' Bakal Hasilkan Sekuel Terbaru 'Saw'

Menurut Nadzmi, peluang untuk membintangi filem berkenaan tidak harus dilepaskan sama sekali memandangkan ditawarkan memegang watak utama. Jelasnya, Anak Perjanjian Syaitan merupakan filem seram pertama yang dibintanginya, malah menjadikan impiannya untuk memegang peranan utama dalam filem terlaksana.

“Kalau ditanya pengalaman sepanjang penggambaran, antara yang paling memberi cabaran apabila mengalami gangguan di lokasi.

“Namun begitu, semuanya berjalan dengan lancar dan saya rasa pengalaman sebegini turut pernah dilalui oleh pelakon-pelakon yang pernah berlakon dalam filem seram,” ujarnya.

Sementara itu, Cha Cha Maembong pula menyatakan bahawa watak yang dipegangnya dalam filem ini memberikan kelaianan buat dirinya. Berkenaan dengan karakternya, pelakon itu menyatakan dia memainkan peranan sebagai seorang isteri yang sangat sayang dan sanggup berkorban apa sahaja untuk suaminya.

“Apabila ditawarkan berlakon dalam filem, saya tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan persetujuan lantaran filem Anak Perjanjian Syaitan ini suatu naskhah yang menarik.

“Kalau bercerita dari sudut cabaran pula, pada saya untuk mendalami watak Azlinda ini bukanlah suatu yang mudah kerana ada babak-babak yang agak berat. Namun, saya beruntung kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan pelakon dan produksi untuk menjayakannya,” ujarnya.

BACA:  James Gunn Beri "Hint" Bakal Ada Kematian Dalam Filem Guardians Of The Galaxy Vol. 3

Menurut Cha Cha, dia berharap mesej yang disampaikan dalam filem ini dapat diterima dengan baik oleh penonton, biarpun ia sebuah naskhah seram.

Loading...