Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Slot Asia Trivia

MOVE TO HEAVEN : SISI AKHIR SEBUAH KEHIDUPAN.

Sudah lama rasanya saya tidak menonton filem atau sebarangan tayangan gambar bergerak (motion picture) daripada Korea. Kali terakhir adalah pada 17 September 2020 iaitu filem Deliver Us From Evil. Berbanding Akak Admin yang sememangnya bergelumang dengan dunia Kdrama dan Kmovie ini.

Tidak pasti rasanya mahu dimulakan dengan apa namun selepas selesai menonton series Move To Heaven ini ada sesuatu yang berat dan terbuku di hati ini ingin diluahkan dan dikongsi dengan semua. Menggunakan kematian sebagai titik tengah kepada drama bersiri ini, Move To Heaven memaparkan kepada kita bahawa kematian adalah sesuatu perkara yang akan kita tempuhi suatu masa nanti tidak kira bila, dimana, dengan siapa atau bagaimana ia tiba.

Menampilkan seorang remaja autistik sebagai watak utama, selain berhadapan dengan kes kematian orang lain beliau juga diuji dengan kematian dan pemergian orang tersayang termasuklah kedua ibubapa angkatnya tanpa mengetahui siapakah ibubapa kandungnya. Turut diuji dengan keadaan kesihatannya yang tidak seperti manusia normal yang lain. Didiagnosakan dengan Asperger Sindrom bukan sesuatu yang mudah untuk dijalani oleh seseorang dalam keadaan diri yang tidak mampu menafsir emosi secara tepat dan keadaan minda yang memproses maklumat berbeza dengan orang lain, remaja ini tadi terus menjalani kehidupan sehari harian dan pekerjaannya membersih lokasi terakhir kematian seseorang.

Berbalik kepada soal kematian yang ditonjolkan dalam MTH ini, pelbagai cara dan kaedah kematian ditampilkan dengan setiap satunya berlainan antara satu sama lain. Hal ini secara tidak langsung memberi alamat kepada kita bahawa kematian itu boleh datang kepada kita walau dengan apa cara sekalipun tanpa dapat kita jangka.

Sekiranya kita gali dengan lebih dalam, sesungguhnya banyak yang dapat kita cungkil daripada drama bersiri ini. Mungkin ada yang menyatakan bahawa saya sendiri terlalu serius dalam membahaskan perkara berkenaan kematian dalam drama bersiri ini namun pada hemat saya tidak salah sekali sekala sekiranya kita menelaah secara ilmiah dalam sesebuah tayangan gambar sekiranya perkara tersebut berupaya membawa satu makna yang dalam kepada kehidupan kita lebih lebih lagi perkara berkaitan kematian yang semestinya tidak patut dipandang ringan kerana kita semua akan menuju ke situ pada suatu masa nanti.

Secara visualnya dapat kita lihat dalam siri MTH ini bahawa apabila tiba satu saat kematian kepada seseorang, tiada apa yang akan kita bawa bersama bahkan segalanya ditinggalkan di atas mukabumi ini hatta pembersihan bilik pun dilakukan oleh orang lain. Perkara ini secara tidak langsung membawa kita kepada pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud :-

Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. Muslim, Sahih Muslim bi sharh al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Kitab wasiyyah, jld. 11, hlm.87.

Keadaan ini sekiranya kita renung seketika sudah pasti mampu menitiskan airmata. Memikirkan bahawa saat kematian nanti tiada apa yang dapat kita lakukan melainkan hanya berharap segala amal kita diterima Tuhan dan segala dosa kita diampunkan juga aib kita dipelihara oleh Allah SWT.

Kita sememangnya bukan satu sosok tubuh yang mulia sepertimana alim ulama mahupun para wali. Jauh sekali untuk dibandingkan dengan para Sahabat dan Para Rasul, namun kita mampu berusaha untuk menjadi baik dan lebih baik dalam menelusuri bahtera kehidupan yang penuh liku ini. Berada dalam dunia, kita seharusnya memiliki dunia ini namun hanya sekadarnya kerana di sebalik sana ada kehidupan yang lebih panjang dan lama untuk kita hayati serta lalui.

Terliur dengan kematian yang baik baik bukanlah satu kesalahan kerana menjadi baik adalah azam serta impian semua orang.

Oleh itu, sewajarnya untuk kita berusaha agar pengakhiran kita merupakan sebuah pengakhiran yang baik dan segala aib kita saat kita meninggalkan dunia ini akan dipelihara oleh yang Maha Kuasa.

Belum menonton Move To Heaven? – sila tonton ia sekarang di Netflix dan percayalah banyak pengajaran dan sebab untuk kita bersyukur dengan kehidupan yang kita lalui sekarang.

Related posts

Netflix Membuka Acara Peminat Global Pertama ‘Tudum’ Dengan Sorotan Anime-Anime Menarik

Kakimuvee

TUDUM: Netflix Umum Jadual Pelancaran Untuk Filem & Siri Korea Yang Akan Datang

Zulaikha

“Yumi’s Cells” Capai Rating Tertinggi, “One The Woman” Kekal No. 1

Zulaikha

iQiyi Sebarkan Cinta Terhadap Hallyu Dengan 9 buah K-Drama dan Filem Hebat di Suku Tahun Ke-4

Zulaikha

Rating “Hometown” Meningkat Pada Episod Ke-2, “Dali And Cocky Prince” Kekal No. 1

Zulaikha

SERIGALA LANGIT TAYANG DI ASTRO FIRST 25 SEPTEMBER 2021

Kakimuvee

Leave a Comment