Terbitnya filem Munafik pada tahun 2016 memberikan satu fenomena kepada pengemar wayang terutamanya yang meminati filem bergenre seram. Munafik pada waktu itu bukan sahaja memberikan sebuah filem seram yang menarik untuk ditonton, malah pengisiannya yang turut memasukkan elemen agama menjadikan ia sebagai sebuah naskah yang berjaya ketika itu. Filem tersebut bukan sahaja mencipta fenomena pada waktu itu, malah ia juga turut mendapat sambutan yang mengalakkan di Indonesia.
Kejayaan yang cukup memberangsangkan itu telah mendorong pengarahnya, Syamsul Yusof untuk kembali menghasilkan filem sekuel iaitu Munafik 2. Masih mengekalkan beberapa pelakon utama dari filem pertama seperti beliau sendiri, Fizz Fairuz dan Datuk Rahim Razali, filem kali ini turut menampilkan beberapa pelakon baru seperti Nasir Bilal Khan, Maya Karin dan Mawi. Munafik 2 kali ini memaparkan cabaran Ustaz Adam (Syamsul Yusof) yang ingin menghalang penyebaran ajaran sesat yang dibawa oleh Abu Jar (Nasir Bilal Khan). Dalam masa yang sama, Ustaz Adam perlu menyelamatkan Sakinah (Maya Karin) dan anaknya yang menjadi mangsa gangguan makhluk halus berpunca dari Abu Jar.
Munafik 2 bagi saya sebuah filem yang seimbang. Keseramannya masih mampu membuatkan penonton meremang bulu roma dan elemen ‘jump scare’ yang diterapkan masih mampu membuatkan penonton terkejut. Tetapi jika hendak dibandingkan dengan filem terdahulu, saya lebih memilih filem pertama berbanding sekuel kali ini.
Saya sebenarnya suka dengan usaha pengarahnya yang banyak memasukkan elemen-elemen dakwah dalam filem terbarunya ini. Ianya banyak memberi kesedaran kepada penonton yang beragama islam dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim. Selain itu juga, ia turut menekankan tentang bahaya kepada golongan yang mempergunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Ajaran sesat yang dijadikan poin utama untuk filem ini adalah sebagai sindiran sinis kepada golongan penunggang agama.
Penampilan pelakon-pelakon baru dalam sekuel kali ini nyata tidak mengecewakan. Maya Karin yang terkenal dengan lakonannya dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam memberikan mutu lakonan yang cukup memuaskan hati. Beliau berjaya menjiwai watak Sakinah dengan begitu baik. Nasir Bilal Khan yang kita kenali sebagai Tok Adi penggali kubur juga berjaya memberikan satu kualiti lakonannya yang cukup baik dalam filem ini. Karakter Abujar lakonnya berjaya membuatkan saya ‘benci’ padanya, maksud saya bukan benci pada pelakon tersebut, tetapi karakternya. Bagaimanapun, terdapat beberapa adegan yang saya rasakan, lakonan mereka agak melebih-lebih, tetapi ianya tidak sampai tahap meloyakan.
Apa yang saya kurang ‘berkenan’ tentang filem ini adalah plot filemnya. Bagi saya ianya agak meleret, tidak begitu mendebarkan dan kadang-kala sedikit membosankan. terdapat babak filem yang saya rasakan tidak membantu perjalanan filem terutamanya babak yang melibatkan ‘Wanita Misteri. Terdapat juga beberapa babak yang dipersoalkan kelogikkannya terutamanya babak yang melibatkan di kampung yang diduduki oleh Sakinah dan Abujar. Walaupun begitu, Munafik 2 memberikan beberapa plot twist yang tidak akan dijangka oleh peminat terutamanya dipenghujung filem.
Dari segi teknikal, ianya tidak mengecewakan. Suasana ‘dark’ dan tone filem ini setanding dengan filem-filem luar negara dan mampu menaikkan perasaan seram kepada penonton. Selain itu juga, ‘make up’ filem ini sangat realistik dan juga menakutkan, saya kagum dengan hasil kerja mereka dalam menterjemahkan wajah seram yang menjadi. Bunyi latar juga tidak mengecewakan lebih-lebih lagi semasa membabitkan babak-babak seram.
Secara keseluruhannya, Munafik 2 merupakan sebuah naskah yang begitu baik dari hasil tangan Syamsul Yusof. Selain memberikan sebuah filem seram kepada penonton, ia turut menyelitkan dakwah yang akan memberi impak kepada penonton dan mungkin akan menikam hati kepada golongan yang hipokrit.
Rating Kakimuvee: 7/10