Mari Tonton Tayangan Filem Hungary Secara Percuma Di Pesta Filem Hungary 2.0

86
views

Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur dengan kerjasama Golden Screen Cinemas dan Cinema Online dengan bangganya mempersembahkan Pesta Filem Hungary 2.0 2019 kepada penggemar filem di Malaysia. Edisi 2019 ini ialah salah satu daripada tumpuan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Hungary dan Malaysia.

Jika sebelum ini ia hanya ditayangkan di Kuala Lumpur, peminat di Pulau Pinang dan Sarawak turut berpeluang untuk menyaksikan pesta filem ini. Sebanyak empat buah filem yang memenangi anugerah telah dipilih dengan 16 tayangan percuma disusun untuk peminat pesta filem menikmati dan mempelajari filem, budaya dan negara Hungary dengan lebih lanjut.

Pesta Filem Hungary 2.0 2019 ini ditayangkan secara percuma di beberapa lokasi GSC yang terpilih iaitu GSC Pavilion KL (21-23 Jun), GSC Gurney Plaza (29 dan 30 Jun) dan GSC CityOne Megamall, Kuching (6 dan 7 Julai).

Peminat yang ingin mendapatkan tiket filem Hungary secara percuma hanya perlu ke pawagam GSC yang menyertai dengan menunjukkan sama ada salinan cetakan mana-mana artikel atau syot pantas artikel atau logo di media sosial, mengenai Pesta Filem Hungary 2.0 ini.

Setiap bahan yang ditunjukkan akan melayakkan mereka untuk menebus dua tiket percuma untuk filem yang sama sehingga empat tiket setiap orang berdasarkan “siapa cepat, dia dapat”. Tiket boleh ditebus mulai Isnin, 17 Jun 2019 di GSC Pavilion KL, GSC Gurney Plaza, Penang dan GSC CityOne Megamall, Kuching pada jam 11 pagi dan seterusnya.

Di GSC Pavilion, sebanyak empat filem yang merangkumi tiga filem fiksyen dan satu filem muzikal akan ditayangkan sempena Pesta Filem Hungary 2.0. Antara filem yang ditayangkan adalah:

Liza, the Fox-Fairy

mengisahkan Liza, seorang jururawat yang mencari cinta. Akibat cemburu, seorang bintang pop Jepun yang sudah lama meninggal dunia menjadikan Liza sebagai pari-pari musang. Setiap lelaki yang meminati Liza akan menemui ajal dalam keadaan yang mengerikan. Berjayakan Liza mengatasi sumpahan tersebut? Filem ini telah memenangi tujuh anugerah, termasuk anugerah filem terbaik César Awards 2019 dan 23 pencalonan, termasuk pengarah terbaik di Silver Lion International Film Festival of Venice.

The Troupe

Mengisahkan sekumpulan aktor pelarian yang bertembung dengan seorang askar muda yang dipaksa melarikan diri. Dalam satu pergaduhan, askar tersebut membantu kumpulan itu dan mereka bersama-sama berpindah dari kampung ke kampung sehinggalah ke Budapest menggunakan pedati. Beranggapan bahawa mereka berjaya melarikan diri, sebenarnya terdapat cabaran yang perlu dihadapi termasuk godaan, pertarungan, cinta dan maut, sama ada di atas atau belakang pentas.

Think of Me

Kisah pakar bedah yang hanya mahu bersendirian disampaikan melalui filem Think of Me. Apabila mendapat tahu bahawa beliau hanya mempunyai dua bulan untuk hidup, beliau sedar bahawa kesempurnaan kehidupannya tidak mampu mengubah takdir. Memikirkan kebahagiaan orang lain, beliau memutuskan satu-satunya cara untuk mengurangkan kesedihan orang lain semasa kematiannya ialah dengan memisahkan dirinya daripada semua orang.

Pappa Pia

Filem Pappa Pia ialah sebuah muzikal romantik Hungary terbaharu yang mengisahkan kesepakatan sebuah masyarakat dari segenap lapisan usia yang mengubah sebuah rumah bot kepada pub serba kekurangan untuk menjana pendapatan buat mereka. Di sebalik harapan yang tipis, mereka menggunakan kemahiran muzikal dan kasih sayang untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan. Penonton juga akan dihiburkan dengan lagu-lagu lama dan kejutan menarik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here