Walaupun kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi dibuka semula, sektor panggung wayang masih menunggu kebenaran dari pihak kerajaan untuk kembali membuka operasi kepada orang ramai.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas, Yeoh Onn Lai, penutupan panggung wayang akibat pandemik COVID-19 memberi kesan besar pada perniagaan mereka. Namun begitu, pihak syarikat tetap berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan perniagaan selain merancang pelan terbaik untuk meneruskan operasi selepas ini.
“Semestinya persekitaran ketika itu berbeza. Kami sudah ada pelan komprehensif dibuat bagi menyesuaikan diri dengan normal baharu di mana keselamatan adalah keutamaan terbesar,”
Meskipun dihimpit kesan ekonomi akibat krisis pendemik, Yeoh menjelaskan bahawa kebajikan para pekerja tetap terpelihara.
“Kami memanfaatkan pelbagai program yang kerajaan wujudkan termasuklah Program Pengekalan Pekerja (ERP). Ini bagi meringankan beban kakitangan penting kami yang terkesan daripada penutupan operasi sekarang.
“Perniagaan pasti akan dapat diteruskan semula dan keutamaan kami adalah untuk mengekalkan pekerja kami. Kami sebaiknya mahu mengurangkan penderitaan pekerja dan berusaha untuk pastikan kebajikan mereka terjaga,
Yeoh juga memberi jaminan TGV Cinemas akan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) sebaik panggung dibuka kelak termasuklah mengamalkan penjarakan sosial serta pemantauan terhadap kakitangan mereka.
“Kami akan memastikan sanitasi tangan diletakkan di setiap sudut, suhu badan pelanggan diperiksa, penjarakan sosial di setiap ruangan termasuklah dalam panggung, dan panjangkan jurang tayangan selama 30 minit.
“Ia bertujuan untuk memberi masa yang cukup kepada kakitangan untuk melakukan pembersihan serta sanitasi dalam setiap panggung. Begitu juga video keselamatan akan dipasang di setiap lokasi.
“Untuk kakitangan pula, suhu badan mereka akan diperiksa sebanyak dua kali setiap hari. Mereka juga akan mengamalkan penjagaan kebersihan setiap masa termasuklah kerap cuci tangan, guna sanitasi, dan memakai penutup hidung dan mulut,” katanya.
Sumber: Harian Metro