Slot Tempatan

Monsta Dedah Berita Terkini Mechamato, Dan Animasi BoBoiBoy Baharu Tahun Hadapan

Views

Press Release:

Cyberjaya, 14 September 2020 Di Persidangan Maya Kre8tif! 2020 yang telah dianjurkan baru-baru ini, CEO Monsta Nizam Abd Razak telah mengejutkan para peminat semasa pembentangannya yang bertajuk ‘Fly With Monsta’. Dalam pembentangan itu, beliau telah berkongsi perancangan Monsta untuk masa hadapan serta mendedahkan maklumat-maklumat menarik tentang filem terbaharu mereka, ‘Mechamato Movie’.

Filem tersebut mengisahkan tentang seorang anak muda bernama Amato, yang secara tidak sengaja telah menjadi tuan kepada robot bernama MechaBot. MechaBot merupakan sebuah Power Sphera yang mempunyai kuasa untuk bertukar menjadi apa sahaja objek. Amato dan MechaBot perlu bekerjasama dan bergabung menjadi adiwira Mechamato untuk melindungi bandar mereka daripada musuh yang jahat.

Siri animasi ‘Mechamato’ bertempat di Kota Hilir, yang diilhamkan dari Bandaraya Melaka dan akan menampilkan unsur-unsur budaya Malaysia yang unik seperti Silat, budaya Peranakan, dan makanan-makanan tempatan disulami dengan elemen-elemen futuristik seperti robot dan kapal angkasa. Dalam pembentangannya, Nizam telah berkongsi gambar terbaharu Amato bersama rakan-rakannyaMechaBot, Pian, Mara, Deep, berserta watak-watak sampingan Bula dan Bili.

Walaupun ‘Mechamato Movie’ pada asalnya dijadualkan untuk ditayangkan pada tahun 2020, ia telah ditangguhkan ke tahun 2021 akibat penularan wabak virus COVID-19. Pembikinan filem tersebut kini telah disambung semula dan Monsta juga telah berjaya menandatangani perjanjian dengan sebuah penyedia rangkaian (yang akan diumumkan kelak) untuk menayangkan siri animasi ‘Mechamato’ di rantau Asia Pasifik termasuklah negara Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Penangguhan tersebut  juga telah menyebabkan tarikh tayangan untuk filem mereka yang berikutnya, ‘BoBoiBoy Movie 3’, dianjak ke tahun 2022 untuk memberi laluan kepada ‘Mechamato Movie’. Pada asalnya, Monsta telah bercadang untuk menayangkan ‘BoBoiBoy Movie 3’ pada tahun 2021 sempena ulang tahun ke-10 francais ‘BoBoiBoy’, namun sambutan tetap akan diteruskan dengan animasi 1 jam ‘BoBoiBoy Galaxy Special’ tahun hadapan.

Para peminat ‘BoBoiBoy’ juga tentu gembira mendengar berita bahawa Monsta sedang menghasilkan sebuah siri mini bertajuk ‘Destinasi Terbaik’ yang telah dicipta sebagai usaha untuk mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan tempatan yang terkesan akibat COVID-19. ‘Destinasi Terbaik’ akan menggabungkan animasi 3D dengan latar belakang dunia nyata untuk membawa BoBoiBoy dan rakan-rakan untuk menikmati aktiviti-aktiviti menarik, pemandangan-pemandangan yang indah, dan sajian-sajian enak di dalam Malaysia.

Akhir sekali, filem 2019 Monsta ‘BoBoiBoy Movie 2’ ternyata kekal hangat setahun selepas tayangannya di pawagam. Filem tersebut telah ditayangkan di Astro First, Astro Ceria, Netflix, dan rangkaian televisyen Indonesia, RTV. Bukan itu saja, Monsta juga sedang dalam perancangan untuk menayangkan ‘BoBoiBoy Movie 2’ di pawagam di serata negara Turki, China dan Amerika Syarikat. Nantikan maklumat lanjut daripada Monsta, dalam masa terdekat.

Pautan Tambahan:

Kakimuvee - Portal Informasi Perfileman

Tinggalkan Balasan

Add your own review

Rating

shares