
Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd (ZPSB), Fadzil Teh telah dikecam teruk oleh penggiat industri drama dan pelakon gara-gara status yang dimuatnaik olehnya yang mahu mencari pelakon baru yang cantik dan mempunyai ramai pengikut di Instagram,
Fadzil dikritik kerana tindakannya itu boleh memberi impak buruk kepada industri penerbitan drama kerana mengambil pelakon yang tidak mempunyai pengalaman dan hanya bergantung kepada populariti di laman sosial semata-mata.
Tindakannya itu juga secara tidak langsung boleh memberi kesan negatif kepada pelakon berpengalaman yang selama ini berusaha menjaja bakat mereka.
Menurut Fadzil Teh atau dikenali sebagai Haji Zeel, apa yang dilakukannya adalah semata-mata atas permintaan pihak stesen televisyen di samping mengikut ‘trend’ masa kini.
“Mereka yang mengecam saya itu tidak tahu kerana tidak pernah mengikuti proses penerbitan dan ‘pitching’ di depan pegawai dari stesen TV. Lagipun bidang ini berputar mengikut musim. Sekarang ini memang kebanyakan pelakon lahir dari media sosial dan sudah mempunyai pengikut ramai. Sebagai penerbit kita juga harus ukur dengan perubahan,” – Fadzil Teh
Walaupun statusnya yang inginkan pelakon yang cantik dan mempunyai ramai peminat di media sosial, Haji Zeel menegaskan, mereka juga perlu diujibakat sebelum diterima sebagai pelakon.
“Jika mereka memang tidak berbakat dan berlakon macam ‘kayu’, sudah tentu kami tidak akan ambil. Selaku penerbit, saya tidak akan berkompromi dari segi mutu,” katanya.
Fadzil juga memberi contoh kepada pelakon Mira Filza yang tidak mempunyai pengalaman berlakon tetapi mempunyai sejuta peminat di laman sosial
“Tidak semestinya apabila dia mempunyai ramai pengikut dia tidak berbakat. Bermula dengan drama Experiment Cinta, Mira sekarang sudah membuktikan dia juga mempunyai pelbagai bakat dalam bidang seni,” katanya.
Fadzil berkata, industri hiburan sudah berbeza berbanding dulu dan sebagai penerbit, kelangsungan perniagaan dalam bidang penerbitan turut bergantung kepada jumlah tontonan. Menurutnya lagi, pelakon yang mempunyai ramai peminat di laman sosial mampu membantu mempromosikan karya yang dihasilkan dan secara tidak langsung membantu pihak penerbit dan juga stesen TV
Sumber: Harian Metro