Slot Tempatan

Penerbit Ada Apa Dengan Dosa Mahu Saman E-Dagang RM50 Juta

Views

Hari ini, dunia hiburan dikejutkan dengan kegiatan penjualan filem-filem tempatan cetak rompak di platform e-dagang. Walaupun Finas memberi komitmen untuk menyiasat pekara berkenaan, penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa mengambil keputusan untuk memperjuangkan haknya.

Menurut laporan Harian Metro, penerbit Datuk Ayu Puteh dilaporkan bakal menyaman pihak e-dagang terkenal sebanyak RM50 juta kerana menjual filem terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, secara haram.

Berdasarkan perkongsian tangkap layar di media sosial oleh warganet mendapati filem dibintangi pelakon Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sanda dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang berkenaan

Menurut penerbit itu lagi, beliau mula mengesan tindakan tidak bertanggungjawab dibuat pihak e-dagang itu sejak 10 Jun lalu di Telegram dan terus membuat aduan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan pihak Astro.

Walaupun pihak e-dagang dilaporkan telah menurunkan iklan dan filem Ada Apa Dengan Dosa, tuntutan ganti rugi akan tetap dilakukan oleh pihak penerbit bagi membela hak cipta filem.

"Tahu pula takut, tapi semua bukti itu saya dah ada. Kalau pihak berkenaan turunkan (iklan filem) pun, semua bukti cukup. Saya dah simpan dan baru saya buka kes.

"Nak lari mana. Pihak peguam untuk uruskan kes undang-undang ini pun sudah saya lantik. Saya akan berjuang untuk membela filem hak cipta syarikat saya dan tuntut ganti rugi pada mereka,"

Dalam pada itu, Datuk Ayu Puteh berharap pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dapat mengambil tindakan segera bagi menangani isu cetak rompak yang masih berleluasa.

Sumber: Harian Metro

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks