Pelakon Nabila Huda memberitahu bahawa dia terpaksa menolak tawaran berlakon dalam filem sekuel “Munafik 2” arahan Syamsul Yusof berikutan terikat dengan komitmen lakonan lain.
“Memang Syamsul ada tawarkan kepada saya, tapi tak boleh nak buat. Pada masa sama, saya terikat dengan jadual kerja lain. Lagipun penerbit drama bersiri itu sudah mendapatkan tarikh saya sejak tahun lalu lagi.
“Penggambaran drama itu dijadualkan berlangsung awal April ini hingga Januari 2018. Jadi saya menganggap tak ada rezeki nak berlakon dan bekerjasama dengan mereka lagi,” – Nabila Huda
Kenyataan yang dibuat oleh pelakon berusia 33 tahun ini sekaligus menjawab desas-desus yang timbul baru-baru ini yang mengatakan dia telah menolak untuk berlakon dalam filem seram tersebut selepas kejayaan filem pertama.

Dalam pada itu, Nabila juga menjelaskan bahawa dia tidak tahu samada benar atau tidak pelakon Maya Karin akan dipilih untuk membawa watak utama baru dalam filem tersebut.
Sementara itu, sehingga kini Syamsul masih lagi belum membuat sebarang kenyataan berhubung pelakon utama baru yang bakal membintangi filem tersebut.
Filem Munafik terbitan Skop Production telah mencetuskan fenomena apabila ia berjaya mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan sebanyak RM19 juta dan juga sukses di pasaran Indonesia.
Kejayaan tersebut berjaya dikecapi selepas Syamsul membuat kemunculan semula sebagai pengarah selepas menyepikan diri beberapa tahun.
sumber: Harian Metro