Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Slot Tempatan

MENCARI RAHMAT Inspirasi Daripada Naskah Terkenal Oscar Wilde ‘The Importance Of Being Earnest’

Siaran Media

Oscar Wilde merupakan seorang pengarang kelahiran Ireland yang cukup terkenal dan salah satu naskhahnya yang cukup popular adalah The Importance Of Being Earnest dan pernah dipentaskan pada tahun 1895 di St. James’s Theatre, London. Ia merupakan sebuah naskhah komedi yang cukup terkenal iaitu mengisahkan tentang dua orang lelaki iaitu John Worthing dan Algernon Moncrieff yang mempunyai identiti khayalan masing-masing. 

Dilihat sebagai sebuah karya yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri ternyata telah memberi ilham kepada pengarah Al Jafree Md Yusop untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Mencari Rahmat yang merupakan inspirasi daripada naskhah terkenal Oscar Wilde itu.

“Sebenarnya keinginan untuk menghasilkan filem ini timbul setelah saya membaca naskhah hasil karya Oscar Wilde ini pada tahun 1981. Saya menganggap bahawa naskhah The Importance Of Being Earnest ini ternyata sangat menarik, terutama sekali subjeknya sangat relevan dan begitu sesuai pada masa sekarang ini,” ujarnya.

Mencari Rahmat menampilkan dua orang pelakon hebat tanah air selaku tunjang utama iaitu Nam Ron dan Amerul Affendi. Selain itu, turut membintangi filem berkenaan antaranya seperti Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembikinan filem ini , Al Jafree memberitahu antara cabaran yang dilaluinya apabila skripnya mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan.

“Proses penggambaran filem ini hanya mengambil masa sekitar 10 hari pada tahun 2017 dan proses rehearsal bersama-sama pelakon pula adalah selama sebulan. Bagaimanapun, proses penghasilan skrip ini mengambil masa selama 10 tahun kerana kesukaran mengadaptasikan karya Oscar Wilde ini ke dalam Bahasa Melayu,” ujarnya tentang pembikinan filem sulung arahannya itu.

Berkenaan dengan pemilihan pelakon pula, beliau mengatakan barisan pelakon dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang luas dalam pentas teater.

“Watak-watak dan lakonan dalam filem ini menuntut mereka mempunyai pengalaman teater kerana dialognya yang panjang dan cara ‘blocking’ filem ini diambil. Jadi, agak sukar untuk membariskan pelakon-pelakon yang tiada pengalaman teater untuk membintangi filem ini,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Al Jafree meletakkan harapan agar filem sulungnya ini akan mendapat sambutan penonton.

“Kalau mengikut kepada sesi tayangan yang pernah dibuat sebelum ini pada tahun 2018, ia mendapat sambutan baik di semua lokasi. Maka, sudah tentu saya berharap agar filem Mencari Rahmat ini turut mendapat yang sama apabila ditayangkan di pawagam nanti,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Nam Ron berkata, dia tertarik untuk terlibat dalam pembikinan filem berkenaan kerana kelainan terhadap watak yang dibawakan serta jalan ceritanya yang menarik. Menurutnya, untuk filem ini ia sepenuhnya bergantung kepada lakonan dalam ‘menghidupkan’ watak yang dibawakannya itu.

“Kelainan watak saya kali ini adalah ia sebuah filem yang bergerak atas ‘performance’, makannya ia berteraskan kepada ‘performance base’. Dalam filem ini, pelakon memainkan peranan sangat penting untuk menyampaikan jalan cerita kepada penonton,” jelasnya.

Mengenai kerjasama dengan Al Jafree pula, dia melihat pengarah berkenaan sangat mementingkan lakonan yang mantap daripada para pelakon supaya setiap watak itu dapat memberikan impak kepada penonton. 

Filem Mencari Rahmat akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 10 JUN 2021.

Related posts

Hidangan Istimewa Raya Dari Monsta

Kakimuvee

[TRAILER] Jay Zulkarnain Kembali Dalam Sekuel J2: J Retribusi, Eksklusif Di Disney+ Hotstar MY

Kakimuvee

Nikmati Podcast Ramadan Baharu Di SYOK, ‘The Deen Hustlers Show’ & ‘Hikmah’ Musim ke-2

Zulaikha

Kerana Barkoba “18 Puasa Di Kampong Pisang” Kutip RM1 Juta Dalam Masa 3 Hari

Kakimuvee

TRAILER 18 Puasa Di Kampong Pisang: Barkoba Ingin Kongsi Rezeki Bersama Masyarakat

Kakimuvee

NETIZEN TENTUKAN PLOT TWIST ‘MIS TRES HERMANAS’ MALAYSIA

Zulaikha