Ocean's 8 Review

0
639
views

Ocean's Eleven bagi saya adalah 'masterpiece', Ocean's Twelve boleh dianggap 'so-so' dan tidak mengecewakan bagi sebuah sekuel manakala Ocean's Thirteen 'trikuel' yang memiliki kehebatan hampir sama dengan filem pertama. Jujur saya katakan, trilogi Ocean yang diterajui pengarahnya, Steven Soderbergh merupakan antara filem bertemakan rompakan yang paling menarik dan wajib anda tonton.

Saya menyangkakan, siri Ocean akan tamat di filem ketiga, tetapi sangkaan saya meleset selepas filem spin-off Ocean's 8 diumumkan. Diarah dan ditulis oleh Gary Ross, saya meragui mampukah pengarah filem The Hunger Games ini mampu menandingi kehebatan 3 filem awal yang diarahkan oleh Steven Soderbergh.

Seperti filem Ocean yang lain, Ocean's 8 turut dibintangi pelakon-pelakon wanita yang hebat. Jika sebelum ini ia dibintangi oleh George Clooney, Brad Pitt, Matt Damon, Don Cheadle, dan mendiang Bernie Mac, filem spin off ini dibintangi aktres-aktres yang sangat hebat seperti Sandra Bullock, Cate Blanchett, Anne Hathaway dan Mindy Kaling.

Dalam filem kali ini, Sandra Bullock memainkan peranan sebagai Debbie Ocean, adik kepada Danny Ocean. Debbie yang baru dibebaskan dari penjara dengan parol telah mencari rakannya, Lou (lakonan Cate Blanchett) untuk berkongsi perancangannya merompak kalungan berlian yang bernilai jutaan dolar yang bakal dipakai oleh selebriti, Daphne Kluger (Anne Hathaway) semasa majlis keramaian Met Gala. Lou bersetuju dengan rancangan Debbie dan mula mengumpulkan krew yang terdiri daripada Rose Weil (Helena Bonham Carter), Tammy (Sarah Paulson), Amita (Mindy Kaling), Constance (Awkwafina) dan Nine Ball (Rihanna).

Apa yang boleh saya katakan, Ocean's 8 ini adalah 'gulai' yang mana bahan-bahannya dari 3 filem asal Ocean's Eleven. Perjalanan ceritanya, karakteristik watak, mood, tona filem, plot twist dan elemen rompakan diceduk dari ketiga-tiga filem asal untuk dijadikan filem Ocean's 8. Tiada 'originality' dan saya tidak nampak sesuatu yang baru dalam filem spin off kali ini. Yang membezakan Ocean's 8 dengan filem-filem Ocean yang lain adalah fesyen dan humor yang ditonjolkan. Humor yang ditunjukkan pula agak sukar 'ditangkap' sebenarnya, mungkin golongan wanita memahami humor yang dibuat oleh para pelakon wanita ini.

Barisan pelakon Ocean's Eight

Bagaimanapun, saya tidak mengatakan Ocean's 8 adalah sebuah filem yang bosan walaupun ia banyak 'copy-paste' dari filem asal. Ianya masih menarik untuk ditonton sebenarnya, terima kasih kepada kualiti para pelakonnya dalam filem ini. Sepanjang perjalanan filem, prestasi para pelakon utamanya tidak mengecewakan, Sandra Bullock, Cate Blanchett, Anne Hathaway, Helena Bonham Carter dan Mindy Kaling memberikan kualiti lakonan gred A dari awal sehingga akhir filem. Penyanyi yang menjadi pelakon, Awkwafina serta Rihanna juga berjaya membuktikan mereka mampu memberikan kualiti lakonan yang baik walaupun tidak diberi begitu banyak 'screentime'. Lebih menarik, beberapa karakter dari filem asal seperti Reuben dan Yen turut membuat 'cameo' dalam filem ini. Sekurang-kurangnya ia berjaya mengamit nostalgia bagi yang pernah menonton trilogi Ocean. Sayang, babak melibatkan anggota asal Ocean yang lain iaitu Linus Caldwell dan Saul Bloom telah dipotong, jika tidak saya pasti tersenyum lebar melihat watak-watak ini berada dalam filem. Apapun, bagi saya kualiti lakonan para pelakon serta cameo anggota asal Ocean sebenarnya banyak menyelamatkan filem ini.

Secara keseluruhannya, Ocean's 8 sebenarnya sebuah filem rompakan yang menarik untuk ditonton jika anda tidak pernah menonton trilogi asal Ocean. Perjalanan cerita mungkin sedikit rumit bagi yang pertama kali menontonnya, tetapi saya percaya ia mampu memberikan kepada kepuasan kepada penonton yang gemarkan filem bercorak seperti ini, lebih-lebih lagi ia dibintangi oleh para aktres yang sangat hebat dalam dunia perfileman Hollywood.

Rating Kakimuvee: 7/10

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here