Filem arahan Syamsul Yusof, Munafik 2 terus mencipta kejayaan mengejutkan apabila berjaya mengumpul lebih RM 5 juta pada hari pertama tayangannya. Pada tayangan sneak preview 29 Ogos yang lalu, Munafik 2 berjaya RM 2.05 juta dan menambah RM3.6 juta pada hari pertama menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini mencecah RM5.65 juta.
Kutipan tersebut mengatasi dua rekod yang dicipta oleh Hantu Kak Limah yang meraih RM650 ribu pada tayangan sneak preview dan RM1.8 juta pada hari pertama tayangannya. Berdasarkan permintaan penonton pada cuti umum dan hari minggu ini, dijangkakan Munafik 2 akan terus menambah jumlah kutipan mereka pada minggu pertama tayangannya.
Setakat ini, Hantu Kak Limah telah mengungguli carta rekod kutipan filem tempatan dengan jumlah kutipan sebanyak RM32.5 juta. Jika Munafik 2 terus menambat hati penonton, berkemungkinan besar kedudukan filem seram komedi arahan Mamat Khalid akan tercabar.
Munafik 2 yang dibintangi oleh Syamsul Yusof, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fizz Fairuz dan Mawi mengisahkan tentang Ustaz Adam yang ingin menghalang penyebaran ajaran sesat oleh Abuja dan dalam masa yang sama membantu Sakinah yang menghadapi gangguan makhluk halus yang disebabkan oleh ketua kumpulan ajaran sesat itu.