Slot Tempatan

Paragon Cinema KTCC Mall, Pawagam Patuh Syariah Ketiga Di Malaysia.

Views

Paragon Cinema di KTCC Mall mula beroperasi pada hari ini di Kuala Terengganu. Merupakan outlet Paragon yang keempat di seluruh Malaysia sekaligus menjadikan ia sebagai pawagam ketiga di negeri Terengganu dan kelapan di pantai timur setelah pembukaan LFS Cinema di Paya Bunga Square beberapa tahun lepas.

Menurut maklumat yang kami perolehi daripada Mr William selaku Pengarah Eksekutif Paragon Cinema, Paragon Cinemas KTCC Mall menempatkan 10 buah dewan tayangan kesemuanya dengan kapasiti 1 dewan ATMOS dengan muatan sehingga 232 kerusi, dan 1 dewan skrin gergasi dengan saiz skrin sebesar 18 meter memuatkan 276 kerusi menjadikan Hall 10 Paragon Cinema Kuala Terengganu ini adalah antara yang terbesar di Pantai Timur dan jumlah kerusi yang dimuatkan secara keseluruhan adalah sebanyak 1516 kerusi.

Pawagam ini juga menyediakan kemudahan untuk pelanggan OKU di mana tempat duduk khas disediakan untuk golongan OKU dan ramp khas di setiap dewan tayangan sesuai dengan matlamat Paragon yang ingin menyediakan tempat hiburan keluarga secara holistik tanpa mengira status.

Pembukaan Paragon Cinema di KTCC Mall ini juga secara tidak langsung memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang mana hampir keseluruhan warga kerjanya adalah terdiri daripada rakyat tempatan.

Untuk pembukaan pada hari semalam,  hanya 5 buah dewan sahaja dibuka terlebih dahulu untuk tayangan percuma selama seminggu untuk filem-filem 2019 yang terpilih dan juga tayangan berbayar filem-filem terkini. Setiap pelanggan berpeluang menebus tiket percuma maksimum 4 tiket untuk sekeping borang tuntutan.

Paragon Cinema di KTCC Mall ini juga merupakan pawagam ketiga yang melaksanakan garis panduan pengasingan jantina dan keluarga sesuai dengan enakmen hiburan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Pihak pawagam turut menzahirkan setinggi tinggi penghargaan kepada kerajaan Negeri Terengganu dan MBKT atas segala panduan yang telah diberikan dalam menjayakan pembukaan Paragon Cinema di Kuala Terengganu dengan mematuhi segala SOP Enakmen Hiburan yang telah ditetapkan.

Para penonton juga boleh mendapatkan tiket tayangan secara atas talian di laman web Paragon dan juga melalui aplikasi khas telefon pintar di Android Playstore manakala untuk Apple App Store dan Huawei App Gallery akan menyusul tidak lama lagi.

Paragon Cinema KTCC Mall juga tidak terkecuali dalam mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan di mana setiap pengunjung akan melalui saringan gejala terlebih dahulu di pintu masuk pawagam dan dikehendaki untuk mengimbas QR Code MySejahtera. Pemakaian penutup hidung dan mulut serta Penjarakan fizikal semasa beratur di kaunter tiket dan menonton wayang juga adalah diwajibkan.

 

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks