Pencalonan FFM27 Pengubat Duka Filem ‘Terbaik Dari Langit’ – Bront Palarae

476
views

terbaik dari langit

Bagi pelakon Bront Palarae, 12 pencalonan yang diterima filem Terbaik Dari Langit  di Festival Filem Malaysia 27 (FFM 27) adalah pengubat luka berikutan filem tersebut gagal mencapai kutipan yang diharapkan ketika tayangannya pada Disember lalu.

Bront, 37, memberitahu, ianya merupakan penghargaan dan saguhati kepada pihak yang terlibat dalam pembikinan filem tersebut.

“Pencalonan ini adalah pengubat luka kepada kami setelah kecewa dengan kutipan di pawagam. Kutipan yang diperolehi hanya RM500,000 sahaja.

“Ketika tayangan pada Disember tahun lalu, negara mengalami tragedi banjir besar di Kelantan dan kapal terbang AirAsia Indonesia terhempas membuatkan promosi agak terjejas,” berkata kepada mStar Online.

Antara pencalonan yang diterima oleh filem tersebut ialah kategori Pelakon Lelaki Terbaik bersaing dengan beberapa pelakon seperti Lee Sai Peng (The Journey), Wan Hanafi Su (Lelaki Harapan Dunia), Awie (Dollah Superstar) dan Que Haidar (Ophilia).

Dalam pada itu, Bront berkata, perkembangan positif dalam industri filem tanah air dapat dilihat menerusi pencalonan FFM 27 lebih bernafas baharu.

Tambahnya, lebih ramai pengiat filem daripada kalangan muka baharu yang cuba memberi saingan dan menghasilkan filem dengan genre yang lebih pelbagai.

“Saya gembira dan melihat gerakan filem bernafas baru menerusi pencalonan kali ini. Saya tidak rasa persaingan itu wujud dalam FFM 27, sebaliknya ia adalah penghargaan kepada kami pengiat filem.

“Apa yang saya rasa ialah FFM sebagai sambutan dan meraikan karya-karya tempatan,” katanya.