Trivia

Mulan, Deliver Us From Evil Antara Yang Menarik Dipawagam September Ini

Views

Selepas Tenet, satu lagi filem blockbuster Hollywood bakal ditayangkan di pawagam. Selepas ditunda akibat pandemik COVID-19, filem live action Disney Mulan akan menemui penonton pada 4 September ini. Selain itu juga, filem hit Korea Selatan, Deliver us From Evil turut ditayangkan dipawagam pada 17 September. 

Dua filem Melayu turut memeriahkan jadual pawagam pada bulan ini. Filem arahan Rahila Ali, Ada Apa Dengan Dosa akan ditayangkan pada 10 September manakala filem Mimaland lakonan Fatah Amin akan ditayangkan pada 24 September. Berikut adalah senarai filem yang akan ditayangkan pada bulan ini.

The Eight Hundred (3 September 2020)

Filem ini adalah mengenai Pertahanan Gudang Sihang yang berlaku semasa Perang Sino-Jepun Kedua pada tahun 1937 di Shanghai, China. Pada 13 Ogos 1937, Tentera Imperial Jepun telah menyerang Shanghai. Xie Jinyuan, Leftenan Kolonel Rejimen 524 Divisiyen Ke-88 Tentera Revolusi Nasional, telah memimpin lebih daripada 400 pegawai muda untuk mempertahankan Gudang Sihang dari serangan tentera Jepun.

Mulan (4 September 2020)

Diadaptasi dari filem animasi berjudul sama yang diterbitkan Disney pada 1998, Mulan berdasarkan legenda masyarakat China iaitu Hua Mulan, dimana dia menyamar sebagai seorang lelaki bagi menggantikan tempat ayahnya yang sudah tua – untuk berkhidmat dalam pasukan tentera China dan membawa penghormatan kepada keluarganya.

Sebelum Iblis Menjemput Ayat 2 (10 September 2020)

Dua tahun selepas berjaya menyelamatkan diri daripada kuasa jahat yang menghancurkan keluarganya, Alfie dan adiknya Nara cuba meneruskan kehidupan seperti biasa. Biarpun cuba melupakan masa lampaunya, namun dia masih dihantui gambaran-gambaran menakutkan. Alfie menyedari akan bahaya yang bakal dihadapi bersama rakan-rakannya apabila muncul satu entiti jahat yang ingin membunuh mereka.

A.I. Amok (10 September 2020)

Berlatarbelakangkan tahun 2030 di Jepun, di mana kepintaran buatan (AI) digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk bidang perubatan, kewangan dan keselamatan. Saintis pintar Kosuke Kiryu telah mencipta sebuah sistem AI untuk digunakan bagi tujuan perubatan. Namun ciptaannya tidak diterima pihak kerajaan memandangkan tiada bidang kuasa yang berkaitan, menyebabkan dia gagal menyelamatkan isterinya yang sakit tenat. Dia membuat keputusan untuk bersara dan meninggalkan Jepun selepas kematian isterinya.

Beberapa tahun berlalu dan ciptaannya akhirnya diiktiraf dan digelar NOZOMI, yang mana ia berjaya menyelamatkan orang ramai. Bagaimanapun, apabila dia bersedia untuk pulang ke Jepun, selepas dihubungi abang iparnya, yang juga rakan penyelidikannya, ciptaan Kosuke mula hilang kawalan dan memilih orang untuk dibunuh. Dituduh sebagai pengganas, kini Kosuke perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan ciptaanya sebelum ia mula membunuh.

Antebellum (10 September 2020)

Menyedari dirinya terperangkap dalam realiti yang mengerikan, kini penulis terkenal Veronica Henley perlu mencari jalan keluar dan menyelesaikan misteri mimpi ngeri itu sebelum terlambat.

Ada Apa Dengan Dosa (10 September 2020)

Aurora merupakan remaja berusia 19 tahun yang dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam. Namun, setelah mendapat tahu bahawa dia sebenarnya adalah anak luar nikah, Aurora hampir bunuh diri akibat tertekan. Dia kemudiannya dibantu oleh Khaliq dan pulang ke Malaysia untuk mencari ibu dan bapa kandungnya. Sementara itu, ibu kandungnya, Siti Zahrah, masih dihantui dengan dosa silam, manakala ayah kandungnya pula, Ustaz Aariz, seorang ustaz terkenal, cuba lari dari dosa silam dan tidak mengaku Aurora adalah anak kandungnya demi menjaga reputasinya.

Deliver Us From Evil (17 September 2020)

Setelah menyelesaikan kontrak terakhirnya, pembunuh upahan In-nam bergegas ke Thailand apabila mendapat tahu bahawa kemungkinan salah seorang ahli keluarganya telah menjadi mangsa kes penculikan yang berlaku di sana. Dia disertai oleh Yui, yang bekerjasama untuk menyiasat dan mencari mangsa penculikan tersebut. Pada masa yang sama, In-nam turut berada dalam buruan Ray, selepas mendapati adiknya telah dibunuh oleh In-nam.

I WierDo (17 September 2020)

Akibat menghidap kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dengan gejala-gejala tinggi misofobia, iaitu ketakukan melampau terhadap kotoran dan kuman, Po Ching sering dipulaukan. Walau bagaimanapun, kehidupannya berubah selepas dia bertemu seorang gadis bernama Chen Ching, yang turut menghidap OCD sepertinya, ketika berada di sebuah pasar raya. Sejak itu, hubungan mereka mulai rapat dan mereka cuba hidup sebagai pasangan kekasih yang normal.

Kutuk (17 September 2020)

Maya kerap terhidu bau busuk di biliknya dan mendengar suara-suara aneh setiap malam di rumah jagaan warga emas tempatnya baru mula bekerja. Dia turut diganggu satu kelibat wanita yang berpakaian jururawat sama sepertinya. Pemilik rumah itu, Elena, cuba membantunya, namun kehadirannya tidak disenangi oleh Gendis. Pada masa yang sama, dia turut mengenali seorang pekerja rumah jagaan warga emas bernama Reno, yang memberi amaran kepadanya supaya segera meninggalkan rumah itu. Apabila seorang demi seorang orang di sekelilingnya mati, Maya cuba mencari jalan untuk menamatkan gangguan-gangguan aneh yang menghantui rumah itu, tanpa menyedari bahaya yang menantinya.

Mimaland (24 September 2020)

Sebuah filem seram arahan Nevin Hiong. Ia dibintangi oleh Fattah Amin sebagai Ariel, yang ingin menyiasat misteri taman tema terkenal pada tahun 1990-an, Mimaland. Taman tema yang dibuka sejak 1971 itu dibiarkan terbengkalai selepas berlakunya tanah runtuh pada tahun 1994. Filem ini turut dibintangi Sophia Albarakbah, Camelia Natasya kmn, Hazzy Alzeeq dan Zalif Sidek.

Unhinged (24 September 2020)

Perbuatannya membunyikan hon kereta kepada seorang lelaki tidak dikenali ketika bergegas ke tempat bekerja menyebabkan Rachel, seorang ibu tunggal, kini berdepan bahaya. Sejak itu, Rachel mendapati lelaki misteri itu sering mengekorinya dan orang-orang yang rapat dengannya menjadi mangsa serangan lelaki itu.

Re:Zero - Starting Life In Another World

Setelah memasuki sebuah dunia lain ketika pulang ke rumah dari kedai serbaneka, pelajar sekolah tinggi Natsuki Subaru mendapati dirinya keliru dan sesat di dalam dunia tersebut. Dia kemudiannya bertemu seorang gadis jelita berambut perak, satu-satunya orang yang ingin berkawan dengannya. Sebagai tanda terima kasih atas kebaikannya, Natsuki membuat keputusan untuk membantu gadis itu mencari barang kepunyaannya yang hilang.

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks