
Pelakon David Prowse yang terkenal dengan watak Darth Vader dalam trilogi pertama Star Wars, telah meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Berita kematian pelakon kelahiran Bristol England itu disahkan ejen syarikat pengurusannya, Thomas Bowington pada Ahad yang lalu. Bowington menyifatkan kematian pelakon itu sebagai sesuatu yang amat menyentuh hati jutaan peminatnya di seluruh dunia.
“May the force be with him, always!” kata Bowington.
Dalam pada itu, pelakon Mark Hamil yang memainkan watak Luke Skywalker dalam siri filem Star Wars menzahirkan rasa sedih selepas mendengar berita itu. Terdahulu, portal CNN melaporkan Prowse dirawat kerana barah prostat pada pada 2018.
Prowse adalah pelakon yang menggunakan kostum Darth Vader, manakala suara Darth Vader menggunakan suara James Earl Jones. Selain Star Wars, Prowse pernah memainkan watak sebagai ‘Green Cross Code Man’ dalam siri kempen multimedia keselamatan jalan raya di United Kingdom pada tahun 1970-an.
Peranan dimainkannya itu membolehkan mendiang dianugerahkan darjah kebesaran Anggota Empayar Britain (MBE)
Sumber: Astro Awani