Pelakon Popular Malaysia Dan Indonesia Bergabung Dalam Filem Interchange

669
views

Interchange Film Sam

Tiga pelakon popular dari Malaysia dan Indonesia akan bergandingan dalam filem terbaru arahan Dain Said, Interchange.

Pelakon filem Indonesia yang mencipta nama menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta, Nicholas Saputra bakal memegang peranan sebagai Belian dan pelakon popular Malaysia, Shaheizy Sam berperanan sebagai Detektif Man.

Pelakon yang popular menerusi filem Terbaik Dari Langit (Nova) iaitu Iedil Putra memegang peranan utama sebagai Adam.

Selain Nicholas, filem itu juga dikatakan bakal dibintangi pelakon popular Indonesia Prisia Nasution, pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFI menerusi filem Sang Penari.

Filem itu turut dibintangi oleh Nadiya Nisa’, Alvin Wong, Chew Kin Wah dan Junad M.Nor.

Pengarah Dain Said sebelum ini dikenali menerusi filem Dukun yang dihalang tayangannya di Malaysia dan Bunohan yang diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25.

Selain Filem Terbaik, filem Bunohan turut memenangi kategori Pengarah Terbaik untuk Dain, Pelakon Lelaki Terbaik (Faizal Hussein), Lakonlayar Terbaik, Cerita Terbaik, Muzik Asal Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.

Interchange Film

Filem itu juga memenangi gelaran Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2012.

Kos penerbitan filem Interchange dilaburkan oleh Sonneratia Capital, Seeing Eye Films dan MDEC.

Lakon layar Interchange ditulis oleh Dain Said, June Tan, Nandita Solomon dan Redza Minhat.

Interchange mengisahkan Adam, seorang jurufoto forensik yang kerjayanya setiap hari adalah melihat tubuh-tubuh yang dikerat menerusi lensa kameranya.

Dia kemudiannya terjebak dalam dunia mistik, ketika membantu rakannya yang juga seorang detektif, menyiasat beberapa siri pembunuhan kejam.

Filem itu kini sedang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan dijangka selesai penggambaran pada penghujung April depan.

Dijangka Interchange bakal ditayangkan kepada umum pada tahun depan.

Sumber: Astro Awani