
Nampaknya dua siri Marvel Disney+, Moon Knight dan She-Hulk, akan menjadi bahan ujikaji Marvel Studios dalam meneroka idea dan konsep baru yang tidak pernah digunakan dalam filem-filemnya.
Ketika ditemubual majalah Emmy Magazine, President Marvel Studios, Kevin Feige telah memberikan beberapa info menarik mengenai siri Moon Knight dan She-Hulk.
Menurut Feige, Spector digambarkan sebagai “hero aksi yang sering berlompat dari satu bangunan ke bangunan yang lain dan terlibat dalam pertarungan“. Selain itu juga, ia akan menyentuh isu penyakit mental “Dissociative Identity Disorder” (memiliki banyak identiti) yang dihadapi watak utama.
Untuk She-Hulk, Feige mendedahkan bahawa mereka akan menggunakan format baru untuk siri akan datang, iaitu “komedi perundangan berdurasi setengah jam“. Feige menjelaskan bahawa studio masih belum melakukan perkara seperti ini, dengan rancangan Disney+ yang lain dijangka berlangsung selama satu jam.
Jelas sekali, sebahagian besar penceritaan Marvel Cinematic Universe di Disney+ akan mengambil risiko yang tidak pernah dilakukan dalam filem, iaitu meneroka idea dan konsep baru di sepanjang penceritaannya.
Pelakon Orphan Black, Tatiana Maslany disahkan membawa watak Jennifer Walters dalam siri She-Hulk, bagaimanapun pelakon Oscar Isaac dilaporkan masih belum menandatangani perjanjian untuk memainkan peranan Marc Spector dalam siri Moon Knight.