
Susulan tuduhan membuli yang dihadapi pelakon Ji Soo, penggambaran drama KBS “River Where the Moon Rises” terpaksa dibatalkan hari ini, 4 Mac dan perbicangan mengenai nasib Ji Soo dalam drama tersebut bakal diputuskan pihak produksi.
Menurut laporan eksklusif yang dikeluarkan YTN (via Koreaboo), penggambaran “River Where the Moon Rises” yang dijadualkan pada hari ini, terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun, penggambaran mungkin disambung semula pada 5 Mac ini.
Berita pembatalan penggambaran itu muncul selepas Ji Soo mengeluarkan kenyataan maaf berikutan tuduhan membuli yang dihadapinya. Seorang wakil produksi drama tersebut mengesahkan bahawa mereka kini sedang membincangkan sama ada mahu menggantikan Ji Soo sebagai pelakon utama, ataupun tidak.
“Kami mengadakan pertemuan hari ini mengenai sama ada Ji Soo harus terus muncul dalam drama atau tidak. Kami akan menjelaskan kedudukan kami sebaik sahaja keputusan dibuat. Jadual penggambaran yang dikemas kini juga akan diputuskan kemudian” – dalam satu kenyataan yang dikeluarkan wakil produksi.
Nama Ji Soo mula menjadi hangat apabila seorang individu yang mendakwa rakan sekelasnya tampil mendedahkan perbuatan lampaunya. Individu terbabit turut mendakwa pernah menjadi mangsa bulinya dan insiden itu dilaporkan berlaku sekitar 2006 hingga 2008 lalu.
Menurut individu itu lagi, Ji Soo adalah seorang pelajar yang sangat kasar dan banyak melakukan keganasan di sekolah.
Susulan pendedahan individu tersebut, lebih 5500 netizen telah menandatangani petisyen yang mendesak agar Ji Soo disingkirkan dari drama “River Where the Moon Rises” disebabkan skandal membuli. Pelakon itu memainkan watak utama sebagai On Dal dalam drama “River Where the Moon Rises”, yang baru menyiarkan 6 episod dari 20 episod setakat ini.
“River Where the Moon Rises” menceritakan kisah cinta Puteri Pyeonggang (lakonan Kim So Hyun) dan On Dal (lakonan Ji Soo). Dalam penceritaan semula kisah terkenal ini, Pyeonggang – yang juga pahlawan berani – adalah seorang wanita yang bercita-cita tinggi dan ingin menjadi wanita pertama yang memimpin Goguryeo.