
Pengarah Avatar: The Way of Water, James Cameron mengusik peminat tentang kualiti teknologi visual filem sekuel itu dengan berkata, ia jauh lebih baik dari apa-apa yang pernah dilakukan Marvel.
Bercakap kepada Comicbook.com dalam temu bual baru-baru ini, Cameron membincangkan teknologi ‘motion capture’ dalam sekuel yang akan datang, mengatakan bahawa “ia tidak sama” seperti yang dilihat peminat dalam Marvel Cinematic Universe.
Walau bagaimanapun, Cameron tidak mendabik dada dan bercakap besar, sebaliknya menyatakan bahawa peningkatan teknologi akan menjadikan keadaan lebih baik untuk semua orang.
“Jelas sekali filem-filem buku komik telah memacu jumlah industri yang besar … gelombang teknologi yang semakin meningkat, menaikkan semua orang bersama-sama,” kata Cameron
“Ia memberikan anda artis berkualiti tinggi, lebih banyak peralatan dan pemalam serta kod [untuk digunakan]. Anda mempunyai lebih ramai orang yang berbakat menulis kod di luar sana.
“Pasukan kami di WETA Digital sentiasa mempunyai pekerja baharu. Jadi ia menambah baik segala-galanya.”
“Industrial Light & Magic telah melakukan yang terbaik, tetapi apabila ia melibatkan pergerakan emotif wajah seperti yang kami lakukan… Thanos? anda lihat [Avatar: The Way of Water], ia tidak dapat menandingi pun. Itulah yang WETA lakukan.”
Untuk info, WETA Digital adalah syarikat VFX yang berpengkalan di New Zealand, dan telah menghasilkan kesan khas untuk beberapa filem terkenal seperti trilogi Lord of the Rings dan filem asal Avatar. Ia juga telah memenangi beberapa Anugerah Akademi dan BAFTAs.
Ditetapkan sedekad selepas filem pertama, Avatar: The Way of Water mengikuti bab seterusnya kehidupan Jake (Sam Worthington) dan Neytiri (Zoe Saldana) yang kini menjadi ibu bapa. Kehidupan bahagia dan damai keluarga mereka tiba-tiba berubah dengan kembalinya operasi perlombongan RDA di Pandora, yang dalam filem pertama, telah dikalahkan dan dihantar pulang ke Bumi.
Avatar: The Way of Water menyaksikan beberapa pelakon asal akan kembali membawa watak masing-masing. Mereka terdiri daripada Sam Worthington, Zoe Saldana, Joel David Moore, Dileep Rao, Stephen Lang, Matt Gerald dan Sigourney Weaver. Turut menyertai barisan pelakon adalah Kate Winslet, Edie Falco, Michelle Yeoh, Vin Diesel, Jemaine Clement dan Oona Chapin dan beberapa pelakon muda yang lain.
Filem sekuel ini akan ditayangkan di pawagam mulai 15 Disember ini.