Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Berita Slot Tempatan

MISI OPERASI X – Misi Menjejak Kumpulan Pengganas Antarabangsa

Filem-filem yang mengisahkan tentang ejen penyiasatan agak kurang dihasilkan oleh produksi tempatan, meskipun ia antara genre yang agak digemari penonton. Menyedari hakikat itu, syarikat produksi Wallworld Pictures Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah filem berjudul M.O.X – Misi Operasi X.

Pengarahnya, Datuk Zulkiflie M. Osman berkata, filem terbaharu arahannya itu dibuat berdasarkan kajian yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya pernah membuat kajian tentang bencana akhir zaman yang berpunca daripada senjata rahsia ciptaan manusia.

“Kemudian ia telah memberi idea kepada saya untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kajian yang dibuat, namun menyelitkan elemen-elemen komersial,” jelasnya.

Menurut Zulkiflie, sesuatu yang menarik tentang penghasilan filem ini apabila tempoh selama hampir enam tahun hanya untuk penghasilan skrip sahaja. Jelasnya, ia mengambil tempoh yang lama agar segala fakta dan landasan mesej yang ingin disampaikan tidak lari dari objektif sebenar, meskipun diolah kepada filem komersial.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem berkenaan seperti Ebi Kornelis, Tya Arifin, Zaidi Omar, Radhi Khalid, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan ramai lagi. Mengenai pemilihan pelakon pula, Zulkiflie menyatakan setiap pelakon dipilih berdasarkan kepada kesesuaian watak yang ditampilkan.

“Pemilihan mengikut kesesuaian watak seperti Ebi Kornalis yang mempunyai tubuh tegap, manakala Tya Arifin pula seorang penyiasat ejen dari Indonesia dan Shareeta pula adalah anak seorang profesor dari India yg berpendidikan tinggi,” ujarnya.

Setakat ini, beliau sudah mengarah sebanyak 14 buah filem seperti Mira Edora, Kekasih Awal Dan Akhir, Putera, Cinta Metropolitan, Diari Romeo dan lain-lain lagi.

Sementara itu, pelakon utamanya iaitu iaitu Ebi Kornelis yang membawakan watak Don Pedro menyatakan tiada masalah buat dirinya untuk bekerjasama dengan Zulkifli memandangkan sudah beberapa kali dia bekerja di bawah arahan pengarah berkenaan.

Ujarnya, dia pernah ditawarkan berlakon dalam sebuah filem untuk melakonkan beberapa babak, namun dia lebih tertarik untuk membintangi M.O.X kerana diberi peranan sebagai watak utama.

“Selain selesa bekerja di bawah arahan beliau, saya tertarik dengan skripnya yang menggabungkan beberapa elemen seperti aksi, penyiasatan dan patriotik.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana dapat mendapat tawaran untuk filem ini dan saya anggap ia satu peluang keemasan untuk menggembangkan lagi bakat dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Mengenai cabaran sepanjang pembabitannya dalam filem ini, Ebi memberitahu antaranya adalah dia perlu menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam tempoh masa sebulan. Ujarnya, untuk menjayakan watak sebagai Don Pedro, dia perlu sentiasa menjaga stamina kerana banyak melakukan babak stunt sendiri.

“Apa yang boleh saya katakan, penonton tidak akan dapat melihat karektor Ebi Kornelis sepanjang perjalanan filem ini.

“Penonton akan lihat Don Pedro iaitu seorang ejen antarabangsa hebat dari Malaysia yang akan menyelamatakan dunia daripada kehancuran dan kejahatan terancang perosak bumi,” jelasnya.

Bagi seorang lagi pelakon utamanya, Tya Arifin pula menyatakan wataknya sebagai Fifi adalah kekasih kepada Don Pedro yang juga seorang yang sangat berahsia. Ujarnya, dia menerima untuk berlakon dalam filem ini kerana belum pernah membawakan watak sebagai seorang ejen perisik.

“Mendapat kesempatan berlakon di bawah arahan Datuk Zulkeflie M.Osman adalah peluang terbaik memandangkan beliau seorang pengarah yang cukup berpengalaman.

“Malah, beliau juga banyak memberi saya ruang untuk mengembangkan lagi watak Fifi ini dan penonton akan dapat lihat kelainan yang saya tampilkan dalam filem ini,” ujarnya.

Menurutnya, M.O.X – Misi Operasi X ini juga merupakan filem pertama lakonannya sewaktu mula-mula bertapat di Malaysia empat tahun lalu.

“Sudah tentu saya sangat teruja menantikan filem ini keluar di pawagam dan berharap agar ia mendapat sambutan daripada penonton,” ujarnya.

Filem M.O.X – Misi Operasi X akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 21 NOVEMBER 2019.

Related posts

[VIDEO] James Bond Kembali Lagi Dalam Trailer “No Time to Die”

Kakimuvee

DRAMA KAHWIN PAKSA ‘CIK AYU MEE SANGGUL’ TIDAK KLISE

Kakimuvee

Netflix Dedah Teaser & Poster Filem Prekeuel “Army of Thieves”

Kakimuvee

CARTOON NETWORK RAIKAN HARI KUCING ANTARABANGSA!

Kakimuvee

Penggembaraan Terbesar Chip & Dale Dalam Trailer Rasmi “Chip ‘N’ Dale: Park Life”

Kakimuvee

Go Shop Menjenamakan Semula CH111 Kepada BAARU Demi Menyasarkan Lebih Ramai Golongan Milenial Di Malaysia

Zulaikha